اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


1.0 MUQADDIMAH

 

بِسمِ اللهِ الرَّحمَنِ الرَّحِيم

اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَـمِيْن وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْـمُرْسَلِينَ سَيِّدِنَا مُحَمَّد وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. فِي كُلِّ لَـمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَ مَا وَسِعَهُ عِلْمُ الله

                       أَمَّا بَعْدُ

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah ـ kerana dengan taufiq dan inayahNya saya  telah diberi kekuatan menulis sebuah kerja khusus,yang memaparkan serba sedikit tentang Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani.Saya memilih untuk mengkaji tentang kerana beliau merupakan pengasas Tariqat Ahmadiah yang dahulunya pernah menggegarkan dunia semasa di bawa oleh anak muridnya yang paling dikasihi beliau,Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi .Sebuah kerajaan telah di bina di bumi Libya yang menjadikan al Quran dan al Sunnah sebagai pegangan utama perlembagaan mereka. Khalifah-khalifah mereka tergolong daripada ulama-ulama muhaddisin dan mufassirin yang terunggul pada zaman mereka.

Moga-moga apa yang telah saya kaji ini membawa manfaat kepada yang membaca. Sekalipun saya bukanlah orang yang layak dalam bidang ini namun di atas dasar kerja khusus dan semangat ingin mencuba saya mempersembahkan hasil kajian saya.

Saya akur,berkemungkinan terdapat terjemahan yang tersasar dari maknanya yang sebenar dan perkataan-perkataan yang kurang tepat serta salah ejaan.Justeru saya memohon ampun dan maaf atas sebarang kesilapan dan bersedia menerima sebarang teguran yang membina.

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

2.0 PENGENALAN

2.1 Kelahiran.

Syeikh al Masyaikh Sayyid Ahmad ibn Idris dilahirkan pada 21 Rejab 1163 Hijrah bersamaan 1750 Masihi di sebuah kampung terletak di Maisur,berdekatan dengan ibu kota Fas,di tepi laut Morocco.Beliau berasal dai keturunan yang mulia di Fas.

2.2 Keturunan.

Nama beliau ialah Ahmad ibn Idris ibn Muhammad ibn Ali ibn Ahmad ibn Muhammad ibn Abdullah ibn Ibrahim ibn Umar ibn Ahmad ibn Abdul Jabbar ibn Muhammad ibn Yamluh ibn Masyish ibn Abu Bakar ibn Ali  ibn Hurmah ibn Isa ibn Salam ibn Marwan ibn Haidarah ibn Muhammad ibn Idris al Asghar ibn Idris al Akbar ibn Abdullah al Kamil ibn al Hasan al Muthanna ibn Sayyidina Hasan ibn Sayyidina Ali dan Fatimah al Zahra binti Muhammad Rasulullahص.

Beliau tidak pernah bermegah-megah kerana beliau merupakan daripada keturunan yang mulia iaitu nasab beliau yang sampai kepada Rasulullah ص.Ketika anak murid beliau,Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi meminta beliau menulis tentang nasabnya,beliau dengan tegas bekata:

نَسَبِي الْكِتَابُ وَالسُّنَةُ،أُنْظُرْ إِلَيَّ، فَإِنْ وَجَدْتَنِي عَلَى الْكِتَابِ وَالسُّنَةِ ،فَقُلْ :أَحْمَدُ بْنِ إِدْرِيسَ عَلَى الْكِتَابِ وَالسُّنَةِ ،فَهَذَا نَسَبِي ،يَقُولُوا اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى :الْيَومَ أَضَعُ أَنْسَابَكُمْ ،وَأَرْفَعُ نَسَبِي ،أَلَا وَهُوَ التَّقْوَى.

Nasabku adalah Kitab dan Sunnah.Lihatlah kepadaku,jika kamu dapati aku berada di atas landasan Kitab dan Sunnah,maka katakanlah:Ahmad ibn Idris berada di atas landasan Kitab dan Sunnah.Maka inilah nasabku. Allah berfirman: Pada hari ini,Aku merendahkan nasab-nasab kamu dan meninggikan nasabKu,iaitu Taqwa.[1]

 

 

 

3.0 PENDIDIKAN DAN ILMUNYA

Semenjak kecil lagi,beliau telah ditarbiah dan diasuh dengan didikan agama yang mantap.Pada awalnya,beliau telah menghafaz al Quran dan sebahagian matan-matan ilmu.Beliau mempelajari asas-asas ilmu secara talaqqi sewaktu dipelihara oleh saudaranya yang mulia, Sayyid Muhammad ibn Idris dan Sayyid Abdullah ibn Idris.

Di kota Fas,beliau belajar dengan ramai ulama’ secara talaqqi di Masjid al Qarawiyyin selama 30 tahun. Beliau begitu tekun dan bersungguh-sungguh melazimi pengajian ahli-ahli ilmu sehingga sanggup mengharungi pelbagai keperitan dan kepayahan untuk mendapatkan ilmu-ilmu dan sanad-sanad yang begitu besar manfaatnya.

Melihat kepada latar belakang pendidikan Sayyid Ahmad ibn Idris, ternyata beliau mempunyai sanad yang meangkumi semua bidang ilmu. Beliau juga banyak meriwayatkan Hadis Musalsal dan mempunyai sanad ‘Aali sehingga mendapat pengiktirafan daripada Syeikh Muhammad Ali al Syaukani, pengarang kitab Nail al Autar yang masyhur kerana mempunyai sanad yang ‘Aali pada zamannya. Sebagai contoh, di antara Sayyid Ahmad ibn Idris dan Imam al Bukhari, hanya mempunyai 9 perantaraan.

 

 

3.1 Guru-Gurunya.[2]

Di antara tokoh ulama’ besar yang menjadi gurunya ialah:

1.Syeikh Muhaqqiq Sayyid Muhammad al Tawudi ibn Saudah al Murri

2.Syeikh Muhammad Abdul Karim ibn Ali al Zahabi

3.Al ‘Allamah Abu Muhammad Abdul Qadir ibn Syaqrun

4.Al ‘Allamah al Lughawi al Ustaz Muhammad al Majidiri al Syanqiti

5.Al Qutb al Mu’ammar Sayyid Abdul Wahab al Tazi al Hasani

6.Syeikh Abu al Qasim al Fasi

7.Sayyid  Muhammad ibn Abu Bakar al Syili al ‘Alawi

 

 

3.2 Anak-Anak Muridnya.[3]

1.Sayyid al Toyyib ibn Muhammad ibn Idris

-Merupakan anak saudaranya.

2. Sayyid Muhammad Uthman al Mirghani

-Merupakan seorang ‘allamah yang mursyid.

3.Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi

-Merupakan Al Hafiz dalam bidang hadis dan menguasai 50 bidang ilmu.

4.Sayyid Abdur Rahman ibn Sulaiman al Ahdali

-merupakan seorang yang alim dan hujjah al Islam.

5.Syeikh Zaidan ibn Muhammad

-merupakan salah seorang daripada keluarga al Qadhi.

6.Syeikh Ibrahim al Rasyid ibn al Qadhi Soleh

-merupakan seorang yang sentiasa menyampaikan sanad beliau selepas kewafatannya.

7.Syeikh Ali Abdul Haq al Qusi

8.Qadhi al Hasan ibn Ahmad al Dhamdi

9.Al Allamah Ahmad ibn Muhammad al Sowi al Misri al Khalwati al Maliki

10.Sayyid Syeikh Muhammad al Madani Zofir

11.Syeikh Muhammad al Majzub al Sawakini

-merupakan seoraang ulama’ Sudan yang masyhur dengan kasyaf,sodiq,karamah dan perkara yang mencarik adat.

12.Syeikh Muhammad ‘Abid ibn Ahmad ibn Ali al Sindi al Ansari al Madani al Hanafi

-Seorang Muhaddith dan musnid di Hijjaz serta seorang yang faqih dalam mazhab Hanafi.

13.Dan ramai lagi.

Apabila kita meneliti senarai nama anak-anak muridnya,kita mendapati mereka semua adalah ulama’ besar pada zaman tersebut.Ini secara tidak langsung menunjukkan kehebatan Sayyid Ahmad ibn Idris dalam arena ilmu pengetahuan dan pentarbiahan. Oleh kerana itulah beliau layak dinobatkan sebagai Syeik al Masyaikh ataupun Ustaz al Asatizah (guru bagi segala guru) sepertimana yang disebut oleh Syeikh Soleh ibn Muhammad al Ja’fari.

 

 

3.3 Kitab-Kitab Karangannya.

Sayyid Ahmad ibn Idris س mempunyai kitab karangan yang banyak. Ada di antara kitabnya dibawa oleh anak-anak muridnya yang ditugaskan untuk berdakwah di tempat-tempat lain di serata dunia islam. Ada yang telah terbakar ketika berlaku kebakaran di dalam biliknya selepas kewafatannya dan yang masih tinggal hanyalah beberapa buah kitab yang dikumpulkan. Sebahagian daripadanya telah dicetak, manakala sebahagian yang lain masih kekal dalam bentuk tulisan tangan.

Di antara kitab karangannya yang masih tinggal dalam bentuk cetakan dan tulisan tangan ialah:

1.Tafsir Basmalah

2.Tafsir Surah al Fatihah

3.Tafsir Hizib yang pertama daripada surah al Baqarah

4.Tafsir ayat ‘inna al muslimin wa al muslimat’

5.al ‘iz al Masun fi Tafsir Surah al Tin wa al Zaitun

6.Tafsir Surah al Dhuha dan al Insyirah

7.Tafsir Surah al Kauthar

8.Tafsir potongan ayat-ayat al Quran

9.al Nafahaat al Rabbaniyah fi Syarh Hadith al Sunnah al Muhammadiyah ‘al Ma’rifah Ra’su Mali’

10.al Nafahaat al Kubra

11.Risalah Kaimiya’ al Yaqin

12.Syarh ‘Aqidah Imam al Syafi’i

13.Syarh Husul al Haqiqah bi Nuzm Usul al Toriqah li al Arif Billah Salman ibn Abi al Qasim al Ahdali

14.Risalah al Asas

15.Risalah al Qawaid

16.Risalah Perbincangan Sayyid Ahmad ibn Idris dengan Fuqaha’ Najd

17.Risalah mengenai Khalwat

18.Syarah Hadith ‘Solli Solata al Muwaddi’

19.Syarah Empat buah hadith iaitu:

a)al Din al Nasihah

b)Innama al a’malu bi al niat

c)al Halal al Bayyin wa al Haram al Bayyin

d)Min Husni al Islami al Mar’I tarkuhu ma la ya’nih

20.Syarah Qasidah Imam Junaid al Baghdadi di dalam ilmu tasawuf

21.al ‘iqd al Nafis fi Nuzum Jawahir al Tadris (kitab yang mengandungi jawapan-jawapan yang dijawab oleh Sayyid Ahmad ibn Idris di dalam majlis pengajiannya)

22.Risalah Mengenai Zikir

23.Risalah penolakan terhadap orang yang menggunakan pendapat akal semata-mata

24.Khutbah Nikah

25.Khutbah Dua hari raya dan Minta hujan

26.Risalah mengenai Tasawuf dan suluk

27.Ruh al Sunnah (Kitab ini mengandungi hadith-hadith pilihannya)

Ini merupakan kitab-kitab Sayyid Ahmad ibn Idris sebagaimana yang dinyatakan oleh cicitnya Sayyid Ahmad Mustafa.[4]

 

 

 

4.0 MANHAJ DAKWAH[5]

Dakwah beliau adalah dengan menyebarkan tariqat beliau yang mulia, al Muhammadiah al Ahmadiah dan paling masyhur disebut al Ahmadiah al Idrisiah. Tariqat ini didirikan atas dasar ketaqwaan kepada Allah ـ, penghayatan terhadap makna-makna Kitab Allah dan beramal dengan Sunnah Rasulullah. Oleh kerana itu, beliau menegaskan :Tariqatku ialah al Quran dan Sunnah.

Tariqatnya telah tersebar luas pada zamannya dan dikenali di kebanyakan negara islam yang pernah di masuli oleh Sayyid Ahmad ibn Idris dan kader-kader yang diutuskannya. Dari tariqah ini, tertubuhnya banyak tariqat yang masyhur pada hari ini, seperti:

1.Tariqah al Sanusiah di Libya:Diasaskan oleh Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi

2.Tariqah al Khatmiah di Sudan:Diasaskan oleh Sayyid Muhammad Uthman al Mirghani

3.Tariqah al Madaniah di Morocco:Diasaskan oleh Sayyid Syeikh Muhammad Hasan

Zofir al Madani.

Sayyid Ahmad ibn Idris menggariskan manhaj yang tertentu di dalam menjayakan kelangsungan dakwahnya menyeru kepada jalan Allah ـ.Manhaj-manhaj tersebut sentiasa diserapkan di dalam seluruh madrasah sufinya. Secara ringkasnya, manhaj da’wahnya terdiri daripada 8 prinsip utama:

 

 

 

4.1 Dakwah secara global

Konsep Islah Ummah (Memperbaiki Umat) yang diagendakan oleh Sayyid Ahmad ibn Idris menjangkau ke seluruh dunia islam. Dalam program tersebut, beliau mengembalikan umat Islam kepada sumber perundangan Islam yang utama iaitu al Quran dan al Sunnah serta mengajak mereka bermujahadah untuk memperbaiki zahir dan batin. Beliau pernah berkata kepada muridnya: Saya suka apabila sesuatu kebaikan itu dikecapi oleh setiap manusia. Mendengarnya, muridnya Syeikh Ibrahim al Rasyid bertanya kehairanan: Adakah sehingga kepada orang kafir? Kata Sayyid Ahmad ibn Idris: Ya!Saya suka sekiranya Allah ـ juga memberikan hidayahNya kepada mereka.

Sesungguhnya, gagasan inilah yang telah berjaya meroboh dan menembus tembok perkauman yang begitu menular dan menebal pada masa itu.

 

4.2 Pemilihan yang tepat

Beliau pandai dalam memilih anak muridnya yang sesuai sebagai kader untuk dihantar ke tempat-tempat lain bagi menyambung tugas dakwahnya.Malahan, beliau tidak lupa untuk terus memberikan perhatian dan mengikuti pekembangan mereka dengan menulis surat untuk memberikan suntikan semangat dan kata-kata nasihat dalam urusan dakwah.

Selain itu, cara terpenting yang dilakukannya ialah beliau sendiri berusaha menyampaikan pengajian dan dakwahnya ke seluruh pelusuk dunia Islam yang dilaluinya ataupun yang disinggahinya selama beberapa hari.

 

 

4.3 Penekanan dari aspek amalan.

Sayyid ahmad ibn Idris س amat menekankan dari segi amalan (sikap-sikap yang baik) di dalam pentarbiahan beliau. Ia terbahagi kepada beberapa bahagian, seperti yang telah diterangkan oleh beliau sendiri di dalam risalah karangan beliau yang bertajuk al Qawaid (Kaedah-kaedah) yang telah dicetak beberapa kali.

Di antara kaedah-kaedah yang diperbicarakan adalah:

a) Muhasabah

-apabila kita hendak melakukan atau memperkatakan sesuatu hendaklah berfikir dahulu natijah daripada perkara tersebut samada ia baik ataupun buruk supaya apabila berada di padang Mahsyar kelak ,ketika Allah  ـ menyoal akan perbuatan kita tersebut,kita boleh menjawabnya dengan yakin.

b) Mendapat keredhaan Allah ـ

-melakukan setiap perkara hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah ـ. Maka,dengan sikap sebegini setiap perbuatannya akan dilakukan dengan berhati-hati dan tekun. Lantas, terbitlah ikhlas di dalam segala amalannya.

c) Rahmat

-memandang setiap muslimin itu dengan kasih sayang tanpa mengira darjatnya ataupun bangsanya.

d) Kemuliaan Akhlak

-apa sahaja perkara baik yang kita inginkan terjadi pada diri kita, perlulah dibuat pada setiap makhluk Allah yang lain. Sesungguhnya Allah ـ akan memberi balasan kepada hambaNya mengikut sikap dan akhlak pergaulannya terhadap manusia yang lain.

 

4.4 Mengambil berat terhadap aspek memberikan khabar gembira tentang Islam.

Zaman Sayyid Ahmad ibn Idris merupakan zaman kebangkitan penyebaran Islam yang bertembung dengan penyebaran Agama Kristian. Di sinilah letaknya rahsia di sebalik tujuan penghantaran anak muridnya al Mirgahni ke kawasan Timur Sudan dan Euthopia, untuk menyeru manusia kepada Islam yang pada waktu itu berlaku perlawanan yang hebat di antara penganut Agama Kristian dengan Islam.

Dengan usaha yang dilakukan oleh al Mirgahni, maka beribu-ribu penganut ajaran penyembah berhala telah memeluk Islam dan terselamat daripada menjadi penganut Agama Kristian.

 

4.5 Memasuki ke segenap kawasan

Sayyid Ahmad ibn Idris dan anak-anak muridnya juga memasuki kawasan perkampungan dan pedalaman di samping mengambil berat tentang keperluan dan kemudahan kehidupan mereka. Dengan cara mendekati kehidupan mereka ini, maka senanglah bagi Sayyid Ahmad ibn Idris untuk mengubah kehidupan mereka, seterusnya menerima dakwah yang diusahakannya.

Pendekatan ini lebih kerap dilakukan oleh Sayyid Ahmad ibn Idris pada peringkat terakhir kehidupannya.Beliau sendiri pergi memasuki kawasan selatan Mesir dan berpindah dari satu kampung ke satu kampung selama lima tahun dan akhirnya beliau mengakhiri hidupnya di daerah Asir sebuah kawasan berbukit-bukau yang didiami oleh orang-orang Badawi.

 

4.6 Memajukan pusat kegiatan dan pembangunan kaum muslimin.

Sayyid Ahmad ibn Idris membina pusat pembangunan Islam untuk pelbagai kegunaan seperti tugas-tugas dakwah, pengajaran, penghidupan dan jihad. Usaha ini telah diteruskan oleh anak-anak muridnya. Mereka menyebarkan dakwah dengan membina tempat-tempat untuk dijadikan sebagai markaz penyebaran ilmu di kebanyakan tempat di dunia islam.

 

4.7 Berdakwah secara aman

Beliau tidak pernah menggunakan senjata sebagai suatu alternatif untuk berdakwah melainkan dengan jalan aman dan berhikmah.

 

4.8 Mengambil berat tentang amalan zikir dan membina muslim yang berzikir 

Di antara kata-kata yang pernah diungkapkan kepada anak-anak muridnya:

Sekiranya kamu mampu untuk tidak luput walau satu nafas dari nafas-nafas kamu melainkan mengingati Allah ـ,maka lakukanlah.

 

 

5.0 SUMBANGAN DALAM DAKWAH

Sumbangan beliau di dalam bidang dakwah amatlah besar kerana melalui methode dakwah beliau, berjuta-juta manusia memasuki Islam, ramai anak murid beliau menjadi ulama’ besar di zaman mereka, banyak pergolakan di sesetengah negara Islam dapat dileraikan  serta banyak lagi impak yang berlaku melalui dakwah beliau.

Segalanya adalah kerana asbab tariqat yang di bawa oleh beliau serta strategi dakwahnya yang amat efisyen pada zaman tersebut. Jadi dapat disimpulkan bahawa sumbangan besar beliau adalah berdasarkan jalan sufiyyah yang menekankan aspek pentarbiahan rohani, makrifah dan ilmu.

 

5.1 Asal-usul Tariqat Ahmadiah[6]

Sayyid Ahmad ibn Idris pada asalnya tidak mengambil sebarang tariqat sehinggalah beliau mendapat kepercayaan dan keizinan mengajar daripada gurunya-gurunya. Ini membuktikan bahawa sebelum beliau mengambil tariqah, beliau sudah menjadi seorang yang alim dan pakar dalam ilmu agama.

 

Beliau telah menerima banyak tariqat,antaranya adalah:

1) al Khidiriah al ‘Aziziah yang diterima daripada Sayyid Abdul Wahhab al Tazi al Hasani

2) al Syazuliah yang diterima daripada Sayyid Abu al Qasim al Wazir al Ghazi

3) al Khalwatiah yang diterima daripada al Arif billah Syeikh Hasan Bik al Qinaei

Sebelum beliau belajar dengan Sayyid Abdul Wahhab al Tazi, beliau belajar dengan Sayyid Muhammad al Majidiri. Beliau merupakan ulama’ yang masyhur di Syanqit dan sering ulang alik ke Fas. Sayyid Ahmad ibn Idris mengambil peluang tersebut untuk belajar dengan beliau. Sayyid Ahmad ibn Idris juga telah mempelajari beberapa kitab hadis dan kitab-kitab lain serta menerima ijazah Hizb al Saifi dan Tariqah al Syazuliah.

Kemudian  beliau belajar pula dengan Sayyid Abdul Wahhab al Tazi yang merupakan guru kepada Sayyid Muhammad al Majidiri.Tergolong dalam golongan mu’ammarin (Orang yang mempunyai usia yang panjang) kerana usianya menjangkau hampir 130 tahun. Selepas kewafatannya,Sayyid Ahmad ibn Idris ingin berguru dengan sahabat Sayyid Abdul Wahhab al Tazi, Sayyid Abdullah yang merupakan seorang arifin yang tinggi darjatnya. Beliau pun bermunajat dan beristikharah kepada Allah ـ agar diberikan petunjuk. Akhirnya, beliau tidak ditaqdirkan oleh Allah ـ untuk berguru dengan Sayyid Abdullah tetapi berguru dengan Sayyid Abu al Qasim al Ghazi yang merupakan seorang wali Allah. Semasa belajar dengan beliau, Sayyid Ahmad ibn Idrisس mendapat pengetahuan yang luas tentang tariqat.

Selepas kewafatan Sayyid Abu al Qasim, beliau berdoa kepada Allah ـ, agar ditunjukkan kepadanya seorang syeikh murabbi sama ada di timur atau pun dibarat. Beliau berkata:berkhidmat kepada guru-guru bagi saya adalah satu keuntungan yang besar. Saya menyangka bahawa saya tidak akan berhenti daripada berguru dengan seorang guru demi seorang guru, tetapi Allah ـ telah mengilhamkan kepada saya bahawa tiada lagi guru yang boleh memberikan manfaat kepada saya selepas ini melainkan al Quran. Maka selepas itu, saya pun menghabiskan masa selama beberapa tahun dengan hanya membaca al Quran dan mengkaji serta meneliti isi kandungannya. Selepas itu, Rasulullah ص mempersaudarakan saya dengan al Quran dan memerintahkan saya supaya mengajar apa sahaja ilmu-ilmu dan rahsia-rahsia yang saya perolehi.”

Oleh yang demikian, apabila Sayyid Ahmad ibn Idris ditanya tentang sesuatu daripada ayat al quran, maka beliau akan menerangkan tentang hakikat-hakikat dan kehalusan makna-makna al Quran dengan penerangan yang melebihi tahap tahap pemikiran seorang manusia dan tidak dapat ditandingi oleh ulama’ yang lain.

Setelah itu, Sayyid Ahmad ibn Idris dipertemukan dengan Rasulullah ص secara jaga yang menjadi detik permulaan beliau menisbahkan nama tariqatnya kepada namanya sendiri, iaitu Tariqat al Ahmadiah al Muhammadiah.

 

 

6.0 KEWAFATANNYA

Sayyid Ahmad ibn Idris wafat pada 21 Rejab 1253 Hijrah bersamaan 1837 Masihi pada malam Sabtu di antara Maghrib dan Isyak .Ada pendapat mengatakan beliau wafat di atas riba anak muridnya, Sayyid Ibrahim al Rasyid. Sayyid al Soleh al Syeikh Ahmad Uthman al ‘Uqaili dilantik untuk memandikan jenazahnya. Al Allamah al Wali Sayyid Yahya ibn Muhsin al Ni’ami al Husaini menyembahyangkan jenazahnya di atas permintaan anakandanya Sayyid Muhammad ibn Ahmad ibn Idris. Beliau dikebumikan di Sabya yang merupakan Tanah Yaman (Sekarang di bawah kuasa kerajaan Saudi).

 

 

7.0 PENUTUP

Semenjak dari dulu lagi, kebanyakan ahli masyarakat memandang status ulama’ Tasawwuf hanya sebagai ahli ibadah dan mendidik anak-anak murid hanya untuk beribadah. Keilmuan mereka juga dibataskan hanya dalam ruang lingkup ibadah yang tidak berdasarkan dalil yang sohih, malah banyak menjurus kepada ilham dan mimpi serta meninggalkan medan perjuangan.

Mereka sebenarnya tidak nampak dan masih kabur terhadap realiti yang sebenarnya. Menyingkap kepada faktor sejarah Islam yang makin disepikan, ramai di kalangan ulama’ tasawuf merupakan pejuang dan pendakwah yang hebat. Malahan lebih hebat daripada itu, mereka membenamkan diri dalam arena perjuangan menegakkan kesucian kalimah Allah ـ dengan mengajak umat kearah kebenaran dan kedamaian.

Sayyid Ahmad ibn Idris sendiri mengakhiri riwayat kehidupannya di Yaman ketika sedang berdakwah di sana, sedangkan beliau berasal dari kota Fas, Morocco.

Ramai dari kalangan ulama’ Tasawuf mempunyai kehebatan yang tinggi dalam bidang keilmuan ahl Feqah yang tidak membidangi ilmu Tasawuf pada zamannya.

 

 

8.0 RUJUKAN

8.1 Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin

-Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani س .Sofa Production.Cetakan kedua

2001M/1422H

 


[1] Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani karangan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin H:3

[2] Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani karangan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin H:5

[3] Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani karangan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin H:129

[4] Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani karangan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin H:140

[5] Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani karangan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin H:104

[6] Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani karangan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin H:197

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: