اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


Koleksi penyelidikan ALLAHYARHAM Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah
DALAM percakapan, beberapa catatan dan penulisan kitab Melayu/Jawi memang dijumpai beberapa nama ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini.

Di antara mereka antaranya; Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi, dan ramai lagi. Nama ulama ini, mulai penulis kesan daripada sebuah karyanya berjudul, Al-Yawaqitu wal Jawahir yang ditulis pada 1243 H/1827 M.

Beberapa maklumat tentang beliau, penyelidikan awal dapat diketahui dan dipetik daripada dua buah karyanya iaitu, satu di antaranya ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir, di bahagian tepi atau pinggirnya turut dicetak sebuah kitab berjudul ‘Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.

Buat pertama kali tentang ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini, penulis tulis dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1 (cetakan pertama, C.V.Ramadhani, hlm :127-128). Kemudian penulis singgung dengan agak ringkas dalam buku Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu’tabarah di Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, 2000, hlm : 113-114).

Daripada bahan-bahan bertulis tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa ulama yang berasal dari Sumbawa yang diriwayatkan ini, nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi. Beliau hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Bahkan pada sektor penerimaan Thariqat Syaziliyah, kedua-dua ulama tersebut adalah seperguruan. Kedua-duanya menerima bai’ah dari Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais (1187 H/1773 M-1240 H/1824 M).

KARYA

Hanya sebuah yang telah pasti karyanya, kerana namanya terdapat pada kitab itu, sedang sebuah lagi diduga juga karya beliau. Karya yang telah pasti itu diberi judul lengkap ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir fi ‘Uqubati Ahlil Kabair. Dan kitab yang masih belum jelas hasil karya beliau ataupun tidak, tetapi sentiasa dicetak kombinasi dengan Al-Yawaqitu wal Jawahir diberi judul, ‘Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.

Ada pun karya beliau yang pertama Al-Yawaqitu wal Jawahir adalah terjemahan hadis targhib dan tarhib yang berasal daripada karangan Syeikh Abdul Wahhab as-Sya’rani. Yang diutamakan ialah menceritakan seksaan orang yang melakukan dosa besar, yang terdiri dari Dua Belas Bab.

– Bab Yang Pertama: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meninggalkan Sembahyang

– Bab Yang Kedua: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Durhaka Bagi Ibu dan Bapanya

– Bab Yang Ketiga: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Minum Arak dan Tuak

– Bab Yang Keempat: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Berzina

– Bab Yang Kelima: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Liwat

– Bab Yang Keenam: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Makan Riba

– Bab Yang Ketujuh: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meratap

– Bab Yang Kelapan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Tiada Mengeluarkan Zakat Hartanya

– Bab Yang Kesembilan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Membunuh Orang Islam

– Bab Yang Kesepuluh: Pada Menyatakan Hak Perempuan Atas Lakinya dan Hak Laki Atas Isterinya

– Bab Yang Kesebelas: Pada Menyatakan Susah dan Kesakitan Pada Hari Kiamat

– Bab Yang Keduabelas: Pada Menyatakan Sifat Syurga dan Orang Di Dalam Syurga.

Al-Yawaqitu wal Jawahir diselesaikan hari Isnin, sesudah Asar, 18 Zulkaedah 1243 H. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan Al-Yawaqitu wal Jawahir, di antaranya cetakan mutawal oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Matba’ah al-‘Amirah al-Islamiyah, Matba’ah Fathul Karim al-Islamiyah, 1310 H, cetakan pertama Matba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1329 H, Maktabah wa Matba’ah Sulaiman Mar’i Singapura, Penang, Kota Bharu. Juga pernah dicetak oleh Maktabah wa Matba’ah al-Ma’arif Pulau Pinang dan lain-lain.

Penerbitan-penerbitan awal kitab Al-Yawaqitu wal Jawahir ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan terbitan-terbitan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Ilyas Ya’qub al-Azhari (Indonesia).

Pada mukadimah Al-Yawaqitu wal Jawahir Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi dinyatakan, “Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah pada tahun 1243 daripada tahun hijrah Nabi s.a.w. atas yang mempunyai dia yang terlebih afdhal rahmat dan yang terlebih suci haluannya, telah menuntut daripada hamba yang fakir, lagi hina, yang mengaku berdosa, lagi taqshir, iaitu Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi yang ada diam di Makkatul Musyarrafah; oleh setengah daripada orang yang mempunyai kelebihan, lagi mulia, iaitu setengah daripada sahabat kami. Bahwasanya hamba terjemahkan kitab syeikh yang alim, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani yang dinamakan dia Al-Yawaqitu dan Jawahir) pada menyatakan seksaan segala orang yang berdosa yang besar, sekalian kesusahan, dan kesakitan pada hari kiamat, dan pada menyatakan sifat Syurga, dan sekalian orang yang di dalam Syurga, daripada bahasa Arab kepada bahasa Jawi. Maka hamba perkenankan dengan yang demikian itu” (petikan hlm: 2-3, cetakan pertama, Matba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah,1329 H).

Ada pun karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang satu lagi, iaitu Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain, kandungan keseluruhannya merupakan akhlak atau adab isteri kepada suaminya. Adalah merupakan ancaman yang sangat keras terhadap isteri yang durhaka kepada suaminya. Walaupun kedua-dua karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang tersebut di atas dapat dikategorikan kepada hadis targhib dan tarhib, namun tidak dapat dinafikan bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi adalah seorang ulama fiqhi (Faqih) dan ulama shufi ahlit Thariqah.

PENDIDIKAN, PERSAHABATAN DAN MURID

Sewaktu belajar di Mekah, Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid as-Sumbawi adalah seperguruan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Di antara guru Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang telah pasti ialah, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais. Mengenai ini ada dinyatakan oleh seorang muridnya bernama Syeikh Umar ibnu Umaju’ Mempawah (Kalimantan Barat), dalam sebuah manuskrip mengenai Thariqat Syaziliyah.

Dipercayai bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi bersahabat dengan Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi. Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi pula adalah pernah menerima Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah daripada Syeikh Shiddiq bin Umar Khan, juga tarekat yang sama kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Oleh sebab Syeikh Shiddiq bin Umar Khan juga guru kepada Syeikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, maka dipercayai ulama yang berasal dari Banjar ini juga bersahabat dengan Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi.

Daripada maklumat tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi sekurang-kurangnya mengamalkan tiga jenis tarekat shufiyah, ialah Thariqat Syaziliyah, Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah dan Thariqat Syathariyah.

Mengenai muridnya pula, selain Syeikh Umar ibnu Umaju’ Mempawah, termasuk juga seorang ulama Sumbawa yang sangat terkenal ialah al-Alim al-Allamah al-Fahamah asy-Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Beliau ini juga murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan menerima bai’ah Thariqat Syathariyah daripada ulama Pattani tersebut.

Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi sekurang-kurang menghasilkan dua buah karangan dalam bahasa Melayu yang terkenal di peringkat seluruh dunia Melayu, ialah Sirajul Huda (mengenai ‘aqidah) dan Minhajus Salam (mengenai fiqh). Kedua-dua kitab yang tersebut masih terdapat di kedai-kedai kitab di seluruh dunia Melayu.

 

SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1112&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: