اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


MUQADDIMAH

بِسْمِ الله الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ لله رَبِّ الْعَالَمِينَ ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ، وَعَلَى أَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ . أَمَّا بَعْدُ

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Di kesempatan ini, dengan rasa rendah dirinya saya panjatkan setinggi-tinggi pujian syukur kepada Allah ـ kerana dengan taufiq dan kurniaNya telah berjaya saya siapkan kerja kursus yang di berikan kepada saya ini. Selawat dan salam khususnya kepada kekasih junjungan Sayyid al-Kaunain ص, ahli keluarga Baginda ص serta seluruh sahabat Baginda yang mulia . Tiada kata yang dapat diungkapkan bilamana Allah ـ kurniakan kesihatan, nikmat rezeki, dan kekuatan untuk menyiapkan kerja kursus ini. Tetapi nikmat yang paling besar sehinggakan tidak mampu untuk diluahkan dengan kata-kata, dimana Allah ـ menghidupkan hati ini merasakan kecintaan kepada Baginda Sayyid al-Sadaat ص juga nikmat dalam menuntut ilmu. Sesungguhnya dengan adanya ilmu, mampu mengeluarkan seseorang itu dari kesesatan dan kejahilan diri. Tajuk kajian saya ialah menyelusuri sejarah kehidupan mengenai ulama’ agung dalam bidang fiqh, iaitu Imam Abu Hanifah yang terkenal mazhabnya yang bernama Mazhab Hanafi. Beliau seorang yang alim lagi faqih dalam ilmu fiqh dan sebagainya. Apa yang dapat yang diperolehi daripada kajian ini, saya dapat belajar dan mengambil iktibar dari kesungguhan para ulama’ dalam meletakkan ilmu itu pada tempat yang paling tinggi. Begitu juga dengan Imam Abu Hanifah. Beliau seorang yang sangat mementingkan ilmu dan sanggup berkorban untuk mencari ilmu dan dikisahkan juga beliau mengajak bondanya untuk pergi majlis-majlis ilmu. Semoga sejarah kehidupannya ini dapat membimbing kita untuk lebih bersemangat lagi untuk berjuang dalam gelanggang menuntut ilmu. Moga dengan kesusahan para aulia menuntut ilmu menjadi ubat dan semangat kepada kita yang ingin mendalami bidang-bidang ilmu yang diceburi mengikut minat masing-masing. Harapan saya, walaupun sejarah kehidupannya ringkas, moga berguna kepada kita dan megharapkan pandangan daripada mereka yang telah sampai perjalanannya menuju Allah dan Rasul. Bukanlah saya yang selayaknya untuk menukilkan sejarah kehidupan mereka, tetapi mengharapkan dan menagih agar mendapat keberkatan daripada mereka.

 

 

وَاللهُ أَعْلَمِ

 

3.0            PENGENALAN

Pada zaman Rasulullah ص, umat islam tidak menganut mana-mana mazhab  kerana pada ketika itu tidak timbul sebab untuk umat Islam bermazhab. Tambahan lagi, pada zaman itu juga, umat islam tidak perlu bermazhab bahkan tidak ada jalan untuk munculnya mazhab. Ini kerana segala permasalahan yang timbul akan di rujuk dan di selesaikan oleh Baginda ص. Sedangkan pada zaman kebelakangan ini, umat Islam perlu menyelesaikan masalah yang timbul atau baru timbul dengan berpandukan kepada empat sumber asasi, iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijma, dan Qias. Dalam pada itu, masih terdapat juga ulama’ terkemuka yang enggan memakai ijma’ dan qias sebagai dasar di dalam mengistinbatkan hukum seperti Imam Daud bin Ali, tokoh mazhab Az-Zahiri atau Ahli Zahir.

 

Setelah berlalu zaman Rasulullah ص barulah umat Islam mengenal mazhab-mazhab kerana tempat rujukan untuk menyelesaikan segala masalah baru yang timbul sudah tidak ada lagi. Oleh yang demikian, ulama’-ulama’ Islam perlu merujuk kepada al-Quran sebagai dasar hukum pertama. Seterusnya jika tidak terdapat di dalam al-Quran, tempat rujuk berpindah pula kepada sunnah Rasulullah ص, seterusnya ijma’ dan qias.

 

Sebenarnya sejak wafatnya Rasulullah ص, ketika itulah umat Islam iaitu para sahabat Rasulullah ص bermazhab. Mereka yang tidak ahli di dalam ilmu al-Quran dan as-Sunnah telah berpegang kepada pendapat sahabat-sahabat yang mahsyur alim dan bijak di dalam bidang agama seperti para sahabat Sayyidina Umar ibn al-Khattab, Sayyidina Ali, Abdullah Ibn Mas’ud, Abdullah Ibn Umar Zaid bin Thabit Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq, Muaz bin Jabbal dan lain-lain lagi. Mereka ini adalah mufti yang sangat terkemuka pada zaman sahabat.

 

Pada peringkat zaman tabi’ien pula, semakin ramai ulama’-ulama’ yang mendirikan mazhab kerana umat Islam ketika itu semakin berkembang ke serata pelusuk negeri dan telah lahirnya ramai ulama’ yang alim dalam permasalahan berkaitan fiqh.

 

Pada peringkat zaman Tabi-Tabi’en pula, umat Islam menumpukan kepada tokoh-tokoh ulama’ terkemuka untuk menyelesaikan masalah mereka seperti Sufyan bin Uyainah, Muslim bin Khalid, Waki’ bin Jarrah, Abdullah bin al-Mubarak, Al-Lait bin Saad, Yazid bin Abi Habib, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’e, Imam Ahmad bin Hanbal dan ramai lagi.

 

Bila munculnya imam empat mazhab, kini kitab-kitab mereka dijadikan rujukan tentang permasalahan fiqh dan sebagainya.

 

 

4.0            RIWAYAT HIDUP IMAM ABU HANIFAH

 

SIAPAKAH IMAM ABU HANIFAH ?

Imam Abu Hanifah ialah pengasas sebuah mazhab yang kini dikenali sebagai sebutan Mazhab Hanafi.

 

4.1 Kelahirannya:

Imam Abu Hanifah di lahirkan di kota Kuffah pada tahun 80 Hijrah bersamaan tahun 699 Masihi pada saat para sahabat sudah tidak ramai lagi yang masih hidup. Pada masa Imam Abu Hanifah dilahirkan, kerajaan sedang berada dalam genggaman kekuasaan Bani Umaiyah. Khalifahnya ketika itu ialah Abdul Malik bin Marwan, iaitu khalifah kerajaan Bani Umaiyah yang kelima dan yang paling hebat dan perkasa serta yang paling lama memerintah. Beliau menduduki singgahsana kerajaan selama 21 tahun, iaitu dari tahun 65 hingga 86 hijrah. Pada masa Imam Abu Hanifah dilahirkan, Khalifah Abdul Malik bin Marwan sudah menduduki kerusi khalifah selama 15 tahun. Nama sebenar Imam Abu Hanifah ialah Nu’man Bin Thabit Bin Zautha Bin Mah. Beliau digelar Imamul Azim ertinya guru agama yang sangat alim.

 

4.2 Sebab Di Gelar Abu Hanifah  

Kenapa dipanggil Abu Hanifah? Padahal nama beliau yang sebenarnya ialah Nu’man?

  • Dikatakan ada tiga sebab kenapa beliau digelar Abu Hanifah.

 

a)  Riwayat pertama menyatakan bahawa kerana salah seorang anak beliau iaitu yang sulung bernama Hanifah. Sebab itulah, Nu’man digelar mengikut panggilan nama anaknya yang sulung itu yang ertinya “Bapa Si Hanifah”

 

b)  Riwayat kedua pula mengatakan sebab-sebab beliau digelar dengan Abu Hanifah adalah kerana beliau sangat suka dan rajin beribadat dan membuat kebajikan berbentuk sosial seperti membantu orang susah melebihi yang dilakukan oleh kebanyakkan orang lain. Kerana itu orang ramai menggelarnya Abu Hanifah dalam bahasa arab bererti ‘Bapa Yang Suka Berbuat Kebajikan’. Kerana pada namanya Hanifah itu dalam bahasa arab bererti suka atau cenderung pada melakukan amal kebajikan.

 

c)   Manakala riwayat ketiga pula memberi pendapat mereka bahawa pemuda Nu’man bin Thabit di gelar dengan Abu Hanifah adalah kerana beliau sering dilihat orang membawa botol daqwah ke mana-mana sahaja beliau pergi sebagai persediaan untuk mencatit ilmu pengetahuan daripada mana-mana guru yang beliau temui. Kerana dalam lughat Iraq, Hanifah bererti “Botol Tempat Bekas Dakwat.”

 

 

Demikianlah tiga pendapat ahli-ahli sejarah yang menjelaskan punca kenapa Imam Abu Hanifah digelar Abu Hanifah sedangkan nama sebenarnya adalah Nu’man.

 

Sebenarnya kelahiran Imam Abu Hanifah ada kaitannya dengan keberkatan doa Sayyidina Ali. Mengikut riwayat, ayah beliau iaitu Thabit bin Zautha ketika masih kanak-kanak telah dibawa oleh ayahnya Zautha pergi berziarah kepada Sayyidina Ali di khufah yang ketika itu sedang memegang jawatan khalifah. Sayyidina Ali mendoakan ke atas Thabit semoga dari keturunannya (Thabit) akan lahir insan-insan yang baik-baik dan soleh yang akan memberi manfaat kepada agama dan umat Islam seluruhnya.

 

4.3 Siapakah ayah dan ibunya?

  • Mengenai ayahnya, Zautha bin Mah.

Ayahanda kepada Imam Abu Hanifah ialah Thabit bin Zautha. Beliau merupakan ahli perniagaan yang terkenal satu-satunya pada ketika itu. Keberjayaan beliau ini adalah diwarisi daripada ayahandanya iaitu, Zautha bin Mah yang merupakan seorang ahli perniagaan yang kaya raya dari hasil perniagaan pakaian.

 

Zautha juga sahabat erat kepada Sayyidina Ali bin Abi Thalib. Oleh kerana rapatnya persahabatan dengan Sayyidina Ali, Zautha sering memberi kepada Sayyidina Ali berbagai-bagai hadiah hasil dari keuntungan perniagaannya.

 

Sesungguhnya Imam Abu Hanifah yang membesar di dalam keluarga ahli perniagaan menyebabkan beliau tidak mempunyai apa-apa masalah untuk terus menerus memberi tumpuan dan perhatian terhadap ilmu pengetahuan. Di atas sebab-sebab itu, Imam Abu Hanifah telah berjaya menguasai pelbagai bidang dan cabang-cabang ilmu pengetahuan sehinggakan beliau muncul sebagai seorang ulama’ besar di Iraq. Tambahan pula, beliau alim dalam bidang fiqh dan akhirnya berjaya mendiri mazhab sendiri yang terkenal kini dan menjadi sumber rujukan ummat Islam. Mazhabnya di kenali sebagai Mazhab Imam Hanafi.

 

Mengenai ibunya pula, kebanyakan ahli-ahli sejarah tidak memperkatakannya mungkin kerana tidak ada kisahnya yang boleh di ketengahkan. Manakala , mungkin juga hanya sedikit penceritaan tentang ibu beliau. Tambahan pula, nama ibu Imam Abu Hanifah tidak di sebut dan tidak terdapat dalam kitab-kitab sejarah.

 

Sebagaimana insan-insan soleh yang lain, Imam Abu Hanifah juga sangat menghormati bondanya dan sangat memuliakannya. Beliau sentiasa mengharapkan bondanya agar meredhainya. Ini adalah kerana beliau tidak mahu ibunya berkecil hati atau mengundang bahana kemarahan seorang ibu. Sesungguhnya, kemarahan seorang ibu sangat mengundang kemarahan Allah ـ dan dengannya akan hilang keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Selain itu, telah tertulis di dalam hadith “bahawa syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu”. Jadi beliau sangat-sangat mengingati hadith Nabi ص ini. Kalau derhaka alamatnya tidaklah dapat masuk syurga.

 

Beliau sangat memikirkan tentang ibunya. Oleh kerana itu, beliau tidak terlepas dari mengajak ibunya dan sentiasa membawa ibunya ke majlis-majlis ilmu pengetahuan. Sebagaimana diceritakan oleh muridnya, Imam Abu Yusuf katanya, “Abu Hanifah sering membawa ibunya bersama-sama menunggang keldai ke majlis Imam Umar bin Zar kerana menunaikan kehendak ibunya kerana ibunya gemar menghadiri majlis ilmu ulama’ ini. Abu Hanifah juga pernah bercerita kepadaku bahawa dia pernah bertanya sesuatu soalan kepada tuan guru itu semata-mata kerana keinginan ibunya agar beliau berbuat demikian. Ini menyebabkan gurunya itu hairan dan bertanya semula kepada Imam Abu Hanifah kenapakah sampai terjadi hal demikian? Sedangkan Imam Abu Hanifah adalah seorang ulama’ besar yang boleh berfatwa. Lalu Imam Abu Hanifah menjawab, “Sesungguhnya ibunya yang minta berbuat begini.”  

 

Imam Abu Zar bertanya Imam Abu Hanifah pula, “Kau bertanya kepadaku tentang masalah itu padahal engkau lebih tahu daripadaku !.”  Imam Abu Hanifah menjawab, “Ibuku menyuruh aku bertanya kepadamu.” Imam Umar menjawab pula, “Kau jawablah sendiri soalan kau itu supaya aku beritahu pula kepadamu dengan mengulangi jawapan itu seolah-olah aku yang memberi jawapannya.” Lalu Imam Abu Hanifah memberi jawapannya kemudian Imam Umar bin Zar mengulangi jawapan itu seolah-seolah dia yang memberi jawapannya. Kemudian Imam Abu Hanifah terus pulang memberitahu jawapan itu kepada ibunya. Begitulah kasihnya Imam Abu Hanifah kepada ibunya, serta memiliki sifat tawadhu’nya Imam Abu Hanifah terhadap gurunya.

 

4.4 Bangsa  Imam Abu Hanifah

Tentang bangsanya tiada seorang pun ahli sejarah berselisih pendapat. Setelah membuat kajian yang mendalam tentang keturunan atau bangsa Imam Abu Hanifah, mereka semuanya sepakat mengakui bahawa Imam Abu Hanifah adalah dari keturunan Farsi. Bukti-buktinya memang banyak. Diantaranya, ialah nama datuknya iaitu Zautha. Nama ini adalah bukan nama Arab, tetapi nama Farsi.

Sejarah pun menunjukkan datuk nenda beliau berasal dari tanah taklukan jajahan Farsi, iaitu di Kabul, Afganistan.

 

 

5.0            ANTARA GURU-GURUNYA

 

Sebagaimana ulama’-ulama’ lain sebelumnya belajar dengan banyak guru,  begitu juga dengan Imam Abu Hanifah juga banyak berguru. Mengikut riwayat guru Imam Abu Hanifah jumlahnya tidak kurang dari 200 orang guru yang kebanyakkannya adalah dari kalangan generasi Tabi’en.

 

  • Antara gurunya yang mahsyur, ialah :

 

5.1      As-sya’rabi

Beliau sangat alim. Di katakan seorang ulama’ lautan ilmu. Beliau adalah guru Imam Abu Hanifah yang pertama sekali. Nama beliau yang sepenuhnya ialah Amir bin Syurhabil. Lahir pada tahun 17 hijrah di masa Umar menjadi khalifah. Beliau menjadi qadhi di khufah selepas Syuraih bin al-Harith al-Kindi. Beliau belajar kepada generasi sahabat terutama kepada Abdullah bin Abbas, Abu Hurairah, Sayyidah Aisyah, Abdullah bin Umar dan ramai lagi. Beliau amat alim dalam ilmu feqah dan seorang penghafal hadith. Beliau berfatwa ketika ramai lagi para sahabat masih hidup.

 

Ketika Imam Abu Hanifah berusia 10 tahun, Asy-Sya’bi telah berumur 73 tahun. Namun kerana usianya yang panjang, Imam Abu Hanifah sempat berguru kepadanya. Beliau meninggal dunia pada tahun 104 hijrah ketika 87 tahun.

 

Kealiman beliau diakui oleh ulama’-ulama’ sezaman dengan beliau. Muhammad bin Sirin, seorang ulama’ besar sezaman dengan beliau dan bekas hamba kepada Anas bin Malik berkata kepada seorang yang bernama Abu Bakar al-Huzali, “Tetaplah kau bersama Asy-Sya’bi, kerana sesungguhnya aku melihat beliau memberi fatwa pada ketika sahabat-sahabat Rasulullah saw masih ramai lagi jumlahnya.”

 

Makhul, seorang ulama besar dari negeri Syam berkata, “Aku belum pernah melihat seorang yang lebih alim dari as-Sya’bi.” Beliau dikatakan menyesal kerana terlalu banyak meriwayatkan hadith. Dan ingin benar kalau dapat menarik semula hadith-hadith yang telah diriwayatkanya kerana ia mengenangkan orang-orang soleh dari generasi sahabat yang tidak suka membanyakkan meriwayatkan hadith.

 

Beliau juga mengakui bukan seorang yang faqih, tetapi Cuma sekadar ahli hadith. Ini mungkin lahir sikap merendah diri beliau. Yang dikatakan faqih ialah orang ahli hukum yang mengamalkan ilmunya.

 

5.2      Hammad bin Abi Sulaiman

Di dalam mencari orang yang akan memberi pelajaran agama kepadanya, Imam Abu Hanifah telah memilih guru-guru tertentu untuk ditekuninya. Pada mulanya beliau belajar kepada Imam Asy-Asy’bi, iaitu seorang ulama’ peringkat Tabi’en yang kuat berpegang kepada aliran ahli hadith, walaupun beliau tinggal di Kuffah yang penuh dengan ulama’ ahli fikir atau ahli rayi’.

 

Ketika Imam Abu Hanifah belajar kepadanya, Imam Asy-Sya’bi melihat pada diri Imam Abu Hanifah tanda-tanda kecerdikan dan menasihati beliau supaya mempelajari ilmu feqah secara mendalam. Nasihat ulama’ besar itu diterima baik oleh Imam Abu Hanifah, lalu dia membulatkan tekadnya untuk belajar ilmu feqah dengan bersungguh-sungguh.

 

Dengan itu, beliau lantas mencari guru yang sesuai kerana beliau mempunyai prinsip yang tersendiri di dalam belajar sebagaimana kata beliau, “ Aku berada di dalam majlis ilmu feqah. Aku menghadiri majlis ulama’nya dan aku menekuni pada salah seorang daripadanya.” Akhirnya beliau telah menjumpai seorang guru yang beliau sifatkan mempunyai ciri-ciri yang istimewa. Guru itu bernama Hammad bin Abi Sulaiman.

 

Hammad adalah guru yang paling beliau sayangi dan paling lama beliau balajar. Imam Abu Hanifah belajar kepada Imam Hammad bin Abi Sulaiman selama 18 tahun sejak dari usianya 22 tahun sampailah 40 tahun, iaitu sampai Hammad meninggal dunia.

 

Kerana sangat menyayangi Imam Hammad, tatkala mendapat seorang anak lelaki beliau menamakannya Hammad.

 

Kenapa Imam Abu Hanifah begitu meminati Hammad? Ini adalah kerana beliau melihat kelebihan Hammad yang agak sukar didapati pada ulama’ lain. Ciri-ciri yang ada pada Hammad adalah seperti yang dinyatakan sendiri oleh beliau, “Aku dapati Hammad adalah seorang syeikh yang besar, lagi banyak sabar dan mempunyai hemah yang tinggi.”

 

5.3      Ibrahim bin Yazid An-Nakha’i 

Nama beliau sepenuhnya ialah Ibrahim bin Yazid bin Qais an-Nakha’I al-Kufi. Beliau belajar kepada Masruq bin Ajda’, seorang tabi’en besar murid Ummul Mukminin Sayyidah Aisyah, kepada Alqamah bin Qais an-Nakha’I, bapa saudaranya sendiri, kepada Syuraih bin al-Harith al-Kindi, Qadhi Besar Kufah sejak zaman Umar sampailah ke zaman Mu’awiyah.

 

Imam Abu Hanifah belajar kepada Ibrahim tidak lama. Ini adalah kerana ketika Ibrahim an-Nakha’I meninggal dunia, usia Imam Abu Hanifah baru menjangkau 16 tahun.

 

Beliau dianggap sebesar-besar ulama’ ahli ra’yi di Kufah. Ulama’-ulama’ kufah mengakui kealiman serta kelebihannya dalam bidang ilmu pengetahuan khasnya dalam bidang ilmu fekah.

 

Asy-Sya’bi berkata “Sesungguhnya Ibrahim an-Nakha’I tidak meninggal di belakangnya seorang yang lebih alim daripadanya.” Kemudian beliau ditanya orang, “Adakah Ibrahim an-Nakha’I mengatasi al-Hassan al-Basri dan Muhammad Ibn Sirin di dalam ilmu pengetahuan?.” Jawab Asy-Sya’bi, “Bahkan Ibrahim yang terlebih alim, malah beliau mengatasi semuanya sama ada ulama’-ulama’ yang berada di Basrah, Kufah, Hijaz dan juga Syam.”

 

Beliau terkenal amat tawadhu’ dan wara’, sehingga dikatakan waktu beliau mengajar, kepalanya tidak memandang ke muka atau ke atas, menunduk ke lantai. Perkataannya manis dan lemah lembut.

 

Imam Muhammad bin Sirin mengatakan Ibrahim an-Nakha’I bermata juling. Sungguhpun begitu Ibrahim adalah seorang ulama’ yang pandai berhelah. Helahnya pula tidak menyebabkan dia terjatuh ke dalam lembah dosa.

 

Ibrahim an-Nakha’I meninggal dunia pada tahun 96 hijrah semasa sedang bersembunyi dari kekejaman al-Hajjaj bin Yusuf ath-Thaqafi, gabenor Iraq di akhir pemerintahan Khalifah al-Walid bin Abdul Malik bin Marwan kerana mahu menumpah darah.

 

 

5.4      Alqamah bin Qais an-Nakha’I

Alqamah ialah Alqamah bin Qais bin Abdullah bin Malik an-Nakha’I al-Kufi. Beliau adalah sealim-alim ulama’ kufah dari murid Ibnu Mas’ud. Dikatakan beliau dilahirkan pada waktu Rasulullah saw masih hidup lagi, tetapi ketika Rasulullah S.A.W wafat, beliau masih kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa.

 

Beliau belajar dan meriwayatkan hadith dari Umar, Uthman, Ali dan Ibnu Mas’ud. Beliau digelar Alqamah ar-Rawi, yang bererti Alqamah si Perawi Hadith.

 

Ibnu Mas’ud adalah guru kepada al-Qamah yang paling lama dan rapat dengannya. Beliau belajar dengan Ibnu Mas’ud dengan kesungguhan yang luar biasa sehingga Ibnu Mas’ud mengakui kealimannya. Kata Mas’ud, “Setiap yang aku baca dan mengatahuinya, Alqamah juga telah membaca dan mengetahui juga perkara itu.

 

Kabus bin Zabyan berkata kepada ayahnya, “Kenapa ayah bertanya masalah kepada Alqamah dengan meninggalkan para sahabat?”

Zabyan menjawab, “Aku sempat melihat beberapa orang sahabat Rasulullah ص telah bertanya dan meminta fatwa daripadanya.”

 

Imam Az-Zahabi, seorang ulama’ Hadith yang termahsyur berkata, “Alqamah adalah seorang yang faqih dimana beliau mengamalkan ilmunya, alim, bijak, warak, pembaca al-Quran yang merdu suaranya dan seorang perawi Hadith yang sangat tepat memindah Hadith, di mana matan-matan hadith yang di pindahnya tidak berubah.

 

Beliau di katakan sangat menyerupai gurunya Ibnu Mas’ud terutama dalam sifat-sifat kelebihan dan keutamaannya.

 

Selain terkemuka sebagai ulama’ besar yang alim lagi faqih dalam bidang ilmu pengetahuan, Alqamah juga merupakan seorang kepala perang yang berani dan mempunyai pengaruh besar di Kufah.

 

6.0            ANAK MURIDNYA YANG TERKEMUKA

Oleh kerana Imam Abu Hanifah merupakan ulama’ besar lagi faqih dalam bidang ilmu pengetahuan sehingga dinisbahkan kepadanya lautan ilmu dengan anugerah yang Allah ـ kurniakan kepadanya, maka sudah tentulah beliau mempunyai anak murid yang ramai menuntut ilmu dengannya. Sejak beliau menjadi guru besar, boleh dikatakan halaqah beliau adalah halaqah ilmu yang paling ramai dikerumuni oleh para pelajar yang mahu menimba ilmu sebanyak-banyaknya daripada seorang alim seperti beliau. Lebih-lebih lagi sifat beliau yang ramah, pemurah, sabar, suka bermuzakarah dengan murid-muridnya membuat pelajar-pelajar suka menghadiri majlisnya.

 

Dikalangan muridnya yang sebegitu ramai, terdapat empat orang murid beliau yang paling terkemuka kerana mempunyai kecerdasan akal fikiran yang luar biasa, serta kedalaman fahaman serta kebolehan mengupas dan membahas ilmu secara mendalam. Keempat-empat murid Imam Abu Hanifah yang dimaksudkan itu ialah seperti di bawah.

 

6.1      Imam Abu Yusuf

Nama sebenarnya ialah Ya’qub bin Ibrahim al-Ansari, mahsyur dengan panggilan Imam Abu Yusuf. Beliau dilahirkan pada tahun 113 Hijrah. Ini bererti beliau lebih muda daripada gurunya Imam Abu Hanifah sebanyak 33 tahun. Jelaslah beliau masuk belajar dengan Imam Abu Hanifah ketika usianya sekitar 15 tahun. Ketika itu usia Imam Abu Hanifah adalah lingkungan 48 tahun. Ini adalah kerana Imam Abu Yusuf sebelum masuk belajar dengan Imam Abu Hanifah terlabih dahulu belajar dengan Imam Abi Laila dan lain-lain ulama’.

 

Imam Abu Yusuf pada awalnya belajar bermacam-macam jenis ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan agama. Walaupun, beliau hidup di bumi Iraq yang kebanyakan ulama’nya condong kepada fikiran disebabkan kekurangan hadith di sana, tetapi Imam Abu Yusuf lebih berminat kepada ilmu hadith. Beliau menumpukan perhatiannya untuk belajar menghimpun hadith yang diriwayatkan dari Hisyam bin Urwah bin Az-Zubair bin Al-Awwam, Ata’bin As-Saib dan lain-lain.

 

Sebagaimana yang telah disebutkan, pada mulanya Imam Abu Yusuf belajar dengan Imam Muhammad bin Abdul Rahman Ibnu Abi Laila, mufti bagi kerajaan Bani Umaiyyah di Kota Kufah. Tidaklah di ketahui sebabnya kenapa beliau terlebih dahulu belajar dengan Imam Abi Laila dengan meninggalkan Abu Hanifah. Boleh jadi juga pada ketika itu Imam Abu Hanifah masih belum keluar sebagai guru ataupun boleh jadi juga Imam Abu Yusuf suka belajar dengan Imam Ibnu Abi Laila. Namun, boleh jadi juga Imam Abu Yusuf memilih untuk belajar kepada Imam Ibnu Abi Laila terlebih dahulu disebabkan pada ketika itu Imam Abu Hanifah masih belum muncul sebagai guru memandangkan Imam Ibnu Abi Laila lebih tua daripada Imam Abu Hanifah sebanyak enam tahun. Imam Ibnu Abi Laila di lahirkan pada tahun 74 Hijrah, manakala Imam Abu Hanifah lahir pada tahun 80 Hijrah.

 

Setelah berpindah belajar, bertemu dan menuntut ilmu dengan Imam Abu Hanifah, Imam Abu Yusuf telah belajar bersungguh-sungguh sehingga terpancar sinar kealimannya di mata Imam Abu Hanifah. Beliau mengatasi semua anak murid Imam Abu Hanifah kecuali Zufar bin Huzail. Tetapi Imam Abu Hanifah lebih menyanginya daripada muridnya yang lain.

 

Mengikut satu riwayat, apabila Kota Baghdad dibangun oleh Khalifah Abu Ja’afar al-Mansur, Imam Abu Yusuf telah berpindah bersama gurunya Imam Abu Hanifah ke sana. Tetapi setelah Imam Abu Hanifah meninggal dunia dan beliau dilantik menjadi Qadhi Qaudhah, Imam Abu Yusuf sering berulang alik di antara Kufah ke Baghdad disebabkan sesuatu urusan.

 

Imam Abu Yusuflah muridnya yang mula-mula menulis dan mengumpul catitan-catitan dan tulisan-tulisan dari pelajarannya yang diterima dari gurunya itu. Oleh sebab itu, dari beliaulah tersebarnya ajaran-ajaran dan bidang ilmu yang di kuasai oleh Imam Abu Hanifah keseluruh pelusuk negeri Iraq terutamanya ketika beliau menjawat jawatan Qadhi Qaudhah, iaitu Ketua Qadhi di Baghdad pada zaman Khalifah Harun ar-Rashid.

 

Diantara kelebihan beliau, ialah ulama’-ulama’ ahli hadith ramai yang memuji dan mengakui kepandaian beliau. Diantaranya, mereka ialah Yahya bin Muin, iaitu seorang ulama’ besar ahli Hadith telah berkata, “Tidak ada seorang alim ahli ra’yi yang banyak mengumpulkan hadith dan boleh dipercayai riwayatnya selain daripada Imam Abu Yusuf.”

 

Imam Abdullah bin Mubarak pula berkata bahawa Imam Abu Yusuf memiliki kedudukan yang amat tinggi di sisi Khalifah Harun ar-Rashid dengan mengenderai baghal sedangkan wazir khalifah sendiri memasuki istana hanya dengan berjalan kaki. Tirai di angkat dan beliau lalu dengan menunggangi baghalnya. Khalifah ar-Rashid selalu mendahuluinya didalam memberi salam.

Beliau wafat pada tahun 183 Hijrah, pada ketika itu beliau berusia 70 tahun.

 

 

6.2      Imam Muhammad bin Hasan As-Syaibani

Beliau di lahirkan di Kota Kufah pada tahun 132 Hijrah. Ini bererti beliau 19 tahun lebih muda dari Imam Abu Yusuf dan 52 tahun lebih muda daripada Imam Abu Hanifah. Disebabkan jarak antara usianya yang begitu jauh dari Imam Abu Hanifah telah menyebabkan beliau tidak sempat belajar lama dengan Imam Abu Hanifah kerana kewafatan Imam Abu Hanifah. Ketika kewafatan Imam Abu Hanifah, Imam Muhammad bin Hasan baru berusia 18 tahun. Untuk meneruskan pengajiannya, beliau telah menyambung pengajiannya kepada Imam Abu Yusuf.

 

Setelah beliau menjadi seorang ulama’ besar, beliau menetap di Kufah. Ketika itu Imam Syafi’e datang ke Kufah dan menumpang di rumah beliau kerana beliau juga mempelawanya.

 

Imam Muhammad bin Hasan seorang yang sangat bijak. Dengan kata lain, beliau seorang yang genius. Ini diakui sendiri oleh Imam Syafi’e ketika beliau menumpang di rumah Imam Muhammad as-Syaibani selama beliau berada di Kufah. Selama bertandang di rumah Imam Muhammad ini, Imam Syafi’e telah mengambil kesempatan bertukar-tukar fikiran dengan cara berdebat, bermuzakarah dan bermunazarah yang mana hasilnya amat besar faedah kepada kedua-duanya.

 

Ketika mahu meninggalkan Kota Kufah untuk kembali memuji-muji keelokkan dan ketinggian balaghah bahasa Imam Muhammad bin Hasan ketika berdebat dan bermuzakarah dengan beliau. Mengikut Imam Syafi’e bahawa bahasa Imam Muhammad bin Hasan tiada tolok bandingnya. Amat manis dan amat sopan mempersonakan setiap orang yang mendengarkannya.

 

Beliau dikala berada di mercu keagungan, sering berdamping repat dengan Khalifa Harun ar-Rashid terutama setelah guru dan juga sahabatnya Imam Abu Yusuf meninggal dunia.

 

Imam Muhammad bin Hasan asy-Syabani adalah pengarang kitab-kitab dalam mazhab Hanafi yang paling terulung. Beliau mengarang Kitab Al-Mabsut dimana kitab ini mengandungi beribu-ribu masalah feqah bagi Mazhab Hanafi, Kitab Jamiul Kabir, Kitab Jamiul Saghir, Kitab as-Sirul Kabir Kitab as-Sairs Saghir dan Kitab Az-Ziyadah.

 

Kitab al-Mabsut mengandungi beribu-ribu masalah agama yang di putuskan oleh Imam Abu Hanifah sendiri. Juga putusan-putusan Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin Hasan sendiri yang menyalahi fatwa Imam Abu Hanifah, juga terkandung perselisihan pendapat di antara Imam Abu Hanifah dengan Imam Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Laila.

 

Kitab Jamiul Saghir terdiri daripada 40 bab daripada fasal-fasal feqah. Permulaannya ialah bab solat. Kitab Jamiul Kabir pula serupa isi kandungannya dengan Kitab Jamiul Saghir, cuma huraiannya lebih terperinci dan panjang. Manakala Kitab Sairis Saghir berisi persoalan jihad semata-mata, sedangkan Kitab Sairis Kabir berisi masalah feqah juga.

 

Imam Muhammad bin Hasan Asy-Syaibani meninggal dunia di Kota Ray pada tahun 189 Hijrah ketika berusia 57 tahun. Beliau adalah di antara murid Imam Abu Hanifah sehingga menjadi sebuah mazhab yang di anuti oleh satu perempat penduduk Islam di seluruh dunia.

 

 

6.3      Imam Zufar bin Huzail al-Kufy

Imam Zufar bin Huzail al-Kufy adalah pada zahirnya lebih pintar daripada Imam Abu Yusuf. Hammad bin Abu Hanifah telah bercerita tentang kisah perdebatan antara Imam Zufar dengan Imam Abu Yusuf, katanya, “Pada suatu hari aku lihat Abu Hanifah sedang duduk. Di kanannya duduk Abu Yusuf, manakala dikirinya duduk Zufar. Kedua-duanya duduk berdebat, batah membantah sehingga masuk waktu zuhur.

 

Apabila tukang azan mula mahu melaungkan azan, Abu Hanifah menepuk paha Zufar, katanya, “Janganlah kau ingin menjadi kepala dalam bidang ilmu di negeri yang mana di dalamnya ada Abu Yusuf.”

 

Imam Abu Hanifah memenangkan Abu Yusuf. Tetapi ketika beliau wafat, tiada seorangpun dari kalangan anak murid beliau yang dapat menyamai apa lagi mangatasi Imam Zufar.

 

Kepintaran Imam Abu Hanifah dalam ilmu psikologi nampak jelas ketika beliau mengadili perdebatan dua orang muridnya ini. Beliau sudah dapat mambaca sifat-sifat dan pembawaan yang dimiliki oleh Abu Yusuf adalah cukup hebat dan tidak akan ada sesiapa yang mampu mengatasinya.

 

Ternyata psikologi Imam Abu Hanifah itu tepat kerana setelah kewafatannya, Imam Abu Yusuf lebih menonjol di mata masyarakat dan istana khalifah sehingga dia dipilih dan diangkat oleh Khalifah Harun ar-Rashid untuk menerajui Jabatan kehakiman Negara dengan menjawat Jawatan Hakim Agung bagi seluruh negeri Iraq.

 

Tetapi boleh jadi juga Imam Abu Hanifah melihat keutamaan seseorang termasuklah keutamaan Imam Abu Yusuf melalui pandangan tembus atau kasyaf wali Allah yang dapat melihat kedudukan seseorang di masa hadapan. Ini telah pun terjadi kepada imam besar ini yang diriwayatkan beliau dapat melihat dosa-dosa yang jatuh melalui hujung-hujung janggut dan kuku tangan atau kaki orang yang sedang mengambil wudhu’.

 

Ketika mula-mula belajar, Imam Zufar lebih cenderung kepada ilmu hadith. Tetapi lama kelamaan ia bertukar angin lalu belajar ilmu akal dan qias sehingga dia muncul sebagai pemuka ilmu itu di Kufah. Imam Zufar terkenal ahli ibadat dan dia wafat pada tahun 158 Hijrah dalam usia yang masih muda iaitu ketika usianya 48 tahun.

 

 

6.4      Imam Hasan bin Ziad al-Lu’lui     

Terletak di nombor empat dari senarai empat orang anak murid Imam Abu Hanifah yang teragung. Tidak dinyatakan bila tarikh kelahirannya. Tetapi ada pendapat mengatakan beliau dilahirkan pada tahun 54 Hijrah, dimana pada ketika itu kerajaan sedang di dalam kekuasaan Khalifah Mu’awiyyah bin Abu Sufyan. Ini adalah kerana dikatakan beliau berusia amat panjang iaitu sehingga 150 tahun, sedang beliau wafat pada thun 204 Hijrah.

 

Pada masa mudanya Imam Hasan bin Ziyad adalah seorang yang tidak begitu memandang penting kepada urusan menuntut ilmu. Sehinggalah beliau berumur 60 tahun barulah beliau merasakan yang bahawa pentingnya seseorang menuntut ilmu serta merasakan martabat ilmu pengetahuan itu  terlalu tinggi di sisi Allah ـ terutamanya ilmu berkaitan ilmu al-Quran, Hadith dan feqah.

 

 

Diriwayatkan juga bahawa Imam Hasan bin Ziyad al-Lu’lui belajar selama 60 tahun pula selepas beliau merasai keinsafan bahawa tingginya nilai ilmu pengetahuan. Lepas itu beliau tidak lagi belajar, sebaliknya menjadi guru yang mempunyai murid-murid yang ramai pula. Ini bererti beliau hidup di alam leka selama 60 tahun, di alam belajar 60 tahun dan di alam guru selama 30 tahun.

 

 

Pada tahun 114 Hijrah ketika Imam Abu Hanifah berusia 34 tahun, Imam Hasan bin Ziyad al-Lu’lui mula berkecimpung secara bersungguh-sungguh dalam majlis ilmu. Kebetulan ketika beliau insaf itu majlis ilmu Imam Abu Hanifah. Lalu beliau terus menggabungkan dirinya ke dalam majlis itu.

 

 

Selain belajar kepada Imam Abu Hanifah, Imam Hasan bin Ziyad al-Lu’lui juga belajar kepada Imam Abdul Malik bin Abdul Azizi bin Ibnu Juraij, yang lebih terkenal dengan panggilan Imam Ibnu Juraij, seorang ulama’ besar di Kota Makkah dan seorang pemuka ilmua tafsir dan juga hadith. Setelah belajar kepada Imam Abu Hanifah selama 36 tahun, iaitu pada tahun 150 Hijrah ketika usia Imam Hasan bin Ziyad al-Lu’lui 96 tahun, gurunya Imam Abu Hanifah meninggal dunia. Untuk meneruskan pengajiannya beliau belajar pula kepada dua orang murid Imam Abu Hanifah yang paling utama iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin Hasan as-Syaibani.

 

Setelah belajar dengan Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin Hasan selama 24 tahun, iaitu pada tahun 174 Hijrah, beliau berhenti belajar dan duduk menjadi guru pula. Ketika itu usia Imam Hasan bin Ziyad al-Lu’lui alah 120 tahun.

 

Beliau wafat pada tahun 204 Hijrah dalam usia yang luar biasa lanjutnya dibanding rata-rata usia ummat Nabi Muhammad ص kini.

 

 

 

7.0            KITAB-KITAB

Sejarah Imam Abu Hanifah tidak ada menyebut bahawa beliau ada mengarang kitab-kitab untuk membukukan hasil ijtihad beliau. Yang jelas ialah semua kitab-kitab mazhab beliau adalah dikarang oleh para murid beliau terutama Imam Abu Yusuf dan lebih-lebih lagi Imam Muhammad bin Hasan as-Syaibani.

 

 

Tidak dapat dipastikan apakah sebabnya Imam Abu Hanifah tidak mengarang sebuah kitab pun. Apakah kerana beliau kurang berminat dalam kerja karang mengarang atau kerana beliau terlalu sibuk dengan belajar, berfikir, berniaga, berdebat dan beribadat? Beliau banyak melakukan solat sunat siang dan malam serta banyak pula membaca al-Quran.

 

Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa Imam Abu Hanifah sangat banyak melakukan perdebatan, muzakarah, dan bermunazarah dengan para sahabat, kawan serta anak muridnya demi untuk mencari kebenaran dan memantapkan ilmu, dan juga lawannya. Dimana Imam berdebat untuk mencari kebenaran dan meruntuhkan hujah-hujah palsu.

 

 

Sejarah Imam Abu Hanifah juga memperlihatkan bahawa beliau sangat banyak melakukan perdebatan dengan kaum zindik yang mahu merosakkan Agama Islam. Contoh perdebatan beliau yang termahsyur ialah perdebatan di antara beliau dengan Jaham bin Safwan, iaitu tokoh ajaran sesat.

 

Kalau dilihat pada ulama’-ulama’ besar lain yang juga begitu sibuk dengan medan ilmu dan amalan tetapi dapat juga menyiapkan beberapa buah kitab seperti imam-imam mazhab yang lain seperti, Imam Syafi’e, Maliki, Hanbali, Imam Hammad bin Salamah dan lain-lain. Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa, mungkin kerana Imam Abu Hanifah kurang mengarang kitab adalah di sebabkan pada zamannya pembukuan hasil ijtihad berjalan pada tahap yang perlahan sahaja. Oleh sebab itulah, para mujtahid mutlak seperti Imam Al-Auza’I di Syam, Imam Lait bin Saad di Mesir, Imam Sufyan Ath-Tauri di Kufah, Imam Sufyan bin Uyainah di Makkah tidak membukukan fatwa-fatwa dan hasil ijtihad mereka sehingga mazhab masing-masing dengan cepatnya hilang dan tidak dihargai orang semata-mata kerana mereka tidak membukukan mazhab mereka.

 

Setelah kerja-kerja pembukuan hasil ijtihad ke dalam kitab-kitab mulai rancak berjalan, iaitu pada ketika Imam Abu Hanifah telah tua dan lemah badannya beliau sudah tidak sanggup lagi bergiat aktif untuk menghasilkan karya-karyanya sendiri. Lebih-lebih lagi setelah munculnya anak-anak muridnya yang sungguh handal lagi alim dengan mewarisi ilmu Imam Abu Hanifah disamping dikalangan mereka yang handal lagi amat berwibawa seperti di dalam ilmu penulisan Imam Abu Yusuf, Imam Muhammad bin Hasan Asy-Syaibani dan lain-lain. Merekalah yang bersungguh-sungguh menghasilkan serta berusaha mengarang kitab-kitab dan membukukan fatwa-fatwa dan hasil ijtihad guru mereka Imam Abu Hanifah.

 

 

Diantara kitab-kitab di dalam mazhab Imam Abu Hanifah yang terbesar ialah Kitab al-Kharaj yang dikarang oleh murid beliau menjadi qadhi qaudhah, iaitu Ketua Qadhi pada zaman Khalifah Harun ar-Rashid. Kitab al-Kharaj ini telah menjadi sumber rujukan di dalam bidang hukum di dalam Mazhab Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi).

 

Selain Imam Abu Yusuf, Imam Muhammad bin Hasan Asy-Syaibani juga adalah tokoh Mazhab Hanafi yang paling banyak mengarang kitab untuk menyebarkan ajaran-ajaran mazhab Imam Abu Hanifah kepada masyarakat. Diantara kitab-kitab karangan beliau ialah Kitab al-Mabsut, Kitab az-Ziyadat dan lain-lain. Manakala Imam Hasan bin Ziyad pula mengarang Kitab al-Mujarrad dan masih banyak lagi kitab-kitab eqah mazhab ini dikarang.

 

 

8.0            SAAT KEWAFATANNYA

Setelah beberapa lama Imam Abu Hanifah di penjara oleh Khalifah Abu Ja’far al-Mansur kerana keengganannya menerima jawatan Qadhi Negara, keadaan kesihatan beliau semakin merosot dan badan beliau semakin lemah. Setiap hari belakangnya dipukul dengan cambuk, manakala keadaan usianya juga semakin  lanjut. Ketika itu usianya sudah menjangkau 70 tahun.

 

Diriwayatkan setelah berputus asa terhadap ketegasan dan kekerasan yang dilakukan oleh pengikut Khalifah Abu Ja’far al-Mansur, Imam Abu Hanifah menerima jawatan Qadhi Negara, lantas Khalifah Abu Ja’far al-Mansur memerintah para pengawalnya supaya membawa Imam Abu Hanifah ke hadapan Abu Ja’far al-Mansur. Setelah itu, Imam Abu Hanifah berteleku di hadapan Abu Ja’far al-Mansur. beliau telah menghulurkan kepada Imam Abu Hanifah air untuk diminumnya.

 

Setelah Imam Abu Hanifah meminumnya lalu Khalifah Abu Ja’far al-Mansur memerintah para pengawalnya supaya segera membawa semula Imam Abu Hanifah ke penjara. Sebaik sahaja Imam Abu Hanifah dibawa masuk semula ke dalam penjara oleh pengawal Abu Ja’far al-Mansur, maka Imam Abu Hanifah merasa tidak selesa setelah meminum air yang diberikan oleh Abu Ja’far al-Mansur kepadanya. Rupa-rupanya air tersebut bercampur racun. Imam Abu Hanifah terasa ajalnya sudah hampir tiba, kerana itu Imam Abu Hanifah duduk di tempat yang selalu beliau solat dan tempat pembaringannya. Akhirnya, beliau merebahkan dirinya tunduk sujud mengadap Allah ـ. Dalam keadaan membongkok sujud itu, Imam Abu Hanifah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan tibalah masanya mengadap kekasihnya yang hakiki.

 

Wafatlah Imam Al-Azim Abu Hanifah an-Nu’man bin Thabit dalam penjara Kota Baghdad pada bulan Rejab itu pada tahun150 Hijrah, bersamaan 767 Masihi ketika beliau berusia, 70 tahun.

 

Setelah pengawal penjara mendapati Imam Abu Hanifah sudah meninggal dunia dalam keadaan sujud, lalu dibukakan pintu penjara dan di usung jenazahnya yang mulia itu dan di bawa keluar. Maka, dipanggillah kaum kerabat Imam Abu Hanifah dan meminta mereka menguruskan jenazah Imam yang telah teraniaya.

 

Kaum keluarga Imam Abu Hanifah dengan penuh kesedihan dan suara esak tangis. Jenazah Imam Abu Hanifah diletakkan untuk dimandikan. Orang yang diamanahkan untuk memandikan jenazah Imam Abu Hanifah terdiri daripada beberapa orang dengan yang diketuai oleh Hasan bin Imarah.

 

Sebaik sahaja Hasan bin Imarah selesai memandikan jenazah Imam Abu Hanifah, beliau berkata sebagai meratap, “Mudah-mudahan Allah ـ mengasihi engkau dan mengampunkan semua kesalahan engkau. Wahai orang yang merasai lapar selama 30 tahun, dan selalu bangun malam selama 40 tahun. Demi Allah ـ ! Engkau adalah seorang yang menyusahkan orang ramai setelah pemergian engkau ini.”

 

Beliau meninggalkan seorang isteri dan seorang anak yang bernama Hammad. Ketika mensolati jenazahnya, seramai 50 000 orang telah mensolati dan Khalifah Abu Ja’far al-Mansur sendiri turut mensolati jenazah imam besar ini kerana mahu menenangkan hati rakyatnya yang bergelora terhadap baginda.

 

Beliau dimakamkan di Tanah Perkuburan al-Khaizaran di Timur Kota Baghdad. Dengan itu, hilanglah sebutir bintang yang telah menerangi dunia Islam dan mazhabnya telah dianuti oleh satu perempat penganut Islam di seluruh dunia.               

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: