اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

Dalam salah sebuah versi manuskrip sejarah Patani ada diceritakan peranan Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin, termaktub, “Maka Raja Mughaffar itu telah ditabalkan menjadi sultan menggantikan ayahandanya, almarhum Sultan Muhammad Syah dan digelar Sultan Mughaffar Syah.

Sementara adindanya, Raja Manshur itu dilantik menjadi Raja Muda serta anak cucu daripada Dato’ Seri Raja Faqih dilantik oleh baginda menjadi orang-orang besar. Demikian keadaan sehingga turun-temurun.”

Apa yang dimaksudkan pada kalimat “… anak cucu daripada Dato’ Seri Raja Faqih …,” ialah dimulai dari Wan Muhammad.

Dalam buku sejarah Patani versi yang lain disebut pula, “Maka ada anak Tok Faqih itu, Wan Muhammad namanya. Dan Wan Muhammad itu pun diambil baginda dijadikan hamba yang khas tiadalah diberi duduk dengan Tok Faqih lagi”.

Setelah pelantikan Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin digelar dengan Orang Kaya Seri Akar Maha Puteri Bagi Sultan Ismail Zhillullah fil ‘Alam, ada diceritakan bahawa Wan Muhammad pernah mendapat tugas sebagai ketua delegasi Sultan Patani melawat kerajaan Siam. Riwayatnya, Maka titah baginda, “Hai Muhammad! Apa bicaramu, aku hendak mengutus ke Siam?”.

Seorang pun tiada bercakap pagi-pagi itu, Wan Muhammad pun berkata, sambil mencabut kerisnya, “Ampun tuanku! Barang ditambahi Allah kiranya daulat sa’adah Duli Yang Maha Mulia datang kepada akhiruz zaman, anakanda dan cucunda sekeliannya. Dan yang patik ini hamba yang hina, lagi bebal, menjunjung perintah pagi dan petang, lagi budak- budak, di bawah cerpu Duli Seri Sultan Yang Maha Mulia. Tiadalah kira bicara kepada patik, yang dapat patik persembahkan ke bawah cerpu Duli Yang Dipertuan. Bahawa yang ada pada patik ini hanyalah darah dan daging patik ini, yang dapat patik persembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia. Yang bicara itu tiadalah kepada patik hamba yang bebal ini”.

Titah baginda, “Hai Muhammad cekapkah engkau pergi ke Siam itu?”

Maka sembah Wan Muhammad, “Daulat tuanku, mana titah Duli Yang Maha Mulia, patik junjung”.

Dipendekkan cerita, keberangkatan Wan Muhammad bin Sheikh Shafiyuddin ke Siam itu melalui pelbagai peristiwa.

 

Anak-anak Wan Muhammad (cucu Sheikh Shafiyuddin)

Wan Muhammad bin Sheikh Shafiyuddin meninggalkan anak enam orang, iaitu:

1. Dato’ Pujut (Pujuk Wan Cang, bergelar Raja Luqman).

2. Wan Jaharullah

3. Ratu Saiburi

4. Dato’ Long Tarat

5. Syeikh Faqih Ali

6. Long Yunus

Anak Wan Muhammad yang bernama Raja Luqman (nombor 1) mendapat anak bernama Wan Abdul Lathif, nama popular adalah Hulubalang Wan Tih. Kedudukan beliau dalam kesultanan Fathani Darus Salam ialah Wazaratul Harbiyah, maksudnya Menteri Pertahanan.

Anak beliau dua orang, iaitu yang pertama bernama Haji Wan Muhammad Shalih dan Haji Wan Abdullah. Kedua-dua anak Hulubalang Wan Tih itu adalah ulama, seolah-olah mengambil pekerjaan moyangnya Sheikh Shafiyuddin.

Kedua-duanya mengajar di istana kerajaan Fathani Darus Salam, juga mengajar masyarakat. Haji Wan Muhammad Shalih itu memperoleh anak enam orang, iaitu:

1. Hajah Wan Cik

2. Hajah Wan Aisyah

3. Hajah Wan Mas

4. Hajah Wan Maisuri

5. Hajah Wan Maimunah/Maryam

6. Wan Muhammad Syawal

Ada pun Hajah Wan Cik (nombor 1) binti Haji Wan Muhammad Shalih al-Fathani itu suaminya bernama Sheikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani. Dari perkahwinan itu memperoleh seorang ulama yang sangat terkenal iaitu al-Alim al-Allamah al-Zaki Syeikh Wan Ahmad al-Fathani. Oleh sebab pertalian beliau ini bermula dari Sheikh Ibrahim al-Hadhrami al-Jarimi al-Yamani yang pernah penulis bicarakan, maka tidak perlulah dipanjangkan riwayat beliau lagi.

Hajah Wan Aisyah (nombor 2) binti Sheikh Muhammad Shalih al-Fathani suaminya ialah seorang ulama besar yang terkenal, iaitu al-Alim al-Allamah al-Amil Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani (pengarang kitab Lum’atul Aurad). Perkahwinan itu memperoleh anak iaitu :

1. Haji Wan Abdur Rahman. Beliau adalah sahabat kepada Dato’ Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Haji Wan Abdur Rahman sempat menghasilkan karya terjemahan Seribu Satu Malam yang ditulis dalam bahasa Melayu.

2. Hajah Wan Fathimah binti Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani kahwin dengan saudara sepupunya, seorang ulama besar, iaitu Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani.

3. Hajah Wan Maryam binti Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani kahwin dengan Sheikh Wan Abdullah bin Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani, perkahwinan itu tidak memperoleh keturunan.

4. Hajah Wan Shafiyah binti Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani kahwin dengan seorang ulama besar, ialah Sheikh Muhammad Nur bin Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Suami beliau ini juga berketurunan Sheikh Ibrahim al-Hadhrami al-Jarimi al-Yamani.

Kedua-dua orang keturunan dari anaknya yang perempuan tersebut menurunkan beberapa orang ulama dan tokoh di Mekah, Malaysia, dan Patani.

Ada pun dua orang anak Haji Wan Muhammad Shalih masing-masing bernama Hajah Wan Mas (nombor 3) dan Hajah Maisuri (nombor 4) belum dapat diketahui keturunannya. Hajah Wan Maimunah/Maryam (nombor 5) pula berkahwin dengan Tuan Guru Haji Wan Ismail al-Fathani. Perkahwinan itu memperoleh seorang ulama besar yang terkenal, iaitu Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Sheikh Ahmad al-Fathani menghantarnya ke Kota Bharu, Kelantan untuk memimpin Matba’ah al-Miriyah al-Kalantaniyah. Tetapi atas kehendak Sultan Kelantan pada zaman itu beliau telah diminta menjadi guru baginda, sekali gus menjadi khatib Masjid al-Muhammadi.

Maka terkenallah panggilannya dengan Tok Daud Katib. Beliau ini adalah termasuk salah seorang guru kepada Tok Kenali yang terkenal itu.

Tok Daud Katib berkahwin dua kali. Perkahwinan yang pertama memperoleh anak bernama Nik Muhammad bin Daud, kemudian terkenal dengan sebutan Tok Api. Anak Tok Api bernama Dato’ Nik Adib, seorang hafiz dan ahli ilmu pengetahuan. Beliau termasuk salah seorang cerdik cendekiawan Kelantan pada zamannya.

Tok Daud Katib kahwin yang kedua kali dengan saudara sepupunya bernama Hajah Wan Fathimah (nombor 2) binti Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Perkahwinan itu memperoleh anak bernama Haji Wan Abdul Qadir dan Tuan Guru Haji Wan Mahmud yang pernah berkhidmat di Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan dan guru di Maahad al-Muhammadi, dalam tahun 1930-an.

Wan Muhammad Syawal al-Fathani (nombor 6) bin Sheikh Muhammad Shalih al-Fathani, maklumat mengenai beliau ini penulis perolehi pada 25 Rabiulakhir 1415 H/1 Oktober 1994 M dari salah seorang cucunya bernama Wan Jahara binti Wan Muhammad ‘Aqib (berasal dari Brunei Darus Salam) di Pekanbaru, ibu kota Wilayah Riau.

Diriwayatkan bahawa Wan Muhammad Syawal al-Fathani itu adalah seorang tokoh penyebar Islam di Pulau Bunguran (Natuna) dan sekitarnya. Cara-cara beliau mempengaruhi masyarakat ialah melalui perubatan tradisional, pada zaman itu belum ada doktor seperti sekarang ini.

Dikatakan doa beliau sangat makbul, pesakit apabila minum air penawarnya akan sembuh dengan serta merta kecuali apabila penyakit itu memang sudah ajal bagi seseorang itu saja yang tak dapat disembuhkannya.

Wan Muhammad Syawal al-Fathani ditakdirkan berumur panjang, wafat pada usia 135 tahun. Beliau hanya meninggalkan seorang anak perempuan bernama Wan Muda.

Menurut keterangan Wan Jahara pula bahawa ibunya ada menyimpan sebuah kitab tulisan tangan karangan Wan Muhammad Syawal al-Fathani sendiri. Bahawa di dalam kitab itu tercatat berbagai-bagai peristiwa. Di antara catatannya ialah disebutkan Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani disebut pula Sheikh Nik Mat Pulau adalah saudara sepupu Wan Muhammad Syawal al-Fathani. Catatan lain, bahawa adik beradiknya Wan Cik al-Fathani meninggal dunia di Makkah. Menurut keterangan Wan Jahara bahawa ibunya Wan Muda bin Wan Muhammad Syawal al-Fathani berkali-kali bertukar-tukar maklumat dengan Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, dan menurut beliau bahawa kedua-dua mereka adalah sependapat.

Penulis sendiri memang mengetahui bahawa banyak kali Wan Muda binti Wan Muhammad Syawal itu bertemu dengan ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, tetapi penulis tidak mengetahui mengenai apa yang mereka bicarakan kerana pada masa itu penulis tidak terfikirkan hal-hal yang hubungannya dengan sejarah yang dibicarakan ini.

Walau bagaimanapun keterangan dari Wan Jahara ini berbeza pendapat dengan Haji Wan Arfan (kewarisan dekat dengan keluarga ini). Didengar keterangannya di Tanjung Pinang, Kepulauan Riau pada 30 Ramadan 1415 H/2 Mac 1995 M), yang mengatakan bahawa Wan Muhammad Syawal itu memang betul berasal dari Patani tetapi ayahnya bernama Wan Tinggal. Dari Patani Wan Tinggal ini pergi ke Siak Seri Inderapura.

Menurut Haji Wan Arfan pula, bahawa dia tidak tahu pasti, Wan Tinggal al-Fathani yang ke Siak itu apakah ayah yang sebenarnya atau pun ayah angkat kepada Wan Muhammad Syawal. Oleh itu, keterangan Wan Jahara adalah lebih kukuh beberapa sebab, ialah beliau lebih banyak bergaul dengan ibunya Wan Muda yang tersebut dan umurnya pula jauh lebih tua dari Haji Wan Arfan.

Tambahan pula dalam tradisi Patani tidak ditemui orang bernama ‘Tinggal’. Namun, mengenai ini, kita perlu berusaha dengan cara menghubungi orang-orang lain dalam keluarga ini pada waktu-waktu yang akan datang untuk mensahihkan lagi sejarah ini.

Anak Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin yang bernama Wan Jaharullah (nombor 2) digelar dengan Bentara Kiri atau digelar juga dengan Dato’ Penggalang Besar Jerlang. Di beberapa tempat Tarikh Fathani termaktub namanya, “Syahdan paduka anakanda Bahadur Syah itulah yang dipungutkan oleh baginda segala anak menteri dan anak orang kaya-kaya akan pengasuh anakanda baginda itu, dan anak Pegu Hura itu pun diambil baginda, maka diberi nama Along In. Tiada diberi nama cara Pegu itu. Dan cucu Tok Faqih, anak Wan Muhammad itu pun diambil seorang akan pengasuh anakanda juga, Wan Jaharullah namanya …”.

Diriwayatkan bahawa anak cucu Wan Jaharullah bin Wan Muhammad al-Fathani itu berkuasa di daerah Tualang, yang terkenal di antara mereka ialah Wan Kumbang dan Wan Kenanga.

Anak Wan Muhammad bin Sheikh Shafiyuddin yang menjadi Ratu Saiburi (nombor 3) suaminya bernama Raja Jalal, iaitulah Raja Saiburi. Dari perkahwinan itu menurunkan raja-raja yang memerintah di Saiburi. Mengenai ini hanya tercatat dalam salasilah, tetapi dalam sejarah Patani hanya disebutkan bahawa isteri Raja Jalal bernama Raja Aisyah dan tidak meninggalkan anak.

Anak Wan Muhammad bin Sheikh Safiyuddin yang bergelar Dato’ Long Tarat (nombor 4) daripada keturunan beliau ini menjadi punca keturunan Long Yunus Kelantan.

Anak Wan Muhammad bin Sheikh Shafiyuddin yang bernama Sheikh Faqih Ali (nombor 5), beliau inilah yang mendapat tugas dan kepercayaan dari Sultan Fathani Darus Salam menyusun kitab Tarikh Fathani Darus Salam. Ada pun keturunan beliau masih dalam penelitian kerana sekurang-kurangnya di Patani terdapat tiga orang yang bernama Sheikh Faqih Ali yang nama mereka sama-sama terkenal, namun belum dapat dipastikan apakah tiga orang itu orang yang berlainan atau pun hanya seorang saja.

Penyelidikan dari satu tahap ke satu tahap masih dijalankan secara terus menerus tanpa henti-hentinya.

Anak Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin yang bernama Long Yunus (nombor 6). Beliau inilah sebagai Yang Dipertuan Kerisik. Kerisik yang mempunyai pelabuhan serta istana Sultan Fathani Darus Salam yang panjangnya sekitar satu kilometer itu adalah dalam pengawasan beliau. Jadi beliau ini seolah-olah Wali Kota atau Datok Bandar atau Gabenor jika kita bandingkan dengan istilah zaman sekarang.

SUMBER:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: