اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
PADA riwayat Syeikh Sa’id, mengenai Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi yang akan diriwayatkan ini, di sana-sini telah penulis singgung serba ringkas.

Oleh itu, perkara yang telah penulis bicarakan tidak perlu diceritakan lagi. Penulis langsung saja membuat petikan daripada yang termaktub dalam salah sebuah versi Tarikh Fathani, iaitu versi yang sama dengan penulis petik mengenai cerita Syeikh Sa’id tersebut.

Petikan selengkapnya, “Maka paduka anakanda baginda itu Sultan Mughaffar Syah lah dirajakan orang. Hatta kerajaan paduka ayahanda baginda itu dudukkan di atas takhta kerajaannya dengan adil dan murahnya. Maka negeri Fathani pun makin bertambah sentosa dan makmurnya. Dan dagang santeri pun terlalu banyak pergi datang. Antara [be]berapa lamanya maka datang pula seorang Pasai bernama Syeikh Shafiyuddin, pun berbuat rumah di padang, di luar pintu gerbang itu. Hatta, maka Syeikh Shafiyuddin pun dipanggil [oleh] raja bertanyakan perintah agama Islam. Maka sembah Syeikh Shafiyuddin, “Ada pun tiap-tiap negeri Islam itu maulah ada sebuah masjid [tempat] segala rakyat menyembah Allah Taala. Maka nyatalah agama Islam itu. Jika tiada ada masjid di dalam negeri ini, bahawa tiada adalah kenyataan agama Islam itu”.

Maka Sultan Mughaffar Syah pun memberi titah kepada Bendahara menyuruh membuat sebuah masjid di dalam negeri dan sebuah masjid di Bandar. Syahdan maka masjid itu pun sudahlah dibuat kedua[-dua]nya seperti sembah Syeikh Shafiyuddin itu. Maka Syeikh Shafiyuddin pun dikurnia nama Seri Raja Faqih. Syahdan agama Islam pun makin masyhurlah dari segala daerah, dusun dan kampung hingga sampai ke Kota Mahligai itu pun Islamlah mengikut syariat Nabi Muhammad s.a.w.. Syahdan sungguhpun [demikian] yang pekerjaan kafir seperti menyembah kayu, batu dan tambun itu tiada ditinggalkannya, sehingga menyembah berhala dan makan babi itu juga yang tiada dikerjakannya. Demi kianlah hikayat asal raja Islam pada negeri Fathani ini.”

Memperhatikan jalan cerita daripada petikan di atas, jelas ada perbezaan dengan versi sejarah Patani yang lain, sebagaimana telah disebutkan bahawa beberapa versi sejarah Patani, jalan cerita Syeikh Shafiyuddin serupa dengan jalan cerita Syeikh Sa’id yang mengislamkan raja Patani yang ditimpa penyakit pecah-pecah pada kulit.

Mengenai tahun juga sangat sukar untuk dipastikan, sebagaimana telah penulis sebutkan bahawa kedatangan Syeikh Shafiyuddin ke Paya Patani tahun 1400 Masihi, beberapa tulisan lain menyebut bahawa antara tahun 1500 Masihi atau lebih lewat dari itu.

Penentuan tahun yang diberikan Tarikh Fathani yang penulis pergunakan transliterasi terlalu jauh selisihnya. Bahawa kedatangan Syeikh Shafiyuddin ke Patani tidak berapa jauh waktunya dengan kedatangan Syeikh Abdus Sha mad yang berasal dari negeri Rom tu kang buat bedil. Tertulis, “… tatkala menuang dia itu hijrah Nabi Shalla lallahu ‘alaihis Salam kurang delapan puluh tahun baharu, pada tahun tikus, pada tiga Ramadan, pada malam Selasa …” (bererti 3 Ramadan 79 H/698 M, pen:).

Dalam sejarah Patani disebutkan ba hawa kedatangan Syeikh Shafiyuddin ke Patani tak begitu jauh jaraknya setelah peristiwa penuangan tembaga membuat meriam di Patani yang terjadi pada tahun yang tersebut itu. Orang boleh saja menolak bahawa pada persekitaran tahun 79-80 Hijrah yang di sebut dalam sejarah Patani itu di dunia mana pun belum kenal akan senjata yang dinamakan meriam itu. Tetapi perlulah diambil kira apakah yang dimaksudkan dengan meriam dan tem baga menurut istilah bahasa Patani itu, yang pada konteks ini bukan sama dengan meriam atau tembaga pada is tilah sekarang.

Jadi, berdasarkan yang tersebut di perkirakan Syeikh Shafiyuddin datang ke Patani sekitar tahun 79 Hijrah itu, jika diletakkan agak lewat sedikit, maka sekitar tahun 80 Hijrah/699 Masihi. Jika Tarikh Fathani versi yang penulis pergunakan tersebut tidak salah da ripada pengarang ataupun penyalin nya, maka semua sejarah yang telah ditulis yang berdasarkan andaian atau perhitungan menurut kira-kira atau dugaan saja, yang begitu jauh selisih jarak tahunnya, seperti yang telah di sebutkan perlu dikaji semula dengan seteliti-telitinya.

Oleh sebab manuskrip yang ada pada penulis sesuai dengan transliterasi Siti Hawa Haji Salleh tersebut, penulis ya kin bahawa tahun yang diberikan itu adalah tidak salah salin. Ini kerana manuskrip yang digunakan oleh Siti Hawa Haji Salleh dengan manuskrip yang penulis gunakan sama sekali tidak ada hubungannya. Manuskrip yang di gunakan oleh Siti Hawa Haji Salleh berasal dari Library of Congres, Was hington, Amerika Syarikat. Sedangkan manuskrip yang penulis gunakan berasal daripada sim panan orang tua-tua di Patani yang dipusakai beberapa keturunan. Setelah memperhatikan tahun-tahun yang jauh berbeza, maka barangkali yang ber nama Syeikh Shafiyuddin di Patani ada tiga orang, menurut urutan tahun ialah:

1. Syeikh Shafiyuddin yang datang dalam tahun 79-80 H/698 M.

2. Syeikh Shafiyuddin al-‘Abbasi ke turunan Mu’tasim Billah yang kubur nya terletak di Sungai Pandan, Kerisik, Patani yang sampai ke Paya Patani tahun 1400 Masihi.

3. Syeikh Shafiyuddin yang menjadi datuk nenek raja-raja, dan pembe sar-pembesar Patani dan Kelantan yang hidup dalam tahun 1500an Ma sihi.

Manakala yang dibicarakan dalam artikel ini hanyalah riwayat Syeikh Sha fiyuddin ke-2 (1400 Masihi) dan ke-3 (1500an Masihi) saja.

KARYA

Maklumat mengenai kitab Tarikh Fathani yang paling awal disusun ada lah karya cucu Syeikh Shafiyuddin, be liau ialah Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi. Sebenarnya sejarah Patani judul tersebut hanyalah merupakan ter jemahan dari karya Syeikh Shafiyuddin sendiri yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan selain terjemahan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu dibuat beberapa tambahan oleh Syeikh Faqih Ali al-Fathani sendiri.

Hal tersebut ada dinyatakan oleh Syeikh Faqih Ali al-Fathani, “Syahdan ada tulisan bahasa Arabiyah daripada nenek perhamba [Syeikh] Shafiyuddin, maka bahasa Arabiyah ini perhamba fahamlah dan senanglah ambil mak nanya. Dan ada seorang datang dari Bogor, iaitu seorang yang asalnya dari Bogor, Jawa, duduk tumpang Sultan Petani, dan dia tahu bahasa Jawa. Dan banyaklah dia tolong perhamba. Per hamba mengucap syukran kepadanya banyak-banyak….”

Tarikh Fathani karya Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang berasal dari karya Syeikh Shafiyuddin itu yang telah di temui sekarang adalah merupakan sa linan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang selesai menyalinnya pada tahun 1228 Hijrah/1813 Masihi.

Tarikh Fathani versi yang tersebut adalah penting kerana:

* Memberi maklumat bahawa Patani telah wujud sejak tahun 200 Ma sihi.

* Memberi maklumat bahawa Patani dan Kedah itulah yang bernama Kerajaan Langkasuka.

* Memberi maklumat bahawa antara tahun 75 Masihi sehingga tahun 800 Masihi, Langkasuka-Patani te lah berpengaruh di dunia antara bangsa terutama sekali terhadap China, Arab dan Parsi, apatah lagi terhadap kerajaan-kerajaan Melayu seumpama Sriwijaya, Sailandera, Khemir dan lain-lain.

* Memberi maklumat bahawa agama tauhid (samawi), iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Isa sejak lama telah dianuti oleh orang Melayu Patani.

* Memberi maklumat bahawa agama Islam telah tersebar di Patani sejak tahun 750 Masihi, yang merupakan persaingan terhadap agama Hindu, Buddha dan Animisme.

Selain Tarikh Fathani ada lagi sebuah karya yang berasal daripada Syeikh Shafiyuddin, iaitu yang diberi judul Kitab Sia-sia Berguna. Kandungannya membicarakan pelbagai jenis penyakit dan ubat-ubatnya. Kitab Sia-sia Berguna pernah disalin oleh salah seorang keturunannya tetapi tidak diketahui namanya. Pada bahagian mukadimah dinyatakan sebagai yang berikut, “Dan dengan ini hamba himpun sekalian kitab dan penawar, dan hamba kutip daripada kitab Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih Fathani untuk jadi sebuah kitab yang diingati bahagi anak cucu hamba dan tiada payah mencari dukun. Maka dengan melihat kitab ini me madai sudah. Maka hamba beri nama kitab ini ialah sebuah Kitab Sia-sia Berguna. Dan hamba pusaka [kan] kepada waris atau anak cucu hamba masa akan datan[g]. Jikalau orang hendak melihat kitab ini, maka engkau berilah kepada dia itu, tetapi engkau melihat rupa-rupa orang itu. Jikalau orang itu tiada berilmu, tiada beriman, jangan sekali[-kali] engkau beri. Dan jikalau orang itu munafik, juga jangan engkau beri sama sekali. Dan jikalau engkau beri kepada orang [yang] tiada amanah, maka habislah kitab ini sia-sia, tiada berguna. Dan pula, lagi pula engkau tiada beramanah, iaitu hapus …”. Di dalam Kitab Sia-sia Berguna tersebut, terkumpul berma cam-macam jenis perubatan Melayu yang bahan-bahan bakunya digunakan terutama sekali terdiri daripada:

i) Menggunakan beberapa jenis yang berasal daripada organ binatang se perti: tulang, kulit, darah, daging, hati, hempedu, dan lain-lain.

ii) Menggunakan beberapa jenis tumbuh-tumbuhan, yang digunakan ialah: akar, daun, kulit, batang dan lain-lain.

iii) Menggunakan ayat-ayat al-Quran, doa-doa, azimat/wafaq, jam pi-jampi Melayu, dan lain-lain yang sejenisnya.

 

KETURUNAN

Syeikh Safiyuddin al-Abbasi @ Tok Seri Raja Faqih meninggalkan ramai zuriat yang menjadi ulama dan tokoh. Ia masih dapat dikesan sampai seka rang ini. Sungguh pun demikian dalam dua versi salasilah keturunan yang telah ditemui, menurut pendapat penulis, sa tu versi adalah sahih sedang versi yang satu lagi masih diragukan kerana belum cukup hujah. Dua versi salasilah itu ialah:

i) Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi @ Tok Raja Faqih memperoleh anak dua orang, iaitu Raja Ducang Bukit Jala bergelar Raja Fathani Long Cang. Dan yang seorang lagi bernama Wan Mu hammad bergelar Orang Kaya Seri Akar Diraja Mahaputeri Bagi Sultan Digalang Ismail Zhillullah fil ‘Alam. Selanjutnya keturunan daripada per talian yang pertama ini adalah sahih.

ii) Salasilah yang kedua menyebut bahawa Syeikh Shafiyuddin adalah anak Faqih Ali al-Malabari. Syeikh Sha fiyuddin bin Faqih Ali al-Malabari pada salasilah yang kedua ini masih belum jelas apakah beliau juga yang dimak sudkan dengan Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi yang bergelar Datuk Seri Raja Faqih itu, atau kemungkinan di Patani pernah wujud dua orang yang bernama Syeikh Shafiyuddin yang kedua-duanya memang terkenal.

VERSI LAIN

Sebagaimana telah disebutkan sebelum ini, bahawa selain salasilah yang sahih, ada lagi salasilah yang kedua. Mengenai yang tersebut penulis mulakan riwayat bahawa dikatakan Syeikh Shafiyuddin itu adalah anak Nik Ali atau Faqih Ali al-Malabari atau Andi’ Ali. Sumber perbicaraan yang penulis gunakan untuk ini, penulis temui salasilah di Kampung Jambu, Patani (1989) melalui saudara tiga pupu pe nulis Wan Umar, yang berasal dari Kampung Jambu itu.

Versi salasilah yang penulis peroleh daripada Wan Umar di sana sini ada persamaannya dengan salasilah yang ditulis oleh Haji Nik Ishak Tingkat, Kelantan, tetapi banyak pula kelainan nya. Jadi bererti Haji Nik Ishak Tingkat bukan menyalin daripada salasilah yang be rasal dari Kampung Jambu, Patani itu. Di dalam salasilah disebutkan bahawa Syeikh Shafiyuddin bersaudara kandung enam orang, iaitu:

1. Syeikh Shafiyuddin, Datuk Pujuk I, memerintah Patani

2. Nik Din, Menteri lagi Pahlawan bagi Datuk Pujuk I

3. Wan Ismail, Tok Kaya Pendek

4. Tok Kaya Rak Nak Diraja

5. Wan Faqih Hasan

6. Wan Nguk, isteri Tok Kaya Banggul

KUBUR

Sebagaimana dalam salasilah yang ada dalam simpanan penulis disebut kan bahawa Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi datang ke Paya Patani pada 1400 Masihi. Beliau adalah keturunan khalifah Mu’tasim Billah, daripada keturunan Saiyidina Abbas bin Abdul Muthalib. Bahawa beberapa kubur datuk neneknya dikatakan terdapat di Aceh sedang beliau sendiri kuburnya terletak di Sungai Pandan di negeri Fathani Darus Salam.

Sejak penulis peroleh salasilah itu, tengah malam 1 Syawal tahun 1970 Masihi, daripada tangan Tuan Guru Haji Mahmud, Kota Bharu Kelantan penulis mulai mencari kawasan Sungai Pandan itu.

Hampir setiap tahun penulis datang ke Patani kadang-kadang dalam setahun sampai tiga kali, namun tidak siapa yang dapat menunjukkan kepada penulis kawasan kubur itu secara pasti.

Syeikh Shafiyuddin digelar dengan Tok Faqih kerana ditemui kubur Tok Faqih di dalam daerah Jala. Namun penulis mulai ragu di mana kedudukan sebenarnya kubur Syeikh Shafiyuddin yang bergelar Tok Faqih itu.

Kubur Tok Faqih dalam wilayah Jala penampilannya sebagai kubur yang bersejarah adalah sangat tepat kerana di kawasan itu masih dapat dikesan sebagai tempat pengajian pondok. Di depan kubur terdapat bekas masjid, di sampingnya, terdapat sebuah rumah besar, bekas kediaman tuan guru.

Kuburnya pula dibuat bangunan yang beratap tetapi berdinding hanya bahagian bawahnya saja. Kuburnya dibina daripada batu bata tanah liat, begitu ting gi, kira-kira setinggi dada jika kita ber diri. Bentuknya agak lebar dan memanjang. Kubur Tok Faqih di Kampung Tok Faqih Jala tersebut sampai sekarang masih diziarahi orang untuk membayar nazar.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1224&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: