اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

DALAM tahun 1980-an, penulis mula mengenali nama Haji Muhammad Hasyim bin Muhammad Yusuf yang berasal dari negeri Raman. Ini didorong berikutan penemuan beberapa manuskrip karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain salinan beliau dengan khat indah condong ke kiri.

Oleh kerana penulis mengagumi khat beliau, maka semenjak itulah penulis memulakan penyelidikan biografinya, sekali gus memaksa penulis berulang-alik ke negeri Raman dan sekitarnya.

Negeri Raman yang dimaksudkan adalah suatu negeri yang mempunyai raja dalam takluk kekuasaan kesultanan Fathani Darussalam dan dalam kawasan Raman terdapat satu kampung dinamakan Kampung Tok Pakeh.

Di kampung itulah terdapat sebuah kubur yang dikeramatkan orang yang nama sebenarnya yang disemadi di situ tidak jelas. Namun dikatakan bahawa beliau adalah seorang ulama besar yang kemudian anak cucunya ramai yang menjadi ulama. Antaranya termasuklah dua orang yang bersaudara kandung iaitu Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf dan Tuan Guru Haji Muhammad Hasyim bin Muhammad Yusuf.

Penulis mula mengetahui nama Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf pada Selasa 6 Zulhijjah 1412H/ 9 Jun 1992M kerana diketemukan sekelompok manuskrip salinannya.

Dua hari kemudian, di tempat yang lain pula diketemukan salinan beliau dan anak beliau bernama Ibnu Abdus Samad yang mencatat di hujung namanya dengan Tarkaniyan Fathaniyan yang bermaksud Terengganu dan Patani. Tiga hari sesudah itu, diketemukan pula dua buah manuskrip salinan Tuan Guru Haji Mahmud tersebut, yang sebuah karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai Imam Mahdi.

Pada manuskrip ini, beliau mencatat nama lengkapnya ‘Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir bin Nakhoda Muhammad Tina Ibnu al-Makhdum’. Sebuah lagi ialah karya Syeikh al-Alim al-Allamah al-Faqih Jalaluddin Aceh yang berjudul Manzharul Ajla ila Martabatil A’la.

Setelah seminggu penulis pulang ke Kuala Lumpur dari Patani, tiba-tiba pukul 2 pagi datang dua orang dari Patani membawa 16 buah manuskrip yang nadir, penting dan tebal yang kesemuanya adalah salinan yang dibuat oleh Tuan Guru Haji Mahmud Raman-Terengganu.

Keesokan harinya, penulis mengkatalogkan manuskrip-manuskrip di Muzium Islam di Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur, lalu diketemukan pula manuskrip salinan beliau yang penulis beri nombor kelas MI 957. Di hujung namanya tercatat al-Jawi Tarkanu (maksudnya Terengganu).

Dengan penemuan salinan pelbagai manuskrip beliau, maka penulis membandingkannya dengan kegiatan penyalinan yang dijalankan oleh Tok Kelaba yang penulis tempatkan sebagai ‘Penyalin Manuskrip Melayu Terbesar di Asia Tenggara’.

Perkiraan pasti siapa yang lebih banyak hasil penyalinan antara kedua-dua tokoh ulama itu belum dapat dipastikan. Namun Haji Mahmud Raman-Terengganu mendahului Tok Kelaba hampir 100 tahun. Kelebihan Tok Kelaba pula di samping menghasilkan salinan manuskrip, beliau juga mempunyai karangan sendiri sedangkan Haji Mahmud Raman-Terengganu belum penulis temui karangannya yang asli.

Pendidikan

Dipercayai pendidikan asas beliau diterima daripada ayah dan datuknya yang sememang kedua-duanya adalah ulama dan mengajar di pondok yang dipusakai sejak datuk neneknya yang mula-mula datang ke kawasan Raman lagi. Kemudian beliau merantau ke Terengganu, belajar dengan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Terengganu dan dalam masa yang sama, beliau menjalin persahabatan dengan Saiyid Muhammad bin Zainal Abidin (Tukku Tuan Besar Terengganu).

Kemudian melanjut pelajarannya ke Mekah dan di sana menemui beberapa sahabat baru di antaranya Syeikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani, Syeikh Wan Hasan bin Ishaq al-Fathani, Syeikh Ismail Minangkabau, Syeikh Ahmad Khatib Sambas dan ramai lagi. Ketika di Mekah, guru utama mereka adalah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan sempat belajar dengan beberapa ulama lain, di antaranya Syeikh Muhammad Salih bin Ibrahim, ketua Mazhab Syafie di Mekah pada masa itu.

Selain itu, juga belajar dengan Saiyid Ahmad al-Marzuqi. Beliau mendapat tarbiyah rohaniyah dan baiah musyafahah Tarekat Syatariyah daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Pun begitu, beliau mengaku pada sebuah catatannya bahawa Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani sebagai “syeikh kita dan guru kita yang alim lagi allamah”, katanya lagi bahawa Syeikh Abdur Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani khalifah Maulana al-Syeikh Daud Ibnu Abdullah al-Fathani.

Ini bererti Haji Mahmud Raman-Terengganu juga di bawah bimbingan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang merupakan ketua telaahnya (tutor).

Dipercayai setelah bertahun-tahun beliau belajar di Mekah, lalu pulang ke Terengganu dan mengajar di beberapa tempat. Kemudian beliau berpindah ke Kampung Pusin, Raman membuka pusat pengajian pondok di kampung itu. Murid beliau pula sangat ramai terutama dari Terengganu dan dari kawasan Raman sendiri. Pada zaman tersebut beliau dipandang sebagai ulama besar yang keramat, kerana beliau adalah seorang wali Allah. Kekeramatannya seolah-olah penurunan daripada nenek datuknya Tok Syeikh Pakeh. Kedua-dua mereka ini berkemampuan menyelesaikan penyalinan sebuah kitab suci al-Quran dari awal hingga akhir dalam tempoh satu malam saja, iaitu dari selesai sembahyang Isyak hingga sembahyang Subuh, sebagaimana yang diceritakan oleh salah seorang zuriatnya di Raman.

Pondok Pengajian Pusin yang diasaskan tokoh kajian ini adalah salah satu pondok tua yang bersejarah di Patani. Namanya sebaris dengan pondok-pondok tua lain, di antaranya Pondok Pauh Bok, Pondok Cenak, Pondok Bendang Daya dan banyak yang masih belum dikesan. Setelah ditemui, pelbagai peninggalan sejarah yang dapat dipastikan bahawa Pondok Pusin dan pengasasnya telah mengkaderkan alim ulama bukan sedikit di Patani, Kelantan dan Terengganu. Oleh itu, kajian demi kajian patut dijalankan secara terus-menerus.

 

Keturunannya

Di antara anak Tuan Guru Haji Mahmud Raman-Terengganu yang sangat terkenal ialah Tuan Guru Ibnu Abdus Samad Raman. Beliau adalah seorang ulama besar pada zamannya, meneruskan aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan oleh ayahnya. Pondok pengajian di Pusin berjalan dengan lancar di bawah pimpinannya setelah ayahnya meninggal dunia. Tuan Guru Ibnu Abdus Samad juga meninggalkan beberapa buah salinan manuskrip dan juga karya-karyanya sendiri.

Salah satu karyanya mencatatkan memenuhi permintaan Sultan Patani, menurut kata beliau, “Maka tatkala bercita oleh Ibnu as Sultan Muhammad Shalih, yang adil, bahagia dan kemuliaan daratan Patani al-Jalilah atas hamba yang bukan ahli bagi beramal dan ilmu, serta jahil bahasanya, Ibnu Abdus Samad ibnu al-Mahmud ibnu Muhammad Yusuf ibnu Qadir at-Tarkaniyah….” Beliau menyebut pula bahawa Sultan Patani itu adalah, “…yang bersahabat tolan berkasih, minta riwayat sekadar sepatah selidah mana-mana fikir yang membaik jalan…”.

Kesimpulan daripada kalimat-kalimat tersebut bahawa Tuan Guru Ibnu Abdus Samad adalah seorang ulama yang berpengaruh kepada Sultan Patani pada zaman itu. Selain karya tersebut, beliau juga menyusun sebuah kitab khutbah yang ditulis dalam bahasa Melayu, yang mana manuskrip asli tulisan beliau ada dalam simpanan penulis.

Beliau juga mendapat anak perempuan yang dikahwinkan dengan Tuan Guru Ahmad ibnu Abdusy Syukur. Adapun aktiviti menantu beliau yang tersebut ialah mengajar bersama-sama saudara iparnya Tuan Guru Ibnu Abdus Samad di pondok pengajian Pusin. Selain itu, terdapat beberapa buah manuskrip salinan Tuan Guru Ahmad bin Abdusy Syukur yang setiap salinannya, beliau nyatakan bahawa beliau adalah ‘benatu’ (maksudnya menantu) kepada Tuan Guru Haji Mahmud ibnu Muhammad Yusuf.

Keturunan beliau barangkali ramai, namun hanya setakat ini sahaja yang dinyatakan oleh penulis mengenai keturunan Tuan Guru Haji Mahmud Raman-Terengganu.

KARYA PENYALINAN
1. At-Targhib wat Tarhib lil Bai’i wasy Syira, yang merupakan karya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas, Terengganu. Tuan Guru Haji Mahmud Raman-Terengganu membuat catatan pada akhir salinannya bahawa salinan tersebut dapat diselesaikan pada 9 Zulhijjah 1236H iaitu pada hari Isnin antara Zuhur dan Asar di Terengganu. Selain itu, beliau mencatatkan pula berupa terjemahan judul iaitu , “Ertinya inilah risalah yang dinamai akan dia dengan ” Menggemari dan Menakuti Bagi Berjual Dan Beli, Hal Keadaannya Risalah Ini menghimpunkan Antara Takut Akan Azab Allah Dan Mengharapkan Akan Rahmat-Nya”.

2. Ghayatut Taqrib fi Irtsi wat Ta’sib, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Penyalinan ini dihabiskan pada 2 Muharram 1237H iaitu hari Jumaat yang juga dilakukan di Terengganu, sepertimana yang dinyatakan oleh beliau di akhir salinannya.

3. Manuskrip MI 957 koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia, pada akhir penyalinan tercatat,”….Mahmud bin Muhammad Yusuf al-Jawi Tarkanu melihat akan manzhum miz ini pada sanah seribu dua ratus enam puluh satu tahun pada empat hari bulan Rabiultsani (4 Rabiul Akhir 1261H), menyalin ia daripada naskhah manzhum miz bagi dirinya dan bagi mereka yang dikehendaki Allah kemudian daripada barang siapa adalah saudaraku fillah….

4. Mir-atul Qur’an fi Tashili Ma’rifati Ahkamit Tajwid lil Mulkil Wahhab, karya Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti bin Syeikh Muhammad Salih.Salinan ini diselesaikan pada 23 Muharram 1265H/1848M iaitu pada likur daripada bulan Muharam waktu Zuhur. Kitab ini juga pernah disalin oleh saudara kandung beliau, iaitu Haji Muhammad Hasyim bin Muhammad Yusuf Raman dengan khat yang lebih indah.

5. Furu’ul Masail, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang disalin oleh beliau bersama anaknya Tuan Guru Haji Abdus Samad pada 24 Rabiul Akhir 1268H/1851M yang pada akhir salinan terdapat ukiran yang indah berbentuk bunga dengan lingkaran daun.

6. Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi Iqdatil Jawahir, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Pada halaman muka, beliau catat tahun 1271H/1854M.

7. Faraidu Fawaidil Fikri fi Imamil Mahdi, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Salinan ini diselesaikan pada tahun 1273H/1856M.

8. Manzharil Ajla ila Martabatil A’la, karya Syeikh Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh). Salinan ini disatukan dengan naskhah Faraidu Fawaidil Fikri fil Imamil Mahdi.

9. Fatwa Zakat, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Salinan ini merupakan salinan terakhir beliau yang telah diketemui. Di akhir salinan tercatat tarikh 5 Rabiulakhir 1277H/1860M yang dilakukan di Mekah.

(Sumber: Koleksi penulis, daripada salinan Tuan Guru Haji Mahmud Raman-Terengganu dan saudaranya, Haji Muhammad Hasyim bin Muhammad Yusuf Raman)

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0423&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: