اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


بِسْمِ الله الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ لله رَبِّ الْعَالَمِينَ ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ، وَعَلَى أَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ . أَمَّا بَعْدُ

Ilmu berkaitan dengan Manaqib atau Biografi ini adalah suatu ilmu yang sangat penting bagi setiap umat Islam kerana ia merupakan suatu ilmu yang bersangkut paut dengan Manhaj Qurani dan Nabawi. Hal ini kerana, jika dilihat di dalam al Quran itu sendiri, kita akan dapat lihat bahawa Allah ـ, menceritakan berkenaan kisah-kisah insan yang mulia seperti kisah 7 pemuda Ashab al Kahfi, Luqman al Hakim, Nabi Yusuf, Sayyidah Mariam, dan sebagainya untuk kita sebagai hambaNya mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut.

 

Maka, Alhamdulillah dengan hasil yang sedikit ini, saya mampu untuk mempelajari sedikit sebanyak ilmu berkaitan dengan manaqib ini. Semoga kita semua dapat mengambil manfaatnya dan meniru sedikit sebanyak perilaku mereka serta beramal dengan amalan mereka supaya bertambahnya kekuatan agama, mujahadah dan kesabaran kita dalam menghadapi ujian dan mehnah daripada Allah. Semoga kita digolongkan di dalam kumpulan kekasih-kekasih Allah yang dilimpahi dengan rahmatNya dan mendapat nikmat yang dijanjikan oleh Rasulullah ص, sebagaimana sabda Baginda ص :

اَلَمرْءُ مَعَ مَنْ أَحَب

Seseorang itu bersama dengan orang-orang yang dikasihinya.”

وصلَّى اللهُ عَلَى خَيْرِ خَلْقِهِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ

 

1.0     Nama dan Kelahirannya

 

 

Al Imam Sayyid Muhammad al Mahdi ibn Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi, dilahirkan pada malam Rabu bulan Zulqaedah tahun 1260 H bersamaan tahun 1844 M di Zawiyah al Baidha’ Libya.

 

Namanya al Mahdi diberikan oleh ayahandanya sebagaimana katanya :

أَسْمَيْنَاهُ المَهْدِيَّ لِيَحُوزَ إن شاء الله أَنْوَاعَ الهِدَايَةِ ، ونَرْجُوا اللهَ أن يَجْعَلَهُ هَادِيًا مَهْدِيًا.

“Kami menamakannya dengan al Mahdi agar beliau meraih pelbagai jenis hidayah, insyaAllah, dan kami mengharap kepada Allah agar menjadikan beliau sebagai seorang pemberi petunjuk dan diberikan petunjuk”

 

 

2.0     Pentarbiahan dan Pendidikannya

          Setelah usianya genap 6 tahun, ayahandanya memasukkannya ke Madrasah al Quran yang berada di bawah seliaan al ‘Allamah al Kabir Sayyid ‘Imran ibn Barakah al Faituri. Ketika usianya 7 tahun, beliau telah berjaya menghafaz 30 juzu’ al Quran.

 

 

Hal ini kerana, ulama’ Tariqat al Sanusiah amat mengambil berat terhadap pendidikan al Quran anak-anak mereka. Mereka sentiasa menggesa anak-anak mereka supaya membudayakan hafazan al Quran kerana menjejaki perbuatan para sahabat  dan juga ulama’ dalam mendidik anak-anak mereka.

 

 

Imam al Suyuti  pernah berkata :

“ Mengajar al Quran kepada anak-anak adalah asas dari asas-asas Islam. Maka mereka akan membesar di atas fitrah yang suci bersih dan mendahulukan cahaya hikmah memasuki ke dalam hati-hati mereka sebelum hawa nafsunya berkuasa dan menghitamkan hatinya dengan kegelapan dan kotoran-kotoran maksiat dan kesesatan.”

 

 

Semasa berusia 7 tahun, ayahandanya yang ketika itu berada di Hijaz menyuruh beliau menyusulinya di sana. Maka beliau pun bermusafir melalui jalan laut ke Iskandariah, kemudian ke Jeddah dengan ditemani oleh al Sayyid al Fadhil Muhammad ibn Ibrahim al Ghumari. Di sana, ayahandanya menyerahkan beliau kepada ulama’ yang hebat dan terpilih untuk mentarbiahnya dalam bidang agama dan mengajarnya pelbagai ilmu di bawah seliaannya secara langsung.

 

 

Pada tahun 1274 pula, al Imam Sayyid al Mahdi  kembali ke Jaghbub Libya dengan ditemani oleh al ‘Allamah al Jalil Sayyid Abdur Rahim ibn Ahmad al Mahbub. Al Imam Sayyid al Mahdi  terus tinggal di sana bagi menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi di bawah seliaan dan taujihat ayahandanya dengan dikendalikan oleh ikhwan-ikhwan yang hebat. Di antara mereka ialah al ‘Allamah al Murabbi Sayyidi ‘Imran ibn Barakah  dan al ‘Allamah al Fadhil Sayyidi Ahmad ibn Abdul Qadir al Rifi.

 

 

Al Imam Sayyid al Mahdi  adalah seorang yang cerdik, berfikiran matang, beradab sopan dan berakhlak. Ayahandanya sangat menitikberatkan pentarbiahannya bagi menyediakan dirinya menjadi pemikul tanggungjawab yang bakal diterimanya pada masa hadapan dan menyerahkan kepadanya Tariqat al Sanusiah yang telah dibina di atas pasak-pasak yang paling kukuh.

 

 

Al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi  merupakan seorang yang amat prihatin dan sentiasa memantau pergerakan, perbuatan dan perkataan putera kesayangannya itu. Beliau sangat teliti dalam pemantauannya sehinggakan tidak ada suatu perkara pun yang terlepas dari pengetahuannya sama ada perkara yang besar atau pun kecil.

 

 

Di antara perkara yang menarik perhatian dan mencuit hati al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi, mengenai anakandanya, al Imam Sayyid al Mahdi  ialah :

Dalam salah satu majlis keraian, dibawa kepada al Imam Sayyid al Mahdi  seekor kuda yang siap berpelana untuk beliau tunggangi. Al Imam Sayyid al Mahdi  yang ketika itu masih kecil tidak mampu untuk meletakkan kakinya di atas tempat pijak pelana kuda tersebut tanpa bantuan seseorang. Lalu salah seorang ikhwan maju ke hadapan sambil menundukkan badannya bagi membolehkan al Imam Sayyid al Mahdi  naik ke atas bahunya dan dapat memijak tempat pijak kuda tersebut untuk menaiki tunggangan tersebut. Al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi t memerhatikan perkara tersebut dan melihatnya dari tempat yang tersorok. Al Imam Sayyid al Mahdi  tidak mahu dibantu untuk menaiki kuda tersebut. Dia menarik kuda itu sendiri sehingga hampir dengan batu yang tinggi dan kukuh di atas tanah, lalu naik ke atas batu tersebut. Dengan melakukan sedemikian, kakinya dapat sampai ke tempat pijak pada pelana kuda tersebut, lalu beliau pun menunggangnya. Inisiatif dan sifat berdikari yang dilakukannya ini mengkagumkan ayahandanya dan ikhwan-ikhwan yang hadir.

 

 

 

3.0     Firasat Ayahandanya Mengenai al Imam Sayyid al Mahdi t

 

Diriwayatkan, bonda al Imam Sayyid al Mahdi  pernah berkata : Al Imam al Akbar Sayyid Muhammad Ibn Ali al Sanusi  pernah sekali berkata kepadanya, “Adakah kamu tahu puteramu ini siapa?” Bondanya berkata, “Saya tidak tahu.” Beliau berkata, “Inilah dia orang yang dengannya Allah menghidupkan agama.”

 

 

Antara peristiwa lain yang menunujukkan firasat ayahanda al Imam Sayyid al Mahdi  ialah : Pernah sekali, salah satu jari al Imam al Akbar Sayyid Muhammad Ibn Ali al Sanusi   yang mulia tersusuk duri. Namun beliau tidak mempedulikannya sehinggakan kesakitan tersebut menjadi semakin kuat. Beliau meminta para ikhwan untuk mencabut, akan tetapi mereka tidak sanggup untuk melakukan kerana beradab, malu, dan takut akan menyakiti ketika mencabut duri tersebut. Lalu al Imam Sayyid al Mahdi tampil kehadapan dan berkata “ Sesungguhnya sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada tuanku, tidak akan saya lengah-lengahkan. Beliau pun mengambil tangan ayahandanya yang mulia dan mencari duri tersebut dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Beliau tidak mampu berkata-kata atau mengangkat mukanya di hadapan ayahandanya kerana amat malu dan beradab dengannya. Setelah selesai mencabut, al Imam Sayyid Muhammad ibn Ali al sanusi  bersuara “huh! Huh!” maka cepat-cepat Imam Sayyid al Mahdi keluar meninggalkan ayahandanya bersama bondanya al Baskariah. Maka ayahandanya berkata kepada bondanya,” Semoga keredhaan Allah menyelubungi ke atasnya. Ketika duri ini menusuk ke dalam jari saya, terdetik di dalam hati saya bahawa ia tidak akan dikeluarkan melainkan orang yang di tangannya berlakunya futuh (pembukaan) bagi hamba-hamba Allah dan dia adalah puteraku ini.”

 

 

 

4.0     Kecermerlangan Kerjaya dan Dakwahnya

Ketika berusia 16 tahun,  setelah kewafatan ayahandanya, beliau mengambil alih tanggungjawab ayahandanya dalam urusan dakwah dengan penuh semangat dan bakat yang luas setelah sedia digilap. Semenjak itu, selama 37 tahun beliau tidak pernah meninggalkan Jaghbub sama ada untuk pergi bersiar-siar atau pun melancong. Apatah lagi Jaghbub merupakan pusat pengeluaran kader-kader dan syeikh-syeikh zawiyah. Demikian itulah al Imam Sayyid al Mahdi begitu konsisten dan bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan seluruh aktiviti keilmuan di Jaghbub sepertimana yang dilakukan oleh ayahandanya.

 

 

Semasa tinggal di Jaghbub , pemerintahan dari Istanbul, Hijaz, Yaman, Mesir, Morocco dan Eropah pernah menyatakan minat untuk mengadakan hubungan diplomatik dengannya, akan tetapi kerana terlalu sibuk beliau tidak mengendahkan.

 

 

Beliau juga telah mengadakan hubungan baik dengan ulama kaum Muslimin yang berada di dalam dan di luar Libya. Sementara pentadbirannya, bumi Jaghbub telah menyaksikan suatu ketenangan dan keamanan yang tidak dapat disaksikan di tempat-tempat yang lain semasa pemerintahannya.

 

 

Pada bulan Syawal 1312 H / 1895 M, beliau memutuskan secara tiba-tiba untuk memindahkan markaz di Jaghbub ke Kufrah selepas berjaya mengeluarkan ulama’-ulama’ besar dan mujahidin-mujahidin yang hebat serta penuntut-penuntut ilmu di Zawiyah Sanusiah seramai 5000 orang dengan 2000 daripadanya adalah penuntut di Jaghbub.

 

 

Beliau juga telah mengasaskan Majlis Tertinggi bagi para ikhwan Sanusiah dan Ulama’ Besar untuk menguruskan hal-hal kepimpinan tariqat yang bukan sahaja dianggotai oleh rakyat Libya tetapi menjangkau kepada penduduk dari Negara-negara Arab dan Islam yang lain.

 

 

Dari Kafrah dakwah Sanusi yang tidak hanya bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata menjelajah ke negeri–negeri selepas Bukit Tibesti dan Sudan sehingga berjuta-juta penyembah berhala di Sub Sahara’ memeluk agama Islam di tangan-tangan pendakwah-pendakwah Sanusi dan syeikhnya. Perkara ini tidak disenangi oleh Perancis, lalu dengan segera mereka melancarkan serangan ke atas Zawiyah Sanusi hingga memaksa Sayyid Muhammad al Mahdi berpindah segera ke Widai dan kemudian ke Koro. Ketika berpindah untuk berjihad menentang tentera-tentera Perancis di Koro Chad Sudan, beliau disertai seramai 1066 ulama’, dan orang awam yang pastinya jauh lebih ramai daripada itu.

 

 

 

5.0     Murid-muridnya

Al Imam Sayyid Muhammad al Mahdi al Sanusi mempunyai murid yang ramai yang datang dari serata pelusuk dunia Islam. Di antara muridnya yang terhebat ialah :

1)    Anak saudaranya, Sayyid Ahmad al Syarif ibn Muhammad al Syarif al Sanusi.

2)    Puteranya, Raja Muhammad Idris al Mahdi al Sanusi.

3)    Al Mujahid al Syahid, Syeikh al Jalil Umar Muhammad al Mukhtar.

 

 

Menyebut mengenai pengenalan al Syahid Umar al Mukhtar, beliau dilahirkan pada tahun 1861 M di Zawiyah Janzur. Bapanya wafat ketika beliau masih kecil. Mendapat pendidikan awal di Tadika al Quran dan kemudian menyempurnakan pengajiannya di Zawiyah Jaghbub selama 8 tahun. Kecerdikan dan ketangkasannya, mendapat perhatian yang tinggi daripada gurunya, al Imam Sayyid Muhammad al Mahdi  sehingga gurunya ini pernah berkata mengenai beliau, “ Sekiranya di sisi kami ada sepuluh orang seperti Umar al Mukhtar, nescaya sudah memadai bagi kami.”

 

 

Syeikh Umar al Mukhtar  adalah seorang yang bersungguh-sungguh menunaikan solat pada awal waktu. Beliau membaca al Quran pada setiap hari dan mengkhatamkannya seminggu sekali semenjak al Imam Sayyid Muhammad al Mahdi  berkata kepadanya, “ Wahai Umar! Wirid kamu ialah al Quran.”

 

 

Kisahnya sebagaimana diceritakan oleh Muhammad al Tayyib al Asyhab, bahawa pada suatu hari, beliau meminta izin untuk menemui al Imam Sayyid Muhammad al Mahdi daripada pengawalnya, Muhammad Hasan al Baskary. Setelah beliau masuk, al Imam Sayyid Muhammad al Mahdi mengambil mashaf al Quran yang berada di sebelahnya lalu menyerahkannya kepada Syiekh Umar al Mukhtar. Kemudian beliau berkata, “Adakah apa-apa lagi yang kamu mahukan?” Maka Syeikh Umar al Mukhtar  berkata kepadanya, “Wahai Tuanku! Sesungguhnya ramai daripada ikhwan membaca aurad tertentu yang berupa doa-doa dan tadharru’-tadharru’ yang telah tuan ijazahkan kepada mereka membacanya. Sedangkan saya tidak membaca melainkan aurad yang ringan selepas solat 5 waktu. Oleh itu, saya memohon kepada tuan agar berkenan mengijazahkan saya dengan apa yang tuan lihat bersesuaian dengan saya.” Maka al Imam Sayyid Muhammad al Mahdi  menjawab permohonan beliau dengan katanya :

يَا عُمَرَ! وِرْدُكَ القُرْآنُ

“Wahai Umar! Wirid kamu adalah al Quran.”

Semenjak peristiwa tersebut, Syeikh Umar al Mukhtar  amat mengambil berat tentang bekalan rohani hariannya dengan membaca al Quran dan mendirikan solat malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah beliau dianugerahkan sebagai syahid.

 

 

Seorang mujahid, Mahmud al Jahmi yang pernah berperang di bawah pimpinan al Syahid Umar al Mukhtar  menyebut, bahawa beliau pernah makan dan tidur bersama al Syahid Umar al Mukhtar  di satu tempat dan berkata :

“Saya tidak pernah sekali pun melihat beliau berbaring untuk tidur hingga ke Subuh. Beliau tidur hanya 2 atau 3 jam. Beliau sentiasa berjaga untuk membaca ayat-ayat al Quran dan menyempurnakan wudhu’nya selepas pertengahan malam dan kembali membaca al Quran. Beliau sentiasa berada di atas kemuliaan akhlak, ketinggian taqwa dan wara’ serta menghiasi dirinya dengan sifat-sifat mujahidin yang abrar.”

 

 

Antara sebab sifat thabat (teguh, tegas pendirian, dan tidak mudah goyah) menjadi ciri istimewa al Syahid Umar al Mukhtar  hinggakan saat-saat akhir hayatnya beliau mengekalkan bacaan al Quran dan menjadikannya sebagai ibadahnya serta melaksanakan hukum hakamnya ialah kerana al Quran itu adalah sumber penetapan dan hidayah.

 

 

Sesungguhnya al Syahid Umar al Mukhtar  sentiasa membaca al Quran dengan penuh tadabbur dan keimanan yang tebal. Oleh kerana itulah, Allah mengurniakan kepadanya thabat dan menghadiahkan untuknya jalan petunjuk. Beliau sentiasa membasahi lidahnya dengan ayat-ayat al Quran hingga nafasnya yang terakhir. Ketika berada di tali gantung, beliau membaca fiman Allah I :

 

 “(setelah menerangkan akibat orang-orang Yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan Bahawa orang-orang Yang beriman dan beramal soleh akan disambut Dengan kata-kata): “Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! “Kembalilah kepada Tuhanmu Dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ![1]

 

 

Al Syahid Umar al Mukhtar  wafat sebagai seorang syahid di tali gantung pada hari Rabu 16 September 1931 M di hadapan 20,000 orang para kekasihnya.[2]

 

 

 

6.0     Kewafatannya

 

 

Pada hari Ahad 24 Safar 1320 H bersamaan 2 Jun 1902, Sayyid Muhammad al Mahdi  telah kembali ke rahmatullah. Beliau meninggalkan tanggungjawab dan urusan dakwah kepada puteranya yang mulia dan khalifahnya yang agung, Imam Sayyid Muhammad Idris al Mahdi al Sanusi t, Raja Libya. Beliau adalah sebaik-baik khalaf (pengganti) bagi sebaik-baik salaf.

 

 

Beliau hanya meninggalkan dua orang putera sekalipun mempunyai 8 orang isteri. Iaitu, Sayyid Muhammad Idris Raja Libya dan Sayyid Muhammad Ridha. Pada hari kewafatannya, iaitu pada tahun 1902, beliau meninggalkan murid sehingga seramai 3 juta orang sedangkan rakyat Libya ketika itu tidak sampai 1 juta orang. Pada hari itu juga, beliau meninggalkan bagi Tariqat Sanusiah sebanyak 146 zawiyah yang terdapat di serata tempat, iaitu di Burqah sebanyak 45 zawiyah, di Mesir 21 zawiyah, di Hijaz 17 zawiyah, di Tripoli 18 zawiyah, di Fezzan 15 zawiyah, di Kufrah 6 zawiyah dan di Sub Sahara’ sebanyak 14 zawiyah.[3]

 

 

7.0     Kesimpulan

 

 

Alhamdulillah, setelah selesainya manaqib al Imam Sayyid Muhammad al Mahdi al Sanusi yang serba ringkas ini, dapatlah saya simpulkan berkenaan dengan manhaj yang dibawa oleh keluarga al Sanusi ini dalam menyampaikan dakwah Islam sehingga mencapai berjuta-juta orang. Hal ini tidak lain ialah dengan menggunakan cara pentarbiahan diri dengan ilmu dan juga rohani seseorang individu itu. Maka dengan adanya ilmu, seseorang itu mampu mengenal siapa yang disembahnya kerana Imam al Ghazali pernah menyebut :

“لا تَصِحُّ العِبَادَةِ إِلَّا بَعْدَ مَعْرِفَةِ المَعْبُود”

“Tidak sah ibadah seseorang itu kecuali selepas dia mengenal Tuhan yang disembahnya”

 

 

          Maka, untuk mengenal apa yang disembah, perlulah kepada ilmu agar ia mampu mendorong kita kepada jalan yang lurus. Moga dengan barakah menulis manaqib beliau kita dapat berhimpun dengan beliau di hari akhirat kelak bersama-sama dengan penghulu anbiya’ iaitu Rasulullah ص.

والله أعلم

وَصَلَّى اللهُ وَسَلَّمَ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

8.0     Rujukan

1) Tarikh al Harakah al Sanusiah fi Afriqia, Dr Ali Muhammad al Sallabi.

2) Pengenalan Tariqat al Muhammadiah al Sanusiah al Idrisiah, Dato’ Syeikh Muhammad Fuad ibn Kamaludin al Sanusi.


[1] Surah al Fajr : 27-28

[2] Tarikh al Harakah al Sanusiah fi Afriqia, Dr Ali Muhammad al Sallabi M/S : 422-424

[3] Pengenalan Tariqat al Muhammadiah al Sanusiah al Idrisiah, Dato’ Syeikh Muhammad Fuad ibn Kamaludin al Sanusi M/S : 173-200

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: