اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


Karamah Para Wali Menurut Naqal & Aqal

Pendahuluan

Karamah ialah perkara yang menyalahi hukum adat tanpa disertai dengan dakwaan kenabian dan tidak juga muqaddimah bagi kenabian.  Allah menzahirkan karamah itu kepada hambaNya yang nyata kesolehannya yang iltizam dengan syariah, sentiasa mengikut nabiNya, yang disertai dengan aqidah yang sahih (I’tiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah) amalan yang soleh – sama ada ia tahu dengan berlakunya karamah bagi dirinya ataupun tidak.[1]

Dewasa ini ada segelintir manusia yang tertutup pintu hatinya untuk meyakini kebesaran Allah melalui pemberianNya kepada hamba-hambaNya yang dikasihi. Mereka mengingkari adanya karamah di kalangan Auliya’ dengan alasan perkara itu mustahil berlaku. Sebenarnya mereka ini jahil berkaitan hukum akal dan hukum adat. Lantas mereka cepat menghukum bahawa karamah itu mustahil berlaku.

Perlulah disini penulis membahaskan definisi hukum akal dan hukum adat agar dapat memberi penjelasan yang utuh mengenai kewujudan karamah dikalangan wali-wali Allah Ta’ala.

Hukum akal itu ialah keputusan yang memutus seorang dengan akal fikiran yang membetuli bagi perkara-perkara yang difikir itu. Dan hukum akal itu tiga perkara iaitu wajib pada akal, mustahil pada akal dan harus pada akal.[2] (Soal), apakah ta’rif wajib ‘aqli?. (Jawab) iaitu “ما لا يقبل الانتفاء” ertinya barang yang tidak terima ia akan ternafinya, dengan makna tak diterimakan balik daknya. Dengan pitas (ringkas) maksudnya barang yang tentu sungguhnya tak terima balik dak sama ada barang itu sungguh semata-mata seperti sedia Allah Ta’ala masalan atau sungguh lagi  bertambah adanya, seperti qudrat Allah Ta’ala dan lainnya daripada segala sifat ma’ani. (Soal) apakah mustahil ‘aqli? (Jawab) iaitu “ما لا يقبل الثبوت”. Ertinya barang yang tidak terima ia akan sungguhnya dan sengutinya. Dengan pitas maksudnya barang yang tentu tidaknya tak terima sungguh dan sengutinya sama ada yang tentu daknya seperti baruNya (Allah) Ta’ala masalan atau yang tentu daknya, seperti lemahNya Ta’ala masalan. (Soal) apakah ta’rif jaiz ‘aqli? “ما يقبلها  “ ertinya barang yang terima ia akan keduanya dengan bergilir ganti (di dalam masa yang berlainan) yakni adanya atau tak daknya, seperti langit dan bumi berlakunya atau tidaknya.  Inilah yang dinamakan hukum-hukum aqal yang tiga. Maka siapa-siapa yang tidak mengetahui dan tidak pandai hukum-hukum aqal itu maka bukan ia yang beraqal dan menambah oleh setengah ulama’ di atas perkataan itu dengan katanya bahkan ia majnun.[3]

Bermula makna hukum ‘adat itu ialah keputusan (sesuatu perkara yang) kebiasaan (berlaku).  Ertinya, keputusan yang memutus akan dia oleh seseorang dengan sebab (ditilik kepada) berulang-ulang jadi dan berlaku sekurang-kurangnya dua kali berlaku seperti apabila makan banyak wajib kenyang dan pasti kenyang kerana kebiasaan sudah berulang-ulang begitu dan umpamanya. Dan yang berlaku ‘adat atau  berlaku kebiasaan yang berulang-ulang itu ialah empat perkara, pertama biasa berlaku ada (sesuatu) dengan (sebab) ada sesuatu perkara seperti ada (berlaku) makan ada (berlaku) kenyangnya. Keduanya biasa berlaku ada dengan (sebab) tiada (berlaku) seperti ada (berlaku) panas dengan (sebab) tidak mandi. Ketiganya biasa berlaku tiada dengan (sebab) tiada (berlaku) seperti tiada (berlaku) sejuk dengan tiada (berlaku) mandi. Keempatnya, biasa berlaku tiada dengan (sebab) ada (berlaku)  seperti tiada lapar dengan (sebab ) ada (berlaku) makan dan seumpanya daripada perkara yang biasa berlaku serta berulang-ulang. Itulah empat perkara yang dikatakan ‘adat atau kebiasaan yang berlaku dan kebiasaan jadi. Dan hukum ‘adat itu terbahagi ia kepada tiga bahagian. Pertamanya wajib ‘adat, dan mustahil ‘adat, dan harus ‘adat. Bermula wajib itu ialah barang yang pasti jadi dan pasti berlaku pada kebiasaannya seperti makan banyak maka wajib yakni pasti atau tentu kenyang dan apabila bakar dengan api maka tentu dan pasti hangus dan seumpanya. Dan mustahil pada ‘adat itu ialah barang yang tidak biasa berlaku dan tak biasa jadi seperti makan banyak tidak kenyang dan bakar dengan api tidak hangus dan umpamanya daripada perkara yang tidak biasa jadi dan tidak biasa berlaku. Dan harus pada ‘adat itu ialah barang yang boleh berlaku dan boleh jadi dan tidak berlaku dan tidak boleh jadi seperti kenyang apabila makan dua pinggang (pinggan) dan  boleh jadi kenyang dengan kurang sedikit (daripada dua pinggan) dan boleh jadi kenyang dengan lebih sedikit daripada dua pinggang (pinggan) . Itulah harus pada ‘adat dan tiga perkara hukum ‘adat ini termasuk semuanya di dalam harus pada ‘aqal.[4]

Jadi berbalik kepada masalah karamah, maka kita akan mendapati bahawa karamah yang berlaku itu hanyalah mencarik adat iaitu mustahil pada ‘adat kerana pada kebiasaannya tidak berlaku perkara sedemikian itu seperti kisah wali berjalan di atas air itu hanya mustahil pada ‘adat, kerana kebiasaannya tidak berlaku manusia yang boleh berjalan di atas air. Apabila dipandang dengan aqal fikiran maka kita dapati bahawa tidak mustahil sesuatu karamah itu berlaku kerana Allah Ta’ala berkuasa untuk menjadikan sesuatu perkara yang luar biasa dan sebagai kelebihan kepada hamba-hambanya yang dikasihi yakni wali-wali Allah Ta’ala. Maka kesimpulannya, hukum karamah itu hanyalah mustahil pada ‘adat tetapi harus pada ‘aqal.

Adapun dalilnya pada aqal maka bahawa ia perkara yang mumkin pada dirinya lagi patut bagi melengkapi qudrat bagi mengadakannya kerana bergantungnya dengan tiap-tiap mumkin pada mengadakan dan meniadakan atas persetujuan iradat dan tiadalah ia daripada yang mustahil-mustahil kerana tiada di lazim daripada mentaqdir akan jatuhnya mustahil pada ‘aqal maka tertentulah bahawa ia daripada mumkin yang tiada mustahil akannya oleh ‘aqal dan tiap-tiap yang mumkin tiada waridlah dengan ketiadaan jatuhnya oleh naqal maka haruslah bahawa memulia oleh Allah Ta’ala dengannya akan wali-walinya dan yang mengingkarkan bagi barang yang bergantung dengannya oleh qudrat mengingkari bagi qudrat  atau mensabit melemahkan atau mentarjih salah satu daripada dua tepi (pihak) mumkin dengan ketiadaan yang mentarjihkan dan sekelian ini mustahil atas qudrat Allah Ta’ala yang maha tinggi dan tiadalah makna bagi karamah malainkan bahawa Allah S.W.T memperlihat ia akan walinya atas haqiqat segala perkara dan ini masuk ia dibawah kehendak Allah Ta’ala wajiblah bersifat Ia dengannya kerana Ia yang menjadi baginya maka betapakah mustahil adanya hal keadaan ia satu bekas daripada segala bekas qudratNya dan seumpama tiada makna bagi karamah melainkan barang yang tersebut maka demikian juga tiadalah makna bagi mukjizat melainkan bahawa Allah Ta’ala memperkasyaf Ia (Allah) dengannya (mukjizat) akan nabiNya dan memperlihat ia akannya akan ghaibnya dan Ia (Allah) S.W.T Tuhan yang memperbuat lagi memilihi maka seumpama bahawa mukjizat tiadalah mustahil ia maka begitu jugalah karamah maka daripada sini bolehlah terjadi bahawa mengingkar akan karamah membawa akannya oleh mengingkar akan mukjjizat.[5]

Dalil-dalil Wujudnya  Karamah di Dalam al-Qur’an[6]

1 . Kisah Ashabul Kahfi yang masih hidup dalam keadaan selamat daripada segala bahaya setelah mereka tertidur di dalam gua selama 309 tahun. Allah S.W.T menjaga mereka daripada panas matahari:

وَترَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت  تَّّزَوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ اليَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقُرِضُهُم ذَاتَ الشِّمَالِ…

“Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari itu terbenam ia menjauhi mereka ke sebelah kiri”.

(Surah al- Kahf: 17)

Sehinggalah sampai kepada firman Allah S.W.T;

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَات اليَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وكَلْبُهُمْ بَسِطٌ ذِرَاعِيهِ بِالْوَصِيدِ

Dan kamu mengira mereka itu bangun padahal mereka tidur, dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannnya di muka pintu gua”.

 

وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا

Dan mereka tinggal dalam gua mereka selama 300 tahun dan ditambah 9 tahun (lagi)”.

 

2. Sayyiditina Maryam menggoyang batang pohon kurma yang kering lalu ia menghijau dan menggugurkan ruthab – tamar mekar – yang masak bukan pada musimnya.

وَهُزِّى إِلَيْكَ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَقٍطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيّا

“ًDan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma masak kepadamu”.

 

3. Apa yang diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran kepada kita bahawa setiap kali Nabi Zakaria as masuk menemui Maryam di mihrab, baginda mendapati makanan berada di sisinya sedangkan tiada seorangpun yang masuk menemui Maryam selain baginda as. Baginda bertanya: Dari mana kamu memperolehi makanan itu? Maryam menjawab: Makanan ini datangnya dari sisi Allah.

كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا قَالَ يَمَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ

Setiap kali Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab dia dapati makanan di sisinya. Zakaria berkata: Wahai Maryam, dari manakah kamu memperolehi (makanan) ini? Maryam menjawab: Makanan ini dari sisi Allah”.

 

4. Kisah Ashif bin Barkhiya dengan Nabi Sulaiman as menurut pendapat jumhur mufassirin, yang terdapat dalam firman Allah:

قَالَ الَّذِى عِندَهُ عِلْمٌ مِّنَ الْكِتَبِ أَنَا ءَاتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ…

Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari ahli kitab: Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum berkelip”.

 

Lalu dia datang dengan membawa siggahsana Balqis dari Yaman ke Palestin sebelum mata berkelip.

 

 

Dalil-dalil Wujudnya  Karamah di Dalam As-Sunnah[7]

 

  1. Kisah Juraij seorang abid yang bercakap dengan anak kecil di dalam buaian. Ia merupakan hadis sahih yang dimuatkan dalam Shohihain.

 

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لم يتكلم في المهد إلا ثلاثة: عيسى وكان في بني إسرائيل رجل يقال له جريح، كان يصلي فجاءته أمه فدعته، فقال: أجيبها أو أصلي؟ فقالت، اللهم لا تمته حتى تريه وجوه المومسات. وكان جريح في صومعته فتعرضت له امرأة وكلمته فأبى. فأتت راعيا فأمكنته  من نفسها فولدت غلاما، فقالت: من جريح فأتوه فكسروا صومعته وأنزلوه وسبّوه، فتوضأ وصلىّ ثم أتى الغلام، فقال: من أبوك يا غلام؟ فقال: الراعيز قالوا: نبني صومعتك من ذهب؟ قال: لا، إلا من طين…

Daripada Abu Hurairah ra daripada Nabi S.A.W , baginda bersabda: Tidak bercakap di dalam buaian kecuali tiga orang; Isa dan terdapat seorang lelaki Bani Isra’il  yang disebut Juraij. Sedang beliau solat lalu ibunya mendatanginya dan memanggilnya. Beliau berkata: Aku ingin menjawabnya atau ingin solat? Si ibu berkata: Wahai Tuhanku, janganlah Engkau matikan dia sehingga Engkau memperlihatkan  kepadanya wajah pelacur. Tidak lama kemudian – sedang Juraij berada di tempat peribadatannya datang seorang perempuan dan bercakap dengannya, lalu dia enggan. Perempuan  itu mendatangi pengembala kambing dan mendapat apa yang diingininya. Selepas itu dia melahirkan bayi dan berkata: Bayi itu daripada Juraij. Orang ramai datang kepada Juraij dan meruntuhkan tempat peribadatannya dan menghinanya. Juraij lantas mengambil wudhu’ dan bersolat. Setelah itu dia mendatangi anak kecil tadi. Dia bertanya: Siapakah ayahmu wahai si kecil? Jawab bayi: Pengembala kambing. Orang ramai kemudiannya berkata: Kami akan membina semula tempat peribadatanmu dengan emas? Beliau menjawab: Tidak, melainkan dengan tanah…’.

 

2. Kisah bayi yang bercakap di dalam buaian.

Hadis ini adalah penyempurna kepada hadis yang disebutkan sebelumnya.

..وكانت امرأة ترضع ابنا لها من بني إسرائيل، فمر بها رجل راكب ذو شارة: فقالت: اللهم اجعل ابني مثله، فترك ثديها وأقبل على الراكب، فقال: اللهم لا تجعلني مثله، ثم أقبل على ثديها يمصه. قال أبو هريرة: كأني أنظر إلى النبي صلى الله عليه وسلم يمص إصبعه. ثم مر بأمة، فقالت: اللهم لا تجعل ابني مثل هذه،: فترك ثديها فقال: اللهم اجعلني مثلها. فقالت: لِمَ ذاك؟ فقال: الراكب جبار من الجبارة، وهذه الأمة يقولون: سرقت، زنت ولم تفعل.

…Dan seorang perempuan dari Bani Isra’il yang menyusukan anaknya. Tiba-tiba seorang penunggang lelaki yang jahat telah lalu di hadapan perempuan tersebut. Perempuan tadi berkata: Wahai Tuhanku, jadikanlah anakku sepertinya. Bayi itu meninggalkan susunya dan menoleh kepada penunggang tersebut lalu berkata: Wahai Tuhanku, janganlah Engkau menjadikan aku sepertinya. Setelah itu dia menyusu kembali. Abu Hurairah berkata: Aku seolah-olah melihat Nabi SAW menghisap jari baginda. Kemudian datang pula seorang hamba maka perempuan tadi berkata: Wahai Tuhanku, janganlah Engkau jadikan anakku seperti orang ini. Bayi itu meninggalkan susunya dan berkata: Wahai Tuhanku, jadikanlah aku sepertinya. Perempuan tadi berkata: Kenapa begitu? Jawab bayi: Penunggang itu adalah seorang yang takabbur. Adapun hamba ini, manusia berkata kepadanya; engkau mencuri, engkau berzina sedangkan dia tidak melakukannya.

 

3. Kisah tiga orang yang memasuki gua, setelah pintu tertutup batu terbuka kepada mereka – sebagai jalan keluar. Hadis ini adalah hadis muttafaqun ‘alaih.

               عن أبي عبد الرحمن عبد الله بن عمر بن الخطاب رضي الله عنهما قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:  انطلق ثلاثة رهط ممن كان قبلكم، حتى أووا المبيت إلى غار فدخلوه فانحدرت صخرة من الجبل فسدت عليهم الغار، فقالوا: إنه لا ينجيكم من هذه الصخرة إلا أن تدعوا الله بصالح أعمالكم، فقال رجل منهم: اللهم كان لي أبوان شيخان كبيران، وكنت لا أغبِق قبلهما أهلا ولا مالا فنأى بي في طلب شئ يوما فلم أرح عليهما حتى ناما، فحلبت لهما غبوقهما فوجدتهما نائمين فكرهت أن أوقظهما وأن أغبق قبلهما أهلا أو مالا، فلبثت والقدح على يدي أنتظر إستيقاظهما حتى برق الفجر، فاستيقظا فشربا غبوقهما. اللهم إن كنت فعلت ذلك ابتغاء وجهك ففرج عنا ما نحن فيه من هذه الصخرة فانفجرت شيئا لا يستطيعون الخروج.

قال النبي صلى الله عليه وسلم: وقال الآخر: اللهم إنه كانت لي بنت عم، كانت أحب الناس إلي فأردتها على نفسها فامتنعت مني حتى ألمت بها سنة من السنين  فجاءتني فأعطيتها عشرين ومائة دينار على أن تخلي بيني وبين نفسها، ففعلت إذا قدرت عليها قالت: لا أحل لك أن تفض الخاتم إلا بحقه، فتحرجت من الوقوع عليها فانصرفت عنها وهي أحب الناس إلي، وتركت الذهب الذي أعطيتها. اللهم إن كنت فعلت ابتغاء وجهك فافرج عنا ما نحن فيه، فانفرجت الصخرة غير أنهم لا يستطيعون الخروج منها.

قال النبي صلى الله عليه وسلم،: وقال الثالث، اللهم استأجرت أجراء، فأعطيتهم أجرهم غير رجل واحد ترك الذي وذهب، فثمرت أجره حتى كثرت منه الأموال، فجاءني بعد حين، فقال: يا عبد الله! أد أليَّ أجري، فقلت له: كل ما ترى من أجرك من الإبل والبقر والغنم والرقيق فقال: يا عبد الله! لا تهتزئ بي. فقلت: إني لا أستهزيءبك. فأخذه كله فاستاقه فلم يترك منه شيئا. اللهم فإن كنت فعلت ذلك ابتغاء وجهك فافرج عنا ما نحن فيه، فانفجرت الصضرة فخرجوا يمشون.

Daripda Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar Ibnu al-Khattab ra huma, beliau berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Telah berangkat tiga orang lelaki sebelum kamu, sehingga mereka ingin bermalam di gua lalu mereka masuk ke dalamnya. Tiba-tiba batu yang besar jatuh dari bukit, pintu gua tertutup. Mereka berkata: Sesungguhnya tidak boleh menyelamatkan kami daripada batu ini melainkan kamu berdoa kepada Allah dengan amalan-amalan kamu yang soleh. Seorang lelaki daripada mereka berkata: Ya Allah! Aku mempunyai kedua ibubapa yang telah tua. Aku dan keluargaku tidak pernah minum sebelum mereka berdua minum. Suatu hari mereka memanggilku untuk meminta sesuatu. Aku belum dapat menunaikannya sehingga mereka berdua tertidur. Maka aku buatkan susu sebagai minuman mereka  berdua. Aku dapati mereka telah tidur. Aku tidak mahu mengejutkan mereka dan tidak mahu minum sebelum mereka, begitu juga dengan keluargaku. Aku berdiri tercegat sedang bekas minuman berada di tanganku. Aku menunggu mereka berdua bangun, setelah fajar menyinsing mereka berdua pun bangun dan meminum minuman (yang berada di tanganku) Ya Allah! Sekiranya aku melakukan perkara tersebut menuntut keredhaanMu maka lapangkanlah keadaan kami daripada pintu ini. Lalu dibukakan sedikit, mereka belum lagi mampu keluar.

Nabi SAW bersabda: Lelaki lain pula berkata: Ya Allah! Sesungguhnya aku mempunyai sepupu perempuan sebelah ayahku. Dia merupakan insan yang paling aku sayangi. Aku menginginkan dirinya untukku tetapi dia menegahku daripadanya. Sehinggakan kerananya aku jatuh sakit selama setahun. Lalu dia datang kepadaku. Aku berikan kepadanya 120 dinar agar dia bersendirian di antaraku dan dia. Dia lakukan. Sehingga apabila aku mendekatinya, dia berkata: Tidak dihalalkan bagimu untuk memakai cincin melainkan dengan haknya. Aku merasa resah untuk bersekedudukan dengannya lalu aku beredar daripadanya sedangkan dia adalah insan yang paling aku cintai. Aku tinggalkan emas – dinar – yang telah ku berikan kepadanya. Ya Allah! Sekiranya aku melakukan perkara tersebut kerana mencari keredhaanMu maka lapangkanlah keadaan kami ini. Batu itu terbuka tetapi mereka masih belum dapat keluar daripadanya.

Nabi SAW bersabda: Lelaki yang ketiga berkata: Ya Allah! Aku telah menyewa pekerja – buruh. Aku berikan mereka upah melainkan seorang lelaki yang meninggalkan upahnya dan pergi lalu aku laburkan upahnya sehingga ia bertambah banyak. Setelah masa berlalu, dia datang kepadaku dan berkata Wahai hamba Allah, tunaikan kepadaku upahku. Aku berkata kepanya: Semua unta, lembu, kambing, serta gandum yang kamu lihat adalah dari upahmu. Lelaki tadi berkata: Wahai hamba Allah, jangan kamu mempersenda-sendakanku. Aku berkata: Sesungguhnya aku tidak mempersendakanmu, ambillah kesemuanya lalu lelaki tadi mengambilnya tanpa meninggalkan sedikitpun. Ya Allah! Sekiranya aku lakukan perkara yang demikian itu untuk mencari keredhaanMu maka lapangkanlah keadaan kami ini. Batu tadi terbuka dan mereka semua pun berjalan keluar.

 

 

Karamah Adalah Kebenaran Bukan Khayalan[8]

Allah S.W.T. menganugerahkan kehormatan atau kemuliaan (karamah-kekeramatan) kepada siapa sahaja dari kalangan hamba-hambaNya yang saleh, menurut kehendakNya, baik mereka yang dari kalangan ummat Muhammad S.A.W. maupun dari kalangan para pengikut Nabi-nabi atau Rasul-rasul sebelum beliau. Allah memberi ampunan kepada pihak yang satu demi kemaslahatan pihak yang lain; memaafkan kesalahan pihak yang satu demi kebaikan pihak yang lain; dan menolong pihak yang satu untuk keselamatan pihak yang lain. Demikianlah sebagaimana yang terdapat di dalam Hadis- hadis Arafat. Menurut salah satu dari Hadis tersebut Allah S.W.T. berfirman kepada para malaikat mengenai orang-orang yang berwuquf di padang Arafat dan berdoa:

إِنِّي عَجِبْتُ دُعَاءَهُم وَوَهَبْتُ مُسِيئِهِم لِمُحْسِنِيهِمْ

“Kukabulkan doa mereka dan Kukurniai maaf orang-orang yang buruk dari mereka demi kemaslahatan orang-orang yang baik dari mereka.”

Demikianlah yang diriwayatkan oleh Abu Ya’la. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Thabarani, Rasulullah S.A.W. menyatakan:

إِنَّ الله وَهَبَ مُسِيئِيكُم لِمُحْسِنِيكُم وَأَعْطَى لِمُحْسِنِكُم مَا سَأَلَ، فَادْفَعُوا بِاسْمِ اللهِ.

“Allah mengaruniai maaf kepada orang yang buruk di antara kalian untuk kemaslahatan orang yang baik di antara kalian, dan Allah pun akan memberi apa yang diminta oleh orang yang baik. Kerananya hendaklah kalian berangkat (menunaikan ibadah haji) dengan nama Allah.”

 

Setelah mereka berkumpul (siap berangkat) Rasulullah S.A.W menerangkan.

إِنَّ اللّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ غَفَرَ لِصَالِحِيكُم وَشَفَّعَ صَالِحِيكُم فِي طَالِحِيكُمْ

“Allah azzawajalla telah memberikan ampunan kepada orang-orang yang baik dari kalian dan menerima permintaan syafaat (pertolongan) mereka bagi orang-orang yang buruk di kalangan kalian.”

Hadis mengenai itu yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi berbunyi sebagai berikut:

إِنِّي قَد غَفَرَتْ لَهُ وَشَفَعْتُهُ فِي نَفْسِهِ وَلَوْ سَأَلَنِي عَبْدِي هَذَا لَشَفَعْتُهُ فِي أهْلِ الْمَوْقِفِ.

“Aku telah mengampuninya dan telah memberi syafa’at kepadanya bagi dirinya sendiri. Jika ada hambaKu yang memohon hal itu kepadaKu tentu ia Kuberi syafa’at di tempat wuquf ini.”

Bahkan ada pula Hadis-hadis yang menegaskan, bahawa diantara para hamba Allah yang saleh, ada yang justru kerana kemulian (karamah) mereka itu Allah menurunkan rizki dalam kehidupan di alam wujud. Kerana mereka Allah menurunkan air hujan; menyelamatkan hamba-hambaNya, mencegah datangnya bencana, mendatangkan kebajikan serta menyayangi semua penghuni bumi.

Imam ‘Ali bin Abu Thalib karramallahu wajhahu menuturkan:

الْبُدَلاَءُ بِالشَّامِ، وَهُم أَرْبَعُونَ رَجُلاً، كُلَّمَا مَاتَ رَجُلٌ أَبْدَلَهُ اللَّهُ رَجُلاً مَكَانَهُ يُسْتَسْقَى بِهِمِ الْغَيْثُ، وَيُنْتََصَرُ بِهِم عَلَى الأَعْدَاءِ، وَيُصْرَفُ بِهِم عَن أَهْلِ الشَّامِ الْعَذَابُ.

“ Di negeri Syam terdapat orang-orang saleh, mereka berjumlah empat puluh orang. Bila ada seorang di antara mereka yang meninggal dunia, Allah menggantinya dengan orang lain menempati kedudukannya. Kerana mereka itulah Allah menurunkan air hujan, memenangkan mereka dalam menghadapi musuh dan menghindarkan penduduk negeri itu (Syam) dari bencana azab.”

Hadis tersebut diketengahkan oleh Imam Ahmad dan rawi-rawinya adalah para periwayat Hadis-hadis shahih. Syarih bin Ubaid – ia dapat dipercaya – mengatakan, bahwa ia sudah mendengar Hadis tersebutdari al-Miqdad lebih dulu.

Hadis lain yang diriwayatkan oleh Ubadah bin as-Shamit menuturkan, bahawasanya Rasulullah S.A.W. pernah menyatakan:

الأَبْدَالُ فِي هَذِهِ الأُمَّةِ ثَلاَثُونَ مِثْلُ خَلِيلِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ، كُلَّمَا مَاتَ رَجُلٌ أَبْدَلَ اللَّهُ مَكََانَهُ رَجُلاً.

“ Orang-orang yang saleh di kalangan ummat ini (ummat Muhammad S.A.W.) berjumlah tiga puluh orang. (Mereka itu) seperti Khalilur-Rahman (orang yang amat dekat dengan azzawajalla). Bila seorang dari mereka meninggal dunia, Allah menggantikan pada kedudukannya dengan orang yang lain.”

Hadis tersebut dikemukakan oleh Imam Ahmad dengan rawi-rawi shahih. Al-Ujaili dan Abu Zar’ah menilainya sebagai Hadis yang boleh dipercaya. Sedangkan selain dua orang ahli Hadis itu menilainya lemah.

 

Karamah Juga Berlaku Kepada Wali Allah Yang Sudah Mati

 

Karamah yang berlaku kepada hamba-hamba Allah yang soleh itu; tidak ada satu pun dalil yang menunjukkan bahawa ia berakhir dengan berakhirnya hidup seseorang wali di kehidupan alam dunia ini. Bahkan banyak dalil yang menunjukkan sebaliknya sebagaimana yang telah sabit di dalam hadis[9] bahawa Allah S.W.T melindungi jasad Sayyidina A’shim bin Tsabit r.a selepas kewafatan beliau – yang mana Allah telah menghantar satu kumpulan tebuan yang menjaga jasad tersebut daripada dikhianati oleh orang-orang kafir yang mana sebelum itu mereka ingin memotong jasad beliau.[10]

Mufti Negeri Sembilan yang pertama iaitu Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa’id bin Jamaluddin al-Linggi telah menerangkan karamah yang berlaku sesudah wafat seseorang wali didalam kitabnya Ittihaf Zawi al-Raghibat[11] di dalam lima fasal. Fasal yang pertama, ketahuil olehmu bahawa mereka yang telah mengetahui ia akan hakikat mati tiadalah membeza ia antara tasorruf wali dahulu daripada wafatnya atau kemudiannya dan bahawa mati itu pada sisi ahlul haq ialah berpindah ruh daripada satu negeri kepada satu negeri kerana bahawa bagi ruh itu empat kelakuan, satu kelakuan dahulu daripada ada segala jisim seperti telah datang dengannya oleh khabar kemudian satu kelakuan masa ada segala jisim hal keadaan bersepakai ia dengannya dan jisim dan terputuslah tasarrufnya dan dinamakannya barzakh, kemudian satu kelakuan kembalinya kepada segala jisim dan dinamakannya bangkit dan al-hayat al-ukhrawiyah dan iaitu kemudian daripada mencerainya bagi jisim tanggal ia atas barang yang ada ia daripada pengetahuan atau jahil atau bersih atau kotor atau hampir atau jauh inilah barang yang ittifaq atasnya oleh ahlul haq serta ittifaq mereka itu atas bahawa ruh kemudian daripada mencerainya bagi jisim tiada fanalah ia dengan fananya (jisim) dan telah mensaksi oleh Quran dan Hadis dengan bahawa segala ruh mereka-mereka yang berbahgia dan yang celaka hidup ia dan bahawa mereka itu dini’mat akan mereka itu atau di’azab.

Fasal yang kedua, kemudian daripada sudah diketahui bahawa tasrif itu daripada jumlah karamah-karamah ilal akhir. Maka hendaklah diketahui bahawa perkataan yang sebenar yang diittifaq atasnya bahawa tiada adalah ia bagi sekelian wali bersamaan adalah ia pada masa hidup atau kemudian daripada wafat bahkan tasrif yang sempurna tiada adalah ia melainkan bagi yang sempurna-sempurna daripada auliya’ Allah Ta’ala dan Ahli at-Tamkin maka mereka itu berlebih kurang pada kuat tasrif dengan kekuatan segala kelakuan dan darjat dan martabat dan atas sekira-kira minuman mereka itu dan berlebih kurang apabila adalah ia sabit bagi martabat-martabat nabi-nabi yang adalah martabat-martabat mereka itu setinggi-tinggi kesempurnaan yang dibangsakan kepada manusia maka mereka-mereka yang dibawah mereka itu daripada martabat terlebih utama dan tahqiq demikian itu bahawa tiap-tiap martabat daripada martabat-martabat yang sabit ia bagi wali-wali baginya dua taraf permulaan dan kesudahan maka barangsiapa sampai ia kepada tepi (pihak) permulaan daripada mana-mana martabat adalah dibilang akannya daripada ahlinya dan tinggallah berlebih kurang antara mereka itu dengan sekira-kira persediaan dan kesempurnaan dan perdahuluan dan persungguhan dan dalil demikian itu martabat mereka-mereka yang mati syahid baginya kesudahan dan iaitu bahawa dibunuh akannya pada jalan Allah antara hadapan Rasulullah S.A.W telah berfirman Allah Ta’ala

لاَ يَسْتَوِي مِنكُم مَن اَنفَقَ مِن قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ اُولَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ اَنفَقُوا مِن بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلاًّ وَعَدَ اللهُ الْحُسْنَى وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ.

“Tiadalah bersamaan daripada kamu mereka yang bernafkah ia dahulu daripada menakluki Makkah dan berperang ia mereka itulah yang terlebih besar darjat daripada mereka-mereka yang bernafkah mereka itu kemudian daripada itu dan berperang mereka itu dan akan tiap-tiap menjanji oleh Allah Ta’ala akan syurga dan Allah Ta’ala dengan barang yang kamu ber’amal amat mengetahui [12]

Dan serendah-rendah darjat mati syahid ialah barang yang mensabit akannya oleh Rasulullah S..A.W bagi satu bilangan daripada mereka-mereka yang mati seumpama yang mati terbakar dan yang karam dan yang terkena hempap dan yang mabthun dan lain daripada mereka itu dan diqiyaskan atas martabat-martabat syahadah-syahadah  akan yang lainnya daripada martabat-martabat.

Fasal yang ketiga, ketahuilah olehmu bahawa karamah-karamah tiadalah masuk ia dibawah usaha hamba dan ikhtiarnya hingga boleh dikata bahawa terputus ia dengan mati seseorang maka perkataan dengan ketiadaan harusnya (karamah) kemudian daripada mati ialah mentarjih bagi salah satu daripada dua taraf perkara yang mumkin dengan ketiadaan yang mentarjih bahkan ia memperlemahkan bagi kuasa tuhan dan tiada dikatakan bahawa hidup syarat pada jatuhnya (karamah) seperti telah lalu kerana kami berkata bahawa ini tiada boleh ia melainkan apabila adalah ia dengan usaha hamba dan ikhtiarnya dan ini karamah daripada kejadian Allah Ta’ala tiada diberhenti memperadakannya atas hidup mereka yang dimulia akan dia dengannya.

Fasal yang keempat, ketahuilah olehmu telah jatuhlah beberapa karamah bagi wali-wali  kemudian daripada wafat mereka itu dan telah sabitlah ia pada tiap-tiap negeri dan masa atas sekira-kira sampailah ia akan had tawatir yang tiada sayugialah mengingkarkannya setengah daripadanya barang yang jatuh ia pada hayatnya (Rasulullah) S.A.W bagi ‘Asim bin Sabit bin Ibnu al-Aflah seorang daripada sahabatnya yang masyhur ketika dibunuh akannya dan menghendakilah Huzail mengambil akan kepalanya supaya menjual oleh mereka itu akannya kepada Salafah binti Sa’ad bin Syuhbah di Makkah dan adalah ia ketika memperkena ia yakni membunuh ia akan bapanya pada perang ahad bernazar ia demi jika kuasa ia atas kepala ‘Ashim sesungguhnya lagi akan meminum ia didalam tempurung kepalanya akan araq maka menegah akannya oleh jantan-jantan lebah maka berkata mereka itu biarkan oleh kamu akannya hingga berpetang-petang ia maka pergi ia daripadanya dan mengambillah kami akannya maka membangkit oleh Allah Ta’ala akan wadi maka membawa ia akan ‘Ashim dan pergi ia dengannya dan adalah ‘Ashim telah memberi ia akan Allah Ta’ala akan perjanjian bahawa tiada menyentuh ia akan seorang musyrik pun dan tiada menyentuh akannya oleh musyrik selama-lama pada masa hayatnya dan adalah Sayyidina ‘Umar r.a berkata ia memelihara oleh Allah Ta’ala akan hamba yang mu’min adalah ‘Ashim bernazar ia bahawa jangan menyentuh ia akan musyrik dan jangan menyentuh akannya oleh seorang musyrik selama-lama pada masa hayatnya maka menegah akannya oleh Allah Ta’ala kemudian daripada wafatnya seumpama tertegah ia pada masa hayatnya dan ketika dikhabar akan nabi S.A.W dengan yang demikian bersabdalah ia (telah pergi ia  dengannya kepada syurga).

Fasal yang kelima, telah menaqal oleh yang mempunya kitab badai’ al-zahri fi waqai’ ad-Dahri daripada al-‘alamah ibnu al-Jauzi rahimahullah Ta’ala bahawa Sayyidina al-Khidir ‘alaihi as-salam adalah ia menghadiri akan majlis fiqh bagi al-Imam Abi Hanifah r.a pada tiap-tiap hari kemudian daripada sembahyang subuh hal keadaan mempelajari ia daripadanya akan ‘ilmu syari’at maka tatkala diwafat akannya (al-Imam Abi Hanifah r.a) memohon ia (Sayyidina al-Khidir ‘alaihi as-salam) akan Tuhannya ‘azza wa jalla bahawa mengkembali ia akan ruhnya di dalam quburnya hingga sempurnalah baginya ‘ilmu syariat maka adalah ia mendatang  pada tiap-tiap hari seperti kebiasaannya hal keadaan mendengar ia daripadanya akan beberapa masalah syari’ah daripada dalam qubur dan berkekalan ia atas demikian itu selama lima belas tahun hingga menyempurna ia atasnya akan ‘ilmu syariat kemudian daripada wafatnya.

 

Pensabitan Karamah dan Hukum Mengingkarinya

 

            Adalah tidak dapat disangkal lagi pensabitan karamah di dalam Islam melalui sumber utamanya iaitu al-Quran dan al-Hadis sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.  Kesahihan yang tiada tolok bandingnya daripada kedua-dua sumber hukum ini yang mana tidak boleh ditolak walaupun sebahagian. Adalah wajib beriman kepada segala perkara yang dinyatakan di dalam al-Qur’an dan al- Hadith.

Sesungguhnya karamah para wali telah sabit di dalam kitab Allah S.W.T. dan sunnah rasulNya S.A.W., juga dalam atsar para sahabat ridhuanahullah ‘alaihim dan generasi selepas mereka sehingga sekarang. Perkara tersebut telah diakui oleh jumhur ulama’ Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang terdiri dari kalangan fuqaha’, muhadditsin, ulama’ usul serta masyaikh sufi. Kitab-kitab karangan mereka telah menjelaskan perkara tersebut sebagaimana telah diakui kebenarannya melalui penyaksian mata di dalam pelbagai zaman Islam yang dilalui. Dari segi makna, ia tsabit secara mutawatir meskipun secara terperinci ia dikira ahad. Hanya ahli bid’ah dan menyeleweng sahaja yang mengingkarinya disebabkan iman mereka yang lemah terhadap Allah Ta’ala, sifat serta perbuatanNya.[13]

Di dalam perbahasan tafsir ayat mengenai kisah Sayyidina Musa dan Sayyidina al-Khidhir  keatas nabi kita ‘alaihumassalam – Kami mendapati al-Qurthubi juga mengakui pensabitan karamah bagi wali-wali. Maka diantara perkataan Syaikh al-Qurtubi rahimahullah yang berkaitan dengan perkara yang demikian itu ialah “Karamah wali-wali itu telah sabit di atas khabar yang sabit, dan ayat-ayat (nas al-Quran dan al-Hadis) yang mutawatir, dan tidak mengingkarinya melainkan mubtadi’ yang kafir, atau fasiq yang bersangatan .[14]

Beriman dengan berlakunya karamah auliya Allah itu merupakan antara perkara yang disepakati (ijma’) oleh seluruh umat Islam. Para ulama’ mengirakannya sebagai satu dasar daripada dasar-dasar aqidah. Mengingkarinya boleh menyebabkan seseorang muslim terkeluar daripada agamanya. Tambahan pula karamah bagi auliya’ itu diakui oleh dalil-dalil aqal yang nyata dan dalil-dalil naqal yang sahih. Manakala kematian pula hanya mengenai jasad dan bukannya ruh. Oleh itu tidak harus mengingkari karamah auliya’ Allah as-Solihin sama ada ketika mereka hidup ataupun selepas mereka meninggal.[15]

Ketahui olehmu tiada sayugialah bagi tiap-tiap mereka yang ber’aqal bahawa mengingkar ia akan barang yang jatuh ia bagi auliya’ Allah Ta’ala  daripada karamah -karamah dan memperlihat atas setengah daripada yang ghaib-ghaib dan men(g)khabar dengannya kerana bahawa nafas wali terkadang-kadang bernafas ia dengannya pada ‘alam malakut dengan sekira kuat persediaan dan hilang yang menegahkan dan dalil harus atas karamah dan ketiadaan jauhnya atas auliya’ Allah bahawa Allah S.W.T telah menjadi ia akan ‘alam sekeliannya khadam bagi anak-anak adam sekeliannya mukmin mereka itu dan yang kafir mereka itu yang taat daripada mereka itu dan yang ‘ashi daripada mereka itu dan memboleh ia akan mereka itu daripada memerintah dan mentaat ia bagi mereka itu akan binatang-binatangNya dan tumbuhanNya dan air-airNya dan pohon-pohon kayuNya dan awanNya dan hujan-hujanNya  hal keadaan mereka itu bagi yang lainnya ber’ibadah mereka itu dan dengannya kafir mereka itu maka betapakah tiada mengkurnia ia akan yang demikian bagi wali-wali yang soleh dan ahlu hadratNya yang muqorrobin dan ialah Tuhan yang memperbuat bagi tiap-tiap suatu dan Ia atas tiap-tiap suatu amat berkuasa dan tiada jatuhlah me(ng)in(g)kar akan karamah melainkan daripada mereka-mereka yang mubtadi’ dan yang mulhid pada ugama dan tiadalah pelik kerana mereka itu di haram akan mereka itu memperlihat akan suatu daripadanya daripada diri mereka itu dan guru-guru mereka itu dan telah berpegang mereka itu bagi mengingkar akannya dengan beberapa sebab yang tiada betul dan hujah-hujah yang tiada boleh dipakai setengah daripadanya.[16]

Kesimpulan

Maka telah sabitlah karamah para wali di dalam al-Quran dan al-Hadis yang tidak boleh ditolak oleh mana-mana individu muslim kerana ianya boleh menjadikan seseorang kufur dengan hal yang demikian itu. Perantaraan menggunakan hukum ‘aqal dan memahami hukum ‘adat dapat memberi keyakinan kepada kita untuk memahami dan meyakini akan kewujudan karamah para wali Allah Ta’ala.

Bibliografi

Syeikh Ali Jumaah (2006), Al-Bayan Al-Qawim li Tashih Ba’dhi Al- Mafahim, c. 1. Kaherah: Dar as-Sundus.

Abdul Aziz bin Ismail al-Fathoni (1994), Risalah al-Misbah al-Munir fi Ma’rifatillah al-Qadir, Fathoni: Matba’ah bin Halabi.

‘Abdul Rahman bin Muhammad (t.t.), Khulasoh Tauhid, T.T. T.T.P.

Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa’id bin Jamaluddin al-Linngi al-Melayuwi (t.t.), Ittikhaf Zawi al-Raghibat  bi Bayani Karamati al-Auliya’ fi al-Hayati wa ba’da al-Mamat, T.T.P., T.T.

Syaikh  Abdul Qadir Isa (2011),  Haqai’q Tasawuf, c. 11. Syiria: Dar al-‘Irfan.

H.M.H al-Hamid al-Husaini (1998), Liku-Liku Bid’ah, c. 1. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.,

Prof. Dr. Judah Muhammad Abu al-Yazid al-Mahdi (2007), al-Ittijah as-Sufi ‘inda Aimmati Tafsir al-Quran al-Karim, c . 1 Kaherah: ad-Dar al-Judiah.

 


[1] Syeikh Ali Jumaah, Al-Bayan Al-Qawim li Tashih Ba’dhi Al- Mafahim (2006) , c. 1. Kaherah: Dar as-Sundus,

h. 92.

[2] Abdul Aziz bin Ismail al-Fathoni (1994), Risalah al-Misbah al-Munir fi Ma’rifatillah al-Qadir, Fathoni:

Matba’ah bin Halabi, h. 11.

[3] ‘Abdul Rahman bin Muhammad (t.t.), Khulasoh Tauhid, T.T. T.T.P, h. 11.

[4] Abdul Aziz bin Ismail al-Fathoni (t.t.), op. cit., h. 10 – 11.

[5] Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa’id bin Jamaluddin al-Linngi al-Melayuwi (t.t.), Ittikhaf Zawi al-  Raghibat  bi Bayani Karamati al-Auliya’ fi al-Hayati wa ba’da al-Mamat, T.T.P. T.T. h. 5 – 6.

 

[6] Syaikh Abdul Qadir Isa (2001), Haqai’q Tasawuf, c. 11. Syiria: Dar al-‘Irfan, h. 362 – 363.

[7] Syeikh Abdul Qadir Isa (2001), op. cit., h. 363 – 365.

[8] H.M.H al-Hamid al-Husaini (1998), Liku-Liku Bid’ah, c. 1. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd., h. 131–  133.

[9]  Riwayat Bukhari

[10] Syeikh Ali Jumaah, op.cit., h. 94  –  95.

[11] Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa’id bin Jamaluddin al-Linngi al-Melayuwi (t.t.), op.cit, h. 25 – 38.

[12] Surah al-Hadid: 10

[13] Syaikh Abdul Qadir Isa, Haqai’q Tasawuf, op.cit., h. 361 – 362.

[14] Prof. Dr. Judah Muhammad Abu al-Yazid al-Mahdi (2007), al-Ittijah as-Sufi ‘inda Aimmati Tafsir al- Quran al-Karim, c . 1 Kaherah: ad-Dar al-Judiah, h. 133.

 

[15] Syeikh Ali Jumaah (t.t.), op.cit., h. 95.

[16] Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa’id bin Jamaluddin al-Linngi al-Melayuwi (t.t.), op.cit., h. 18 – 19.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: