اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم



Tok Bermin adalah merupakan seorang ulama yang sangat tegas menentang kemasukan Kaum Muda di wilayah Fathani. Nama sebenar beliau ialah Haji Wan Ahmad bin Wan Idris al-Fathani. Beliau dilahirkan di Kampung Binjai, Mukim Binjai Lima, Fathani pada tahun 1290H/1873M[1]. Beliau adalah merupakan shahabat rapat kepada Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf Haji Ahmad al-Kelantani (atau lebih dikenali dengan nama Tok Kenali)dan Haji Muhammad Hussin bin Abdul Lathif al-Fathani (atau lebih dikenali dengan nama Tok Kelaba). Dan mereka bertiga merupakan murid-murid yang rapat dengan ulama besar Melayu yang menetap di Mekah iaitu al-‘Alim al-‘Allamah Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Pendidikan

Sebelum berangkat ke Mekah, Tok Bermin menimba ilmu diberapa buah pondok di Fathani, antaranya:

  • Pondok Beting
  • Pondok Semela berguru dengan Tok Semela Tua iaitu Tuan Guru Haji Wan Ahmad Semela.
  • Pondok Bendang Daya berguru kepada Tok Bendang Daya II
  • Pondok Tok Raja Haji, Jambu Fathani

Ketika di Mekah Tok Bermin belajar dengan ramai ulama, antaranya:

  • Tok Yaman – iaitu seorang anak watan Fathani yang baru kembali dari Yaman dan menjadi kepala telaah kepada pelajar-pelajar yang baru memulakan pengajian di Mekah.
  • Tok Cik Wan Daud bin Mustafa al-Fathani – kepada ulama ini beliau banyak memgambil ilmu.
  • Syaikh Wan Ahmad al-Fathani – Tok Bermin, Tok Kenali dan Tok Kelaba adalah murid-murid kesayangan Syaikh Wan Ahmad. Dan mereka bertiga juga merupakan khadam berkhidmat kepada guru kesayangan mereka ini.
  • Syaikh Nik Mat al-Fathani
  • Syaikh ‘Ali Maliki dan lain-lainnya

Membuka Pondok
[gambar disebelah adalah shahabat Tok Bermin iaitu Tok Kenali]

Setelah tamat menuntut ilmu di Mekah, Tok Bermin kembali ke Fatani sebagai seorang yang ‘alim khususnya dibidang fiqh. Beliau membuka pondok di Kampung Atas Beris, Mukim Bermin. Dari sinilah beliau mendapat gelaran ‘Tok Bermin’. Seterusnya pondok ini dikenali sebagai Madrasah Nur al-Islam al-Barminiyah. Pada zaman puncak kegemilangan (disekitar tahun 1920an – 1940an), pondok Bermin memiliki sejumlah 800 buah pondok yang dilengkapi dengan pasarnya sendiri untuk kemudahan anak-anak pondok membeli barang keperluan. Ini membuatkan Pondok Bermin termasuk di dalam pondok yang sangat dihormati dan mendapat tempat dihati masyarakat Fathani. Diantara kitab-kitab yang diajar [berdasarkan maklumat dari wawancara dengan salah seorang muridnya] oleh Tok Bermin adalah:

  • Feqah – Tahrir, Fathul Qarib, Bajuri, I’anah at-Tholibin, Bujairimi, Mughni al-Muhtaj, Iqna`,Fathul Wahab dan Mahalli
  • Usuluddin – Bakurah, Kifayatul Awwam, Bajuri, Hudhudi, Abdussalam, al-Muktadi Syarh Syarqawi (biasanya di sebut Suhaimi) dan matan Jauharah
  • Tafsir – Tafsir Jamal Syarh Jalalain
  • Nahwu – Mughni Labib dan Ibn ‘Aqil
  • Tasauf – Hikam Ibn ‘Athoillah, Sairus Salikin dan Minhajul ‘Abidin

Murid-murid Tok Bermin

Pondok Bermin telah melahirkan ramai generasi ulama. Ini mencerminkan kejayaan Tok Bermin dalam mendidik seterusnya melahirkan generasi penerus institusi pondok dimana ada dikalangan murid beliau juga membuka pondok. Antara murid-muridnya:-

  • Haji Hasan bin Muhammad Amin atau dikenali dengan nama Haji Hasan Mak Enggol – membuka pondok Mak Enggol. Pondok ini juga masyhur.
  • Haji Abdullah Titi – membuka pondok di kampung Pial
  • Haji Abdul Qadir Bendang Ramah – meneruskan pondok mertuanya di Bendang Ramah
  • Haji Ismail Semela – beliau membuka pondok di kampnug Semela.
  • Haji Abdullah Bendang Kebun – membuka pondok Bendang Kebun.
  • Tuan Chik Bendang Siring, Pujud (menantu Tok Bermin)
  • Haji Ismail Getah Cambah
  • Haji Mat Terengganu (dari beliaulah senarai kitab-kitab yang diajar oleh Tok Bermin diperolehi) – beliaulah yang menjadi penerus pondok Bermin setelah kewafatan Tok Bermin
  • Haji Omar Ibrahim Becah Semak, Pasir Mas
  • Haji Hamid Jelepok, Perlis
  • Haji abdul Ghani Batu Empat, Titi Kasan, Kedah
  • Haji Idris Alor Kemudu, Kedah
  • Baba Li Caya (bermastautin di Mekah)
  • Haji Salleh Jelempok, Perlis
  • Haji Abdurrahman Pombeng (berhijrah dan menetap di Terengganu. (Mudir Madrasah Darul Salam, Kuala Ibai, Terengganu. Baru saja wafat. Namun abu zahrah lupa tarikhnya)
  • Haji Abdurrahman Bangkok
  • Haji Ismail Phra’tan (Legor)
  • Dan ramai lagi ….

Penulisan

Tok Bermin tidak meninggalkan hasil penulisan bercetak kecuali beberapa salinan doa dan wirid yang beliau berikan atas permintaan seseorang yang mengunjungi beliau.

Menurut al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan Abdullah, beliau ada menyimpan manuskrip atau tulisan tangan asli Tok Bermin yang meriwayatkan peristiwa kedatangan dua orang dari Minangkabau ke Legor menyebarkan ajaran Kaum Muda. Mukadimah tulisan Tok Bermin adalah sebagai berikut:

“Dan adalah pada hari Sabtu, 26 Syawal, dan hari Isnin, 28 Syawal juga, pada tahun [atau] sanah 1347 [Hijrah], perhamba al-Haji Wan Muhammad Bermin, Jambu, periksa dan tanya akan ‘Abdullah dan Burhan orang Minangkabau. Yang keduanya setengah daripada Kaum Muda yang duduk berjalan menyesatkan orang-orang. Di dalam negeri Legor diperiksa di dalam Masjid al-Haji Mat, Kampung Baru. Dan di dalam Masjid al-Haji Mahmud di hadapan Imam Shiddiq, dan Penghulu Hamzah, dan al-Haji Mat sendiri dan al-Haji Mahmud, dan beberapa banyak daripada manusia.’’

Personaliti Tok Bermin

Tok Bermin selalu kemas dalam berpakaian sama ada ketika mengajar atau berjalan. Pakaian yang dipakainya sentiasa tegang kerana berkanji menurut tradisi zaman itu. Tok Bermin jika berjalan ke mana-mana menunggang kudanya sendiri dengan tersedia pada tangannya. Jika menunggang kuda Tok Bermin selalu berdisiplin, mencerminkan kewibawaan, kebesaran ulama dan kelihatan gagah. Dielakkannya menunggang seperti ada kelemahan atau menanggung sesuatu penyakit. Ketika mengajar beliau sangat cermat dan tegas, terutama ketika membaca kitab atau mendengar murid membaca kitab bahasa Arab. Beliau sangat terikat dengan kaedah ilmu, terutama dalam ilmu nahu dan ilmu sharaf, sedikit pun tidak boleh tersilap atau salah. Jika tersalah baca, Tok Bermin menegurnya secara spontan langsung memberi keterangan dengan ‘tegas’. Tok Bermin membaca perkataan satu demi satu dengan jelas.

Tok Bermin mengamalkan thariqat Ahmadiah (iaitu thariqat sufiyyah yang di nisbahkan kepada Syaikh Ahmad bin Idris bin Muhammad al-Hasani). Masyhur di kalangan masyarakat Fathani bahawa Tok Bermin adalah seorang yang dikuniakan dengan perlbagai karamah. Diujung usianya, Tok Bermin menghabiskan masa untuk beribadat sahaja.

Keluarga

Sewaktu kewafatannya, Tok Bermin mempunyai tiga orang isteri. Dan beliau dikurniai dengan 5 orang anak.

Kewafatannya

Ulama yang berjasa ini wafat di Bermin, malam Khamis 29 Zulkaedah 1376H/27 Jun 1957M pada umur 86 tahun menurut tahun Hijrah. Semoga Allah sentiasa mengasihi dan merahmati Tok Bermin …… al-Fatihah.

Tulisan mengenai tokoh ini Abu Zahrah kutip dari:
– Ulama besar dari Patani oleh Ahmad Fathy al-Fatani; Terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia; 2002
– Tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertajuk Tok Bermin al-Fathani cergas, cermat dan kemas

sekian dari
~abu zahrah~
Khamis, 29 Jumadilakhir 1429H / 3 Julai 2008M

 

 

SUMBER:

http://gagasanulamaaswj.blogspot.com/2008/07/tokoh-sunnah-tok-bermin-al-fathani.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: