اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


 

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

PADA ruangan lepas dibicarakan beberapa ulama yang terlibat dalam penulisan kesusasteraan Arab, iaitu Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Haq al-Bantani, Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Abdul Hamid Kudus (Jawa), Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani dan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani.

Disebabkan batasan ruangan ini, beberapa nama ulama yang terkenal itu tidak dapat dibicarakan sekali gus.

Kesinambungan daripada itu, maka diperkenalkan pula ulama lain yang juga popular dalam memartabatkan kesusasteraan Arab di dunia Alam Melayu khususnya. Bahkan penulis turut menyentuh beberapa tokoh Islam zaman moden kini yang juga tidak kurang hebatnya dalam bidang kesusasteraan Arab ini.

Keseluruhan ulama tradisional yang dibicarakan ini pernah disentuh penulis, khususnya yang meliputi riwayat hidup, karya-karya yang dihasilkan dan beberapa maklumat-maklumat yang diperoleh.

Perbincangan ini pula hanya mengkhususkan keterlibatan mereka dalam penulisan kesusasteraan Arab. Oleh itu, untuk mengetahui secara terperinci ulama-ulama tersebut, dapat dirujuk melalui ruangan-ruangan sebelumnya.

Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi

Ulama yang berasal dari Minangkabau ini, mengukir populariti tersendiri. Riwayatnya yang panjang dimulai di Mekah, Mesir, Minangkabau hingga akhirnya meninggal dunia di Semenanjung. Beliau adalah bapa Tan Sri Hamdan, iaitu bekas Ketua Negeri Pulau Pinang suatu masa dahulu.

Tidak banyak puisi beliau yang telah dijumpai baik dalam bahasa Arab atau pun bahasa Melayu. Berdasarkan maklumat yang ada, diketahui beliau berkemampuan menggubah puisi dalam bahasa Arab dan Melayu.

Di antara puisi Sheikh Tahir Jalaluddin Minangkabau dalam bahasa Melayu (22 bait) dan bahasa Arab (12 bait) yang dijumpai termaktub pada bahagian akhir kitab Al-Manhajul Masy-ru’ karya Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau.

Haji Abdullah Fahim

Mufti Pulau Pinang ini adalah salah seorang ulama Semenanjung Melayu yang terkenal pada zamannya. Beliau adalah datuk kepada Perdana Menteri Malaysia kini iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Puisi-puisinya yang ditulis dalam bahasa Arab disiarkan dalam beberapa buku karangan beberapa ulama atau tokoh Islam yang berasal dari bahagian utara pantai barat Semenanjung Melayu pada zaman silam.

Maklumat yang ada pada penulis diriwayatkan bahawa Haji Abdullah Fahim, Sheikh Muhammad Nur al-Fathani dan Tengku Muhammad Zuhdi al-Fathani. Ketiga-tiganya mendalami ilmu sastera Arab daripada Sheikh Ahmad al-Fathani. Daripada sekian ramai murid Sheikh Ahmad al-Fathani, dikatakan bahawa mereka bertiga adalah yang paling berbakat dan paling mahir ilmu sastera Arab.

Sheikh Wan Ibrahim al-Fathani al-Qadhi

Dua orang anak Sheikh Abdul Qadir Bendang Daya al-Fathani cukup masyhur bagi masyarakat Melayu, baik di Mekah mahupun seluruh dunia Melayu.

Kedua-dua beliau ialah Sheikh Wan Ismail al-Fathani atau lebih dikenal dengan sebutan Pak De El al-Fathani. Adik beliau ialah Sheikh Wan Ibrahim al-Fathani atau lebih dikenali dengan sebutan Pak Cu Him Gajah Mati.

Sungguhpun Pak De El al-Fathani seorang ulama besar, namun puisinya dalam bahasa Arab ataupun Melayu tidaklah begitu banyak jika dibandingkan dengan adiknya, Pak Cu Him Gajah Mati. Kedua adik-beradik itu adalah sepupu Sheikh Ahmad al-Fathani.

Kepakaran Pak Cu Him menggubah syair dalam bahasa Arab sangat dikagumi sesama golongan ulama di Kedah pada zamannya. Ini kerana beliau boleh mencipta sesuatu syair Arab sambil duduk dalam kereta tanpa menggunakan waktu yang panjang atau lama untuk berfikir.

Menurut riwayat bahawa pada zaman itu memang tidak ditemui ulama di Semenanjung Melayu dan Patani yang berkebolehan menggubah syair Arab dengan cara itu. Tetapi yang berkemampuan berbuat demikian untuk syair bahasa Melayu di Kedah terdapat seorang ulama sahaja, beliau ialah Haji Abdur Rahman Merbok.

Beberapa syair/nazam Pak Cu Him yang sempat dicetak terdapat beberapa tempat, di antaranya ialah dalam karya Fathul Jalil wa Syifaul Ghalil yang diselit-selitkan di perantaraan kalimat-kalimat biasa.

Dalam sebuah risalah judul Riyadhul ‘Abidin karya muridnya Haji Wan Muhammad Yusuf ibnu Wan Husein al-Fathani, terdapat 15 bait syair Pak Cu Him pada halaman terakhir. Seberkas tulisan tangan (makhthuthat) Pak Cu Him yang berupa syair-syair Arab dapat dikumpulkan dan menjadi koleksi simpanan penulis.

Sebagai bukti beliau memang sangat tabahhur menggubah syair Arab, bahawa terjadi dalam keadaan sakit (berada di hospital) menjelang kewafatan beliau masih sempat menggubah syair berupa wasiat. Syair wasiat itu diserahkan kepada muridnya Haji Hasan Sik. Waris Haji Hasan Sik, lalu beliau menyerahkan pula syair wasiat itu kepada seorang anak Pak Cu Him bernama Wan Salehuddin dan penulis sekitar tahun 1990.

Sheikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani

Terdapat beberapa orang murid daripada sekian ramai murid Tok Kenali yang terkenal dan paling menonjol dalam kecemerlangan ilmu pengetahuan, termasuk salah seorang ialah Sheikh Utsman Jalaluddin.

Sheikh Utsman Jalaluddin mempunyai wawasan dan karakter perjuangan keilmuan tersendiri, selain membuka pengajian pondok di Penanti. Beliau juga menghasilkan karangan dengan model dan gaya cipta tersendiri.

Puisi-puisinya disiarkan pada halaman-halaman muka karyanya, ialah; 7 bait pada Mathali’ul Anwar wa Majami’ul Azhar, juzuk yang pertama. Pada karyanya Anwarul Huda wa Amtharun Nada, juzuk yang pertama terdapat tiga jenis puisi. Yang pertama terdiri daripada 4 bait, sesudah itu diceraikan dengan kalimat-kalimat bahasa Melayu terdapat 7 bait, pada halaman 2 hingga 3 terdapat puisi yang panjang terdiri daripada 29 bait. Puisi yang 7 bait dan 29 bait selain teks Arabnya diterjemahkan juga oleh Sheikh Utsman Jalaluddin sendiri.

Pada karyanya berjudul Asy-Syarhul Kabir, terdapat puisi-puisi 10 bait pada halaman depan, disambung dengan 8 bait, dan 3 bait pada halaman terakhir. Karya ini diselesaikan pada Sabtu, 16 Syaaban 1358 H/30 September 1939 M.

Memperhatikan perkara-perkara tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa Sheikh Utsman Jalaluddin berusaha memperkenalkan kesusasteraan Arab melalui karya-karyanya itu kepada masyarakat Melayu.

Kesusasteraan Arab dunia Melayu moden

Semua ulama yang penulis sebutkan di atas dan sebelumnya adalah dianggap sebagai ulama tradisional dunia Melayu, jika mereka melakukan penulisan dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Melayu/Jawi.

Pada waktu menjelang kemerdekaan Indonesia, penulisan Islam mulai bertukar dengan bentuk latin/rumi, yang disebut sebagai zaman moden. Ini kerana sistem pendidikan mulai berubah, maka hafalan kalimat-kalimat Arab berbentuk nazam atau syair mulai menurun.

Jika kita bandingkan dengan zaman tradisional, semua pengetahuan agama Islam adalah dihafal dalam bentuk matan. Matan-matan tersebut hampir semuanya dalam bentuk nazam atau syair. Setiap matan terdiri dari beratus-ratus bait, hingga 1,000 bait, bahkan ada yang lebih panjang daripada itu.

Sistem pengajian moden tidak menekankan hafalan matan seperti zaman tradisional seperti yang dialami oleh ulama-ulama dunia Melayu yang tersebut.

Oleh itu mahu tidak mahu kita mengakui bahawa ilmu kesusasteraan Arab turun menjunam, hampir-hampir tidak dikenali lagi oleh pelajar-pelajar Islam yang memasuki pendidikan Islam secara moden.

Baik di Indonesia mahupun Malaysia, tidak banyak buku yang dihasilkan yang khusus membahas kesusasteraan Arab dalam bentuk tulisan Latin/Rumi jika kita bandingkan dengan bentuk tulisan Melayu/Jawi. Namun sebagai pelengkap beberapa buah buku kesusasteraan Arab yang ditulis dalam tulisan Latin/Rumi, penulis singgung juga di sini, ialah:

Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H

Tokoh terpelajar yang mendapat pendidikan sepadu tradisional dan moden ini dulunya adalah seorang pensyarah universiti di Jawa Tengah, Indonesia.

Beliau menghasilkan banyak karya, mengenai sastera Arab ialah: Sajak-sajak Burdah Al-Imam Muchammad Al-Bushiriy. Menurut penelitian penulis, buku tersebut adalah yang pertama membicarakan Burdah al-Bushiri dalam bahasa Melayu/Indonesia yang terlengkap, terjemahan dari Arab ke Melayu/Indonesia, membahas pelbagai aspek secara ilmiah akademik dalam konteks gabungan antara dunia klasik dan moden dan lain-lain.

Bahkan penulis berpendapat ia merupakan buku pertama seumpamanya yang ditulis dalam bahasa Indonesia.

Perlu dicatatkan di sini bahawa karya Burdah al-Bushiri ini bukan bererti yang pertama diperkenalkan dalam bahasa Melayu, kerana jauh sebelum ini diperkenalkan oleh ulama tradisional, iaitu Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani dengan judul Majmu’ul Qashaid wal ‘Awaid (1320 H/1902 M).

Prof. Madya Osman Bin Haji Khalid

Pada masa penulis sedang kebingungan mencari buku kesusasteraan Arab dalam bahasa Melayu moden setelah karya Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H tersebut di atas, tiba-tiba di sebuah kedai buku di Alor Setar, Kedah sekitar tahun 1989 penulis hanya menjumpai sebuah buku judul Kajian Teks Pilihan Kesusasteraan Arab oleh Osman Bin Haji Khalid.

Buku tersebut bukan berupa cetakan tetapi berupa salinan fotokopi, walaupun di bawahnya terdapat nama Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku tersebut diselesaikan di Kampung Teras Jernang Kajang, Selangor, Rabiulawal 1408 H/November 1987 M.

Bagi penulis, buku yang dihasilkan oleh Ustaz Prof. Madya Osman bin Haji Khalid yang penulis miliki itu tidak kalah pentingnya dengan buku Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H tersebut.

Setelah penulis semak, mukadimah buku Ustaz Prof. Madya Osman Bin Khalid ternyata beliau telah menghasilkan beberapa buah buku lain mengenai kesusasteraan Arab, ialah:Kesusasteraan Arab Dalam Zaman Permulaan Islam dan Kesusasteraan Arab Di Zaman Abbasiah, Andalus dan Zaman Moden.

Prof. Dr. Haji Muhammad Bukhari Lubis

Karya beliau lebih dulu penulis kenal sekitar tahun 1988 daripada jati dirinya. Karya yang dimaksudkan ialah Pujangga Arab, cetakan pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987.

Sepatah kata ditulis pada November 1982 M/Safar 1403 H. Empat tahun setelah buku tersebut penulis miliki (1991), tiba-tiba penulis berjumpa beliau membawa buku penulis berjudulKhazanah Karya di Perpustakaan Negara Malaysia.

Mulai saat itu, terjalin kemesraan dengan beliau kerana sering bertemu dalam pelbagai seminar yang diadakan di Kuala Lumpur dan tempat-tempat lainnya. Sebuah lagi buku sastera Arab karya beliau ialah Pancasuara: Himpunan Sajak Arab Klasik dan Moden (Ramadan 1401 H/Julai 1981 M).

Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam M.A

Pada 1989, Persatuan Ulama Kedah meminta penulis membentang kertas kerja mengenai susur galur ulama Banjar dengan Kedah. Ketika itu juga penulis mulai berkenalan dengan Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam.

Beliau mengemukakan kekagumannya terhadap sebuah puisi gubahan Sheikh Ahmad al-Fathani yang termaktub pada kitab Sabilul Muhtadin karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Secara diam-diam beliau telah menterjemah puisi Sheikh Ahmad al-Fathani itu.

Penghujung tahun 1993, Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam juga pernah diminta membentang kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Islam Sedunia di Bangladesh.

Beliau menulis kertas kerja dalam bahasa Arab dengan memperkenalkan dua puisi Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu puisi Sheikh Ahmad al-Fathani ketika belajar di Mesir dan puisi yang ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Puisi-puisi tersebut telah diterjemahkan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam ke dalam bahasa Melayu, selain puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang termaktub dalam karya Sheikh Nawawi al-Bantani. Beliau yang berasal dari Banjar itu memperoleh pengajian sastera Arab ialah di Nadwah, India.

PENUTUP

Penulis berkesimpulan bahawa di tengah-tengah kelangkaan ilmu balaghah (retorika) dalam masyarakat Melayu masa kini, secara nyata ataupun tersorok-sorok barangkali masih ada ahli atau pakarnya.

Penulis berpendapat bahawa ilmu yang dipusakai dari zaman pengajian Islam tradisional itu tidak akan pupus hingga zaman moden ini apabila beberapa tokoh yang memahami ilmu tersebut berjuang bersungguh-sungguh menghidupkannya.

Oleh itu, kita mesti tambah giat mengumpulkan tenaga pakar untuk menghidupkannya supaya ilmu yang masih tersorok dan diketepikan menjadi bertambah jelas demi memperlihatkan ketinggian dan keagungan ilmu pengetahuan Islam.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0216&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Comments on: "Tulisan ulama Melayu dalam kesusasteraan Arab" (1)

  1. suparno - jambi said:

    mohon dituliskan terjemahan sajak burdah al busiri , insyaalloh dapat lebih mendalami maknanya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: