اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

DI antara ulama Nusantara ada yang sangat terkenal dalam lingkungan di mana dia berada, sebaliknya ada pula ulama yang tidak pernah dikenal di kampung halamannya.

Ada ulama namanya terus memancarkan sinar, ibarat matahari menyuluh terang benderang bagi alam semesta. Syeikh Muhammad Zain Nuruddin yang berasal dari negeri Batu Bahara, Indera Pura, Sumatera Utara, belum banyak dikenal oleh orang luar tetapi beliau sangat terkenal di negeri kelahirannya sepanjang zaman.

Hingga sekarang makamnya masih diziarahi orang kerana beliau digolongkan sebagai ulama yang mempunyai ‘karamah’.

Kadang-kadang ada ulama yang menghasilkan sebuah karangan saja, mungkin lama tidak dibicarakan orang, tetapi pada satu ketika cahayanya yang pudar kelam akan memancarkan sinar yang terang benderang kerana terdapat sesuatu rahsia ilmu yang bermanfaat di dalamnya. Daripada dua buah karya Syeikh Muhammad Zain Nuruddin, yang telah dijumpai, telah menyuluh qalbi (hati) saya, rasanya kesan suluhan itu perlu saya tulis dan perkenalkan kepada para pencinta ruangan Ulama Nusantara ini.

Ulama Nusantara yang diperkenalkan kali ini nama lengkapnya ialah Tuan Guru Syeikh Muhammad Zain Nuruddin bin Tuan Imam Syeikh Haji Abbas bin Haji Muhammad Lashub bin Haji Abdul Karim bin Tuan Faqih Negeri, Batu Bahara Pesisir Dahari, Indera Pura, Sumatera Utara. Syeikh Muhammad Zain Nuruddin dilahirkan di Payakumbuh (daerah Minangkabau), Sumatera Barat.

Pihak ayah pada Syeikh Muhammad Zain Nuruddin banyak beliau sebut dalam tulisannya. Yang lain-lain juga beliau sebut, bahawa ibunya bernama Hajah Shafiyah binti Zainal Abidin. Isterinya bernama Kemala Intan, ialah Hajah Fathimah binti Haji Muhammad Thaiyib bin Idris (Miftah ash-Shibyan, hlm. 31).

Pendidikan

Tentang pendidikan Syeikh Muhammad Zain Nuruddin, untuk sumber awal kita tidak perlu mencari dari sumber luar kerana semuanya beliau sebut sendiri dalam dua buah karangannya. Semua nama gurunya beliau sebut dengan lengkap, secara beradab menyatakan gelar yang ada pada mereka. Yang pertama sekali beliau sebut ialah ayahnya sendiri, katanya, “… kepada Syeikhina al-Walidiyi al-murabbiyi ruhiyi wa jasadiyi al-Alim asy-Syeikh Abbas, Imam al-Khalidi an-Naqsyabandi, ibnu al-Mukarram al-Haji Muhammad Lashub.”

Kata beliau pula, “Kemudian berpindah hamba kepada negeri yang mulia Mekah al-Musyarrafah mengambil ilmu ushuluddin kepada Syeikhina al-Allamah asy-Syeikh Utsman ibnu Abdul Wahhab Sarawak, dan kepada Syeikhina al-Alim al-Allamah al-Arif al-Muhaqqiq wa al-Mudaqqiq al-Fahamah Muhammad Shalih ibnu al-Marhum asy-Syeikh Muhammad Ba Fadhal Imam Syafie, dan kepada Syeikhina al-Allamah al-Hibr al-Bahr al-Fahamah al-Arif Billah Maulana wa Qudwatuna Ahmad Khathib ibnu asy-Syeikh Abdul Lathif Imam Syafie, dan kepada Syeikhina al-Alim al-Allamah al-Wara’ an-Nasib asy-Syeikh Muhammad Mukhtar ibnu al-Marhum Raden Atharid al-Bughri al-Mudarris bi al-Masjid al-Haram.”

Syeikh Muhammad Zain Nuruddin bukan hanya menyebut gurunya saja, tetapi juga disebut para guru pada ayahnya, yang beliau juga sempat belajar kepada mereka ialah Syeikh Ismail bin Syeikh al-Khathib Sikin, Alim al-Allamah al-Fahamah Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Allamah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud al-Banjari al-Qad-hi.” Ulama yang menjadi guru bagi ayahnya, Syeikh Muhammad Zain Nuruddin tidak sempat belajar kepadanya, tetapi banyak disebut dengan nama yang lengkap ialah “Asy-Syeikh al-Alim al-Allamah al-Fadhil al-Muhaqqiq wa al-Mudaqqiq al-Arif Billah Ahmad bin Muhammad Zain bin Mushthafa bin Muhammad al-Fathani tsumma al-Makki …” (Fawaid az-Zain, hlm. 20, 62 dan 64). Syeikh Muhammad Zain Nuruddin tidak sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana sewaktu beliau melanjutkan pelajaran di Mekah ulama Patani itu meninggal dunia. Walau bagaimanapun Syeikh Muhammad Zain Nuruddin masih ada hubungan sanad ilmu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani sama ada melalui ayah beliau mahu pun guru-gurunya yang lain. Selain itu Syeikh Muhammad Zain Nuruddin menadah kitab-kitab karangan Syeikh Ahmad al-Fathani di antaranya ialah Faridah al-Faraid (akidah), Tashil Nail al-Amani (nahu), dan lain-lain. Kerana itulah dalam kedua-dua karyanya mengenai tauhid beliau banyak menyebut nama kitab Faridah al-Faraid karangan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Penulisan

Di antara karangan Syeikh Muhammad Zain Nuruddin yang telah ditemui hanya dua judul, yang pertama Fawaid az-Zain fi ‘Ilm al-‘Aqaid Ushul ad-Din, diselesaikan waktu Dhuha, pukul 8, hari Jumaat, 7 Rabiulakhir 1342 H/16 November 1923 M (pada cetakan dinyatakan 7 Rabiulawal 1342 H, adalah salah cetak). Dicatatkan “Pada masa kerajaan Saiyiduna wa Maulana wa Qudwatuna Abdullah yang bergelar Datuk Muda Lela Wangsa ibni al-Marhum Datuk Tih ibni al-Marhum Datuk Samuangsa Tua Raja yang memerintah Negeri Pesisir Bahara … “ Dicetak oleh Mathba’ah at-Taqaddum al-‘Ilmiyah, Mesir, yang dimiliki oleh waris Saiyid Abdul Wahid Bek at-Thubi, Mesir, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan akidah dengan menggunakan pelbagai rujukan kitab-kitab Arab, karya ulama-ulama dunia Melayu dan karya guru-gurunya.

Kitab ini diperolehi hari Isnin, 28 Rejab 1417 H/9 Disember 1996 M berasal dari milik seorang ulama bernama Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid, Pinang Baik, Selayang, Selangor. Judul yang kedua ialah Miftah ash-Shibyan fi ‘Aqaid al-Iman, diselesaikan pada 11 Safar 1366 H/4 Januari 1947 M. Tanpa menyebut nama percetakan, hanya disebutkan oleh pengarangnya, “Telah al-haqir benarkan mencetak atau menthaba’ ini risalah yang bernama Miftah ash-Shibyan fi ‘Aqaid al-Iman akan akhina al-Fadhil, lagi Arif, Muhammad Qasim bin al-Marhum Tuan Haji Muhammad ‘li barang di mana-mana tempat cetak dan thaba’ dengan tiada dakwa dakwi, demikianlah adanya.”

Pada mukadimah Fawaid az-Zain, Syeikh Muhammad Zain Nuruddin memetik pendapat dua ulama dunia Melayu yang beliau bersanad kepadanya. Kedua-dua ulama itu ialah Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh dan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, kata beliau, “Kata ulama, haram belajar ilmu usuluddin pada orang yang tiada mahir ilmunya dan tiada mengambil daripada gurunya …”

Pada konteks ini beliau tulis pada halaman depan kitab Miftah ash-Shibyan dengan merujuk kitab Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh saja katanya, “Bahawa adalah kitab yang kita baca itu yang mengarangnya orang yang dibilang orang, dengan sekira-kira barang mana negeri dimasuknya maka tiada disalahkan orang ilmunya. Dan lagi pula bahawa adalah itu dengan mengambil daripada gurunya jangan ditelaah saja pada kitabnya. Kerana tiada hasil ilmu itu melainkan dengan pengambilan. Dan daripada kerana inilah kebanyakan manusia yang mendakwa dirinya alim, mentelaah dengan tiada pengambilan daripada gurunya maka tiba-tiba disalahkan oleh orang awam, dan orang yang dungu. Dan terkadang dia pula menyalahkan kitab mazhab orang yang lain bukan mazhab dirinya. Demikianlah kelakuan mereka itu.” (Miftah ash-Shibyan, hlm. kulit).

Daripada perkara-perkara disebutkan inilah barangkali menjadi sebab Syeikh Muhammad Zain Nuruddin sangat cermat menyebut beberapa orang gurunya, yang kemudian diiringinya dengan sanad. Tentang sanad kata beliau, “Dan hamba menyebutkan sanad itu kerana perkataan ulama, iaitu al-Alim al-Allamah as-Saiyid Ahmad bin as-Saiyid Abdur Rahman an-Nahrawi, “Bahawasanya mengetahui sanad itu setengah daripada pekerjaan agama. Dan barang siapa tiada baginya sanad, maka iaitu seperti anak yang dipungut, yang tiada tentu bangsanya …” (Miftah ash-Shibyan, hlm. 30).

Petikan dari Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani saja, katanya, “Dan setengah daripada mereka itu yang berpegang dengan ayat Quran yang mutasyabihat atau hadis yang mutasyabihat padahal tiada dilintungkan dengan qawathi’ aqliyah dan naqliyah yang muhkamat tetapi diambil akan zahir mutasyabihat itu, maka jadi jatuh mereka itu pada laut kufur. Maka sesat mereka itu dan mereka itu menyesatkan pula akan manusia yang awam … Maka adalah mereka itu seperti Dajjal. Atau lebih jahat lagi daripada Dajal.” (Fawaid az-Zain, hlm. 3). Mengenai ini Syeikh Muhammad Zain Nuruddin menjelaskan selanjut bahawa asal kufur dan asal bidaah tujuh perkara. Ketujuh-tujuhnya beliau sebut satu persatunya, pada konteks di atas ialah yang keenam, berpegang pada iktikad iman dengan semata-mata zahir Quran dan hadis dengan tiada takwil atas beberapa barahin aqliyah dan qawathi’ yang syar’iyah. (Fawaid az-Zain, hlm. 7).

Syeikh Muhammad Zain Nuruddin menyebut bahawa rujukan mengenai ini ialah dari kitab Muqaddimat oleh Imam Sanusi. Perkara yang sama juga disebut oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam ad-Durr ats-Tsamin, Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Jumanah at-Tauhid, dan ulama-ulama yang lain dalam kitab-kitab mereka.

Amalan wirid

Menurut Syeikh Muhammad Zain Nuruddin sebab-sebab yang boleh memerdekakan diri dari api neraka beliau telah memetik tulisan al-Allamah asy-Syeikh Muhammad Shalih Kamal bin Shiddiq Kamal, Mufti Mekah daripada Syeikh al-Allamah Alauddin. Dari demikian banyak yang disebutkan disimpulkan saja, ada hadis riwayat daripada Bazzar, daripada Malik, dari Nabi s.a.w., “Barang siapa membaca surah al-Ikhlas 100,000 kali, maka sungguhnya ia telah membeli akan dirinya daripada Allah … “

Maksud hadis ini ialah menebus dirinya atau orang lain daripada api neraka jika dibacakan dengan ikhlas jumlah demikian sepanjang hidupnya. Mengenai ini dikaitkan pula bahawa ada hadis, “Barang siapa membaca tahlil 70,000, nescaya adalah ia tebus dirinya daripada api neraka.” (Miftah ash-Shibyan, hlm. 19).

Sesudah menyebut satu rangkaian zikir dan wirid yang agak panjang, Syeikh Muhammad Zain Nuruddin menyebut bahawa wirid yang tersebut beliau terima daripada Syeikh Ahmad Khathib di Mekah (Miftah ash-Shibyan, hlm. 20). Sungguh pun sangat popular dalam sejarah bahawa Syeikh Ahmad Khathib al-Minankabawi sangat anti terhadap Tarekat Naqsyabandiyah. Namun Syeikh Muhammad Zain Nuruddin juga membicarakan tarekat tetapi beliau tidak menolaknya.

Bahkan Syeikh Muhammad Zain Nuruddin menyebut dalil mengenai zikir itu beliau petik dari tulisan Syeikh al-Islam al-Alim al-Allamah Muhammad al-Khalili pada fatwanya dan daripada Fat-h al-Mubin, oleh al-Allamah Syeikh Ahmad Khathib Imam asy-Syafie di Makkah al-Musyarrafah. Syeikh Muhammad Zain Nuruddin menyebut, Kitab yang tersebut diijazahkan Syeikhuna kepada hamba al-Haqir pada masa di dalam Mekah al-Musyarrafah. (Miftah ash-Shibyan, hlm. 21).

Syeikh Muhammad Zain Nuruddin juga sempat belajar dengan Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Oleh itu pada bicara pelbagai jenis amalan seperti wirid, selawat, istighfar, dan lain-lain beliau sebut judul kitab ulama Kelantan itu, iaitu Lum’atul Aurad (Miftah ash-Shibyan, hlm. 30-32). Di antara amalan yang sangat penting beliau sebutkan ialah dua jenis selawat yang dibangsakan kepada wali Allah Syeikh Ahmad al-Badawi yang menurut beliau sangat besar fadilat mengamalkannya. Untuk memperoleh sesuatu fadilat perlulah beramal dengan kekal.

Untuk maklumat lanjut mengenai Ulama Nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0212&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: