اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


 

Bermula ilmu yang diwajibkan fardhu ‘ain pada menuntutkan akan dia tiga perkara:

1)    Ilmu Tauhid iaitu dinamakan Ilmu Usuluddin dan dinamakan pula ilmu aqidah

2)    Ilmu Syariah iaitu dinamakan Ilmu Furu’ dan dinamakan Ilmu Fiqh

3)    Ilmu Batin iaitu dinamakan Ilmu Suluk  dan Ilmu Thoriq dan dinamakan Ilmu Tasawwuf

Iaitulah yang tersebut didalam hadith S.A.W

(( طلب العلم فريضة على كل مسلم))

Ertinya: ((bermula menuntut Ilmu fardhu atas tiap-tiap orang yang muslim yang aqil baligh)).

Adapun qadar yang wajib fardhu ‘ain pada menuntut Ilmu Tauhid itu iaitu sekira-kira menuntut ilmu yang diketahui dengan dia akan Zat Allah Ta’ala dan sekelian SifatNya yang salbiyah dan segala SifatNya yang subutiyyah dan segala Af’alNya. Dan demikian lagi mengetahui penghulu kita Nabi S.A.W dan mengetahui segala Rasul ‘Alaihimus Solatu Was Salam dan mengetahui akan yang didatangkan oleh mereka itu dan beriman akan dia seperti yang lagi akan datang  bicaranya Ilmu Tauhid dan Ilmu Usuluddin dan Ilmu ‘Aqaid itu di dalam ini Insya Allah Ta’ala. Adanya memadalah fardhu ‘ain itu mengetahui Ilmu Tauhid yang didalam kitab ini dan yang di dalam Ihya’ Ulumuddin.

Adapun menghasilkan yang lebih daripada demikian itu seperti menguraikan dalil dan menolakkan akan syubhat jika didatangkan oleh orang maka iaitu fardhu kifayah jua bukan fardhu ‘ain. Dan tiada dituntut akan orang yang suluk yang menjalani jalan akhirat itu akan membanyakkan Ilmu Usuluddin yang fardhu kifayah itu dan hanyasanya yang dituntut akan mereka itu mengetahui fardhu ‘ain jua.

Dan dikerana inilah kata al-Syaikh al-‘Arif  Billah Syaikh Qasim al-Halabi didalam kitabnya yang bernama Sairu al-Suluk

و لا ينبغي للسالك أن يتوغل في علم العقائد لأنه لا فائدة له فيه بل يأخذ منه بقدر ما يحتاج إليه

Ertinya: Dan tiada sayugiyanya bagi orang yang salik yang menjalani jalan akhirat itu bahawa membanyakkan didalam Ilmu ‘Aqaid yakni Usuluddin kerana bahawasanya tiada memberi faedah didalam membanyakkan akan yang demikian itu tetapi mengambil ia daripada Ilmu ‘Aqaid itu dengan sekira-kira yang muhtaj (perlu) kepadanya yakni sekadar fardhu ‘ain itu jua.

Adapun qadar yang wajib fardhu ‘ain pada menuntut Ilmu Fiqh itu maka iaitu sekira-kira menuntut ilmu yang diketahui dengan dia itu akan fardhu toharah dan fardhu sembahyang dan puasa dan memberi zakat jika ia mempunyai nasab zakat dan naik haji jika ia kuasa akan dia dan demikian lagi mengetahui sekira-kira membatalkan sembahyang  dan sekelian yang demikian itu.

Adapun membanyakkan akan bicara Ilmu Fiqh yang lebih daripada demikian itu iaitu fardhu kifayah jua. Tiada dituntut bagi orang yang salik itu pada membanyakkan Ilmu Fiqh yang fardhu kifayah itu.

Dan kerana inilah kata Imam al-Ghazali Rahimullah Ta’ala didalam Bidayatul Hidayah pada bicara orang yang mengajar ilmu dan orang yang belajar akan dia dengan katanya

وصد المتعلم عن أن يشتغل بفرض الكفاية قبل الفراغ من فرض العين

Ertinya: Sayugiyanya bagi orang yang mengajar ilmu itu bahawa menegahkan ia akan orang yang belajar ilmu itu daripada masyghul (menyibukkan diri) dengan belajar ilmu yang fardhu kifayah dahulu daripada selesai ia daripada menuntut ilmu yang fardhu ‘ain yang tiga perkara itu iaitu Ilmu Tauhid dan Ilmu Syari’ah dan Ilmu Batin.

Adapun qadar yang wajib fardhu ‘ain menuntut Ilmu Batin yakni Ilmu Tasawwuf itu maka  iaitu sekira-kira menuntut Ilmu Tasawwuf yang menyucikan hati daripada segala sifat yang kecelaan seperti ‘ujub dan riya’ dan hasad dan takabur dan barang sebagainya daripada sifat kecelaan yang lagi akan datang bicaraan itu didalam kitab ini Insya Allah Ta’ala pada bicara muhlikat.

Dan demikian lagi wajib fardhu ‘ain itu berperangai dengan segala sifat yang kepujian seperti zuhud dan wara’dan ikhlas dan tawadhu’ dan sabar dan syukur dan barang sebagainya seperti yang lagi akan datang bicaraannya itu di dalam kitab ini pada bicara munjiyat Insya Allah Ta’ala. Dan memadalah fardhu ‘ain pada ilmu Ilmu Tasawwuf  itu mengetahui barang yang didalam kitab ini dan barang yang di dalam Minhajul ‘Abidin seperti yang dikata oleh al-‘Arif Billah Muhyi al-Nufus al-Sayyid  Abdul Qadir al-‘Aidrus didalam kitabnya bernama al-Duraru  al-Samin fi Bayan al-Muhim min Ilmi al-Din dengan katanya

ولتحصيل هذا القدر يكفي العمل بكتاب منهاج العابدين وتفصيل هذا العلم ليس فرض العين

Ertinya: Dan menghasilkan pada Ilmu Tasawwuf  yang fardhu ‘ain itu memadalah dengan mengamalkan yang didalam kitab Minhajul ‘Abidin bagi Imam al-Ghazali Rahimahullah Ta’ala, dan perceraiannya bicara ilmu yang lebih daripada yang tersebut didalam kitab Minhajul ‘Abidin iaitu bukannya fardhu ‘ain hanyasanya fardhu kifayah jua.

Tetapi sayugiyanya bagi orang yang berkehendak kemenangan di dalam akhirat itu bahawa membanyakkan menuntut Ilmu Tasawwuf  yang fardhu kifayah itu, bersalahan fardhu kifayah yang lain daripada Ilmu Tasawwuf  maka iaitu tiada dituntut membanyakkan akan dia itu.

Dan dikerana inilah kata Ibnu ‘Ibad  R.A didalam Syarah Hikam dengan katanya

وهذه هي العلوم التي ينبغي للانسان أن يستغرق فيها عمره الطويل ولا يقنع منها بكثير ولا قليل وما سوى هذه العلوم قد لا يحتاج إليها وربما أضر بصاحبه مداومته عليها

Ertinya: Bermula segala ilmu ini yakni Tasawwuf ini iaitulah ilmu yang sayugiyanya bagi manusia itu bahawa mengkaramkan ia didalam menuntut akan dia oleh umurnya yang lanjut itu, yakni dihabiskannya umurnya itu di dalam menuntut Ilmu Tasawwuf itu, dan jangan memadai daripadanya dengan banyak dan jangan memadai dengan sedikit.

Bermula ilmu yang lain daripada Ilmu Tasawwuf ini terkadang muhtaj (perlu) kepadanya dan terkadang memberi mudhorat ia dengan orang yang mengekali atas menuntut akan dia.

Dan kerana inilah kata Syaikh  Hussain bin Abdullah Ba Fadhal didalam kitabnya yang bernama Fusul Al-Fathiyah dengan katanya

فدونك والتغلغل في علوم هذه الطائفة العارفة الصوفية المشغول بالله اقراء وقراءة وتدريسا ومطالعة في مصنفاتهم ومذاكرة لأنها تحي القلوب وتميت النفوس وتطلع العيوب التي هي سبب الحجاب والبعد عن الله وغيرهما من سائر العلوم غالبها يقسي القلب ويزين العيوب ويحجب عن الغيوب ويخشى عن المشتغلين بها من سوء الخاتمة لاستعظام نفوسهم والعجب الذي يخالطهم الا أن يشاركوا في الاطلاع على علوم القوم أما مع اهمال علوم هذه الطائفة الصوفية فالسلامة عزيزة

Ertinya: Maka sayugiyanya engkau ambil akan Ilmu Tasawwuf dan membanyakkan masuk di dalam menuntut Ilmu al-Thoifah al-‘Arifah al-Sufiyyah al-Masyghulah Billah pada hal mengajar akan dia dan membaca akan dia dan mentadarus akan dia dan muthola’ah akan dia dan muzakarah didalam kitab yang dikarang oleh mereka itu kerana bahawasanya yang demikian itu menghidupkan hati dan mematikan nafsu dan melihatkan ia aib dirinya yang iaitu sebab jadi dinding dan jauh daripada Allah Ta’ala.

Bermula ilmu yang lain daripada Ilmu Tasawwuf itu iaitu ghalib mengeraskan akan hati dan menambahi akan aib dan mendidingi ia daripada yang ghaib-ghaib dan ditakuti atas orang yang masyghul dengan dia itu mati dalam didalam kejahatan didalam maksiat kerana ghalib bagi orang yang masyghul dengan demikian itu jadi membesarkan ia akan dirinya mereka itu dan kerana ‘ujub mereka itu yang mencampuri akan ‘amal mereka itu melainkan jika menyekutui mereka itu didalam muthola’ah akan kitab Ahlu al-Sufi maka iaitu terkadang terpelihara daripada yang demikian itu. Adapun serta meninggalkan akan Ilmu Ahli al-Tho’ifah al-Sufiyyah ini maka sejahteranya itu sangat ‘aziz yakni sangat sedikit.

Dan dikerana inilah berkata Imam al-Ghazali Rahimahullah Ta’ala didalam Ihya’ Ulumuddin, ia naqal daripada setengah ulama’ yang ‘arifin dengan katanya

من لم يكن له نصيب من علم القوم يخاف عليه سوء الخاتمة وأدنى نصيب منه التصديق والتسليم لأهله

Ertinya: Barangsiapa tiada ada baginya bahagian daripada mengetahui ilmu kaum ahli al-Sufi itu nescaya ditakuti atasnya mati didalam kejahatan dan di dalam maksiat, dan sekurang-kurang bahagian daripadanya itu membenarkan akan ilmu kaum ahli al-Sufi itu dan mentaslimkan (menyerahkan) bagi ahlinya.

Dan kata penghulu ahli al-Sufi iaitu Junaid al-Baghdadi Rahimahullah Ta’ala

التصديق بعلمنا هذا ولاية صغرى

Ertinya: Bermula orang yang  membenarkan dengan ilmu kami Ilmu Tasawwuf  ini iaitu wali Allah yang kecil.

Kata Abi Yazid al-Busthomi Rahimahullah Ta’ala

اذا رأيت أحدا يحسن الظن بكلام أهل هذا الطريق فقل له يدعو لك فانه مجاب الدعوة

Ertinya: Apabila engkau lihat akan seorang yang baik sangkanya dengan perkataan kaum ahli al-Tarekah ini yakni Tarekah ahli al-Sufi ini, maka kata olehmu baginya bahawa mendoakan ia bagimu kerana bahawasanya adalah ia itu mustajab doanya itu.

Dan kata Ruwaim Rahimahullah Ta’ala

من آمن بكلامنا هذا ولو من وراء سبعين حجابا فهو من أهله

Ertinya: Barangsiapa percaya dengan perkataan kami ini yakni ahli al-Sufi ini dan jikalau daripada belakang tujuh puluh dinding sekalipun maka iaitu daripada ahlinya yakni adalah orang  yang percaya akan perkataan ahli al-Sufi itu dan menjalani ia akan dia, dan jikalau belum sampai merasa akan mefaham akan perkataan ahli al-Sufi itu sekalipun, maka adalah iaitu dibilangkan daripada ahli al-Sufi.

Wa billahi taufiq wal hidayah.. Wa la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azhim

RUJUKAN:

Kitab Sairu al-Salikin karangan Syaikh Abdul Samad al-Falembani, Percetakan al-Mu’arif Sdn Bhd, Juz 1, hal. 19-21.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: