اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh: Ahmad Fathi al-Fathoni

 

Pengenalan

Salah satu bidang ‘imu yang sangat dominan dipelajari di pondok-pondok di Fathoni ialah Usuluddin. Bersama-sama dengan Fiqh, Tasawwuf dan Bahasa ‘Arab, ‘ilmu ini bukan sahaja menjadi antara mata pelajaran wajib di pondok-pondok di Fathoni, malah termasuk yang sangat penting dan utama. Kerananya, maka tidak hairan, jika ramai ‘ulama Fathoni dan para santrinya sangat getul mempelajari ‘imu ini dan malah menjadi juara atau jaguh dalam bidangnya. Antara tokoh ‘ulama Fathoni yang dikenal sangat ahli dalam bidang ini ialah Syeik Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni, Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Mustapha al-Fathoni, Pak da ‘Eil Fathoni atau Syeikh Wan Isma’il bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathoni, Haji Ahmad bin ‘Abdul Wahab al-Fusani dan lain-lain. Termasuk dalam senarai yang sama juga ialah seorang ‘ulama mutakhir Fathoni bernama Haji ‘Abdul Qadir bin Wangah yang banyak menulis kitab-kitab Usuluddin jawi pada penghujung abad ke 20 ini. Kita ikuti tarajim ‘Ulama yang aqrab disapa dengan panggilan Haji Dir Sekam atau – dikalangan yang lebih muda – ayah Dir Sekam ini.

 

 

Biodata Sheikh Abd al-Qadir Hj Wangah

Nama lengkap Haji Dir sepeti yang tertulis pada kitab-kitab karangannya  ialah Haji Abd al-Qadir bin Haji Wangah bin Abd al-Latif bin Othman. Beliau dilahirkan di kampung Sekam, Palas, Patani pada tahun 1937.

 

Pendidikan awal beliau bermula di pondok Balur tidak jauh dari kampung kelahirannya. Beliau belajar dengan seorang ulama bernama Haji Ahmad bin Muhammad Darawi yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Balur. Rakan-rakannya yang sama-sama belajar bersama beliau di sana ialah Haji Wan Nuh bin Wan Nawang Kelaba, Haji Mat Kubang Saman dan Haji Awang Qari Pengkalan Jong.

 

Selepas 4 tahun beliau belajar di sana, beliau telah berpindah dan belajar kepada Haji Ahmad Kubang Pasir, Binjai Lima. Namun selepas 2 tahun, gurunya itu telah meninggal dunia. Selepas kematian gurunya itu, beliau telah menyambung pengajiannya di pondok Perigi. Di sana beliau telah berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abd al-Wahhab al-Fusani iaitu seorang tokoh ulama terkenal dalam bidang usuluddin, qiraat dan ilmu falak di Patani ketika itu.

 

Pada tahun 1949, beliau telah menyambung pengajiannya di Kelantan dengan berguru dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payong yang merupakan seorang tokoh ulama terkenal dalam bidang Fiqh Syafie disana.

 

Ketika berada di Kelantan, Ayah Dir tidak hanya belajar di Bunut Payong sahaja, tetapi beliau juga belajar dengan ulama-ulama lain seperti Haji Muhammad Nur Ibrahim Penambang (merupakan Mufti Negeri Kelantan) dan Haji Ali Solahuddin Pulau Pisang di Masjid Muhammadi di bandar Kota Bharu.

 

 

Menuntut di Mekah

Ketika beliau menuntut di Kelantan beliau telah bertemu jodoh dengan seorang gadis Kampung Putih, Kota Bharu serta mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Ahmad Azam.

 

Tidak berapa lama selepas mendapat seorang anak, Ayah Dir telah bercerai dengan isterinya lalu beliau kembali ke Fatani dan berkahwin kali ke-2 dengan Zainab binti Haji Abdullah Mayor. Pada tahun 1951 iaitu pada musim haji, beliau telah berangkat bersama isterinya ke Mekah untuk menyambung pelajarannya di sana.

 

Ayah Dir telah belajar selama 5 tahun di Mekah. Disana beliau telah berguru dengan ramai ulama di sana. Di antara mereka itu adalah Sheikh Wan Ismail bin Wan Abd al-Qadir al-Fatani (lebih dikenali dengan Pak Da Eil) yang telah membimbing beliau mahir di dalam bidang usuluddin dan ilmu alat (ilmu memahami bahasa arab seperti nahu soraf, balaghah dan mantiq). Di sana beliau lebih banyak berguru secara khusus atau dalam kumpulan kecil berbanding dalam halaqah yang besar.

 

Semasa di Makkah, beliau adalah seangkatan dengan tokoh-tokoh seperti Baba Wan Noh Kelaba, Haji Mat Kubang Saman, Haji Hussain Thusa, Pan Ndak ‘Eil Bendang Padang, Haji Hussain Kerasak, Haji Pak Chu Leh Bendang Jelapang, Haji Ramli Tandung, Haji Zakaria Becah, Haji Ismail Charik, Haji Ahmad Bendang Raya (Guru Pondok Pohon Sengkuang) dan lain-lain.

 

Selepas menuntut di Mekah, beliau telah pulang ke tanah air bersama-sama isterinya dan dua orang cahaya mata bernama Hafsah dan Ismail.

 

Sumbangan Ayah Dir Sekam

Sumbangan Ayah Dir Sekam sangat banyak. Ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu sumbangan beliau dalam bentuk dakwah dan sumbangan beliau dalam bentuk karya-karya penulisan.

 

Sumbangan dalam bentuk dakwah

Sekembali Ayah Dir Sekam ke Fatani, beliau telah membuka pusat pengajian pondok yang diberi nama al-Ma`had al-Islami bertempat di kampung Waqaf Budi atau nama lainnya Selabudi, daerah Sekam, pekan Palas di Fatani.

 

Kerana keahliannya dalam bidang usuluddin, tidak hairanlah beliau lebih menumpukan dakwahnya dalam bidang tersebut. Menurut murid yang juga menantunya Tuan Guru Ghazali Ahmad, beliau mengajar kedua-dua kitab iaitu kitab jawi dan kitab arab.

 

Kitab usuluddin jawi, beliau selalu menggunakan:

  1. Kitab Faridah al-Faraid Fi Ilmi al-`Aqaid karangan Sheikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani.
  2. Kitab Bakurah al-Amani li Irsyad `Awam Ahl al-Fatani karangan Ismail bin Abd al-Qadir al-Fatani.
  3. Kitab Siraj al-Huda pada menyatakan Akidah Ahl al-Taqwa karangan Sheikh Muhammad Zain al-Din bin Muhammad Badwi al-Sambawi.
  4. Kitab Akidah al-Najin fi Ilmi Usul al-Din karangan Sheikh Zain al-`Abidin bin Muhammad al-Fatani dan lain-lain.

 

Kitab usuluddian arab pula, beliau menggunakan:

  1. Kitab Baijuri Syarah Matan al-Sanusi
  2. Kitab Dusuki
  3. Kitab Kifayatul `Awam
  4. Matan Jauharah al-Tauhid
  5. Syarqawi `ala al-Hudhudi
  6. Fath al-Majid dan lain-lain

 

Selain daripada usuluddin beliau mengajar kitab Fiqh daripada kitab kecil seperti Fath al-Qarib syarah Matan Ghayah Wa al-Taqrib hinggalah kepada kitab yang besar seperti Fath al-Wahhab, al-Iqna dan Mahalli. Di samping itu beliau juga mengajar tafsir menggunakan kitab tafsir Al-Jalalain kemudian kitab Hasyiah Sowi `Ala Tafsir al-Jalalain sehingga yang paling tinggi adalah kitab al-Futuhat al-Ilahiah bi Taudhih Tafsir al-Jalalain li al-Daqaiq al-Khafiyyah (juga dikenali dengan Hasyiah Jamal).

 

Antara murid-murid yang telah dilahirkan di bawah didikannya adalah:

  1. Tuan Guru `Abdul Rahman Pauh Manis, Rakak. (Pengarang Kitab Khulasoh at-Tauhid)
  2. Tuan Guru Haji Husin Bendang Pedur
  3. Tuan Guru Haji Ismail Sepanjang
  4. Tuan Guru Abdul Wahhab Chenak
  5. Tuan Guru Haji Ahmad Amanu
  6. Baba Ismail Kok Tat, Chenak
  7. Tuan Guru Haji Nujum, Chenak.
  8. Tuan Guru Abdullah kok Sumut, Narathiwat.
  9. Tuan Guru Abdurrahman Mat Rusa
  10. Tuan Guru Abdul Aziz Ismail (lebih dikenali dengan Baba Aziz) . Beliau merupakan menantu Ayah Dir.- Pengarang Kitab Misbah al-Munir
  11. Tuan Guru Haji Husin Ijok ( menantu Ayah Dir)
  12. Tuan Guru Haji Abdullah Merjum, Ijok.
  13. Baba Ismail Kampung Petai, Jaha.
  14. Baba Ghazali Ahmad. ( menantu Ayah Dir dan penggantinya sebagai mudir di pondoknya sekarang)
  15. Ustaz Hamzah, Pondok Tahfiz.
  16. Tuan Guru Haji Ismail Chemuan, Belukar Samak.
  17. Tuan Guru Haji Mat Pinis.
  18. Tuan Guru Haji Yusuf Kok Tal (mengasaskan pondok di kampung Tok Diang)
  19. Baba Muhammad Beruas (Digelar sebagai Anak Harimau Ayah Der Sekam)

 

Selain mengajar di pondoknya, Ayah Dir juga mengajar masyarakat awam di masjid-masjid, surau-surau dan balai raya sekitar tempat tinggalnya. Antaranya adalah masjid Jami` Bandar Fatani pada setiap hari jumaat. Beliau menggunakan kitab-kitab pondok seperti Faridah al-Faraid Fi Ilm al-`Aqaid, Bakurat al-Amani dan Siraj al-Huda di dalam bidang akidah. Manakala di dalam bidang fiqh pula beliau menggunakan kitab Kifayah al-Muhtadi, Maniyyat al-Musolli dan Matla` al-Badrin.

 

Sumbangan dalam bentuk karya penulisan

Ayah Dir adalah seorang pakar didalam bidang akidah Ahli Sunnah wa al-Jama`ah. Kepakaran beliau itu bukan hanya digunakan untuk mengajar kitab-kitab akidah yang telah ada pada zamannnya tetapi beliau juga telah mengarang kitab-kitab yang banyak dalam bidang terbabit. Kitab-kitabnya itu telah banyak diterbitkan di Fatani dan banyak digunakan di pondok-pondok di Fatani dan Malaysia sehingga kini.

 

Antara kitabnya yang tersebut itu adalah:

1. Mabda al-Fikrah Fi al-Maqulat al-`Asyarah. Risalah ini telah dikarang oleh beliau ketika menuntut di mekah pada 13 rabi`ul akhir 1374 hijrah bersamaan dengan 7 disember 1954 masihi. Risalah ini membahaskan mengenai ilmu mantiq yang berkaitan dengan akidah yang. Risalah ini telah dicetak dan dimasukkan di bahagian belakang kitab Mabhas al-Kalam Fi Ilm al-Kalam.

2. Mabhas al-Kalam Fi Ilm al-Kalam. Kitab ini telah siap dikarang oleh beliau pada 10 jamadil akhir 1374 hijrah bersamaan 1 februari 1955 masihi ketika beliau menuntut di Mekah. Kitab ini membincangkan mengenai ilmu akidah khusus berkaitan penerangan sifat-sifat ma`ani seperti sifat kalam, qudrat dan lain-lain.

3. Asas al-I`tiqad Li Dhu`afa al-Bilad.  Kitab ini telah selesai dikarang oleh beliau pada 14 syawal 1376 hijrah bersamaan 12 mei 1957 masihi semasa di Fatani selepas beliau pulang dari Mekah. Ini adalah sebuah kitab kecil setebal 24 halaman yang membincangkan mengenai asas-asas i`tikad yang wajib diketahui oleh setiap orang muslim yang mukallaf. Ia merangkumi 41 sifat yang berkaitan dengan ketuhanan (uluhiyyat) dan 9 sifat yang berkaitan dengan kerasulan (nubuwwat).

4. Cermin Suluhan Pada Menyatakan Hukum Sembelihan. Beliau telah selesai mengarang kitab ini pada 8 syawal 1377 hijrah bersamaan dengan 26 april 1958 masihi di kampung Wakaf Budi, Sekam. Kitab setebal 20 halaman ini membincangkan tentang hukum haram makan binatang sembelihan yang telah sampai kepada harakat mazbuh dengan yakin atau zhan atau syak serta terpancar-pancar darah atau mengelupur selepas itu.

5. Taqrib al-Ikhwan Fi Ta`lim `Aqaid al-Iman. Telah siap dikarang oleh beliau pada 3 zulhijjah 1378 hijrah bersamaan 8 jun 1959 masihi. Kitab setebal 32 halaman ini membincangkan akidah islam merangkumi segala sifat-sifat ketuhanan serta segala sifat-sifat rasul yang wajib diketahui oleh setiap mukallaf. Ia juga menghuraikan sifat allah dengan lebih mendalam dengan penerangan istilah nafsiah, salbiah, ma`ani dan ma`nawiyyah. Kitab ini adalah antara kitab yang paling laris di pasaran sehingga diulang cetak sebanyak 18 kali.

6. Tashil al-Dhu`afa Waradda Ba`du Aqwal al-Sufaha. Kitab ini telah siap dikarang pada akhir rejab tahun 1385 hijrah bersamaan November 1965 masihi. Kitab setebal 35 halaman ini membincangkan tentang i`tikad yang perlu dipelajari oleh kanak-kanak yang baru hendak belajar ilmu agama orang-orang tua yang baru kembali hendak belajar. Ia juga membincangkan berkaitan rukun-rukun Islam  dan rukun iman. Antara lain yang dibincangkan di dalam kitab ini juga adalah berkaitan istilah dan penerangan hukum aqal, hukum adat dan hukum syarak. Pada bahagian akhir kitab ini beliau telah menasihatkan kepada masyarakat supaya jangan mengambil sikap tidak peduli kepada hal-hal berkaitan agama dan perkara akhirat.

7. Ta`lim al-Aulad Fi Zikr Ba`du Aqwal al-`Ibad. Kitab ini telah selasai dikarang oleh beliau pada 3 muharram 1387 hijrah bersamaan 11 april 1967 masihi. Kitab setebal 26 halaman ini membincangkan tentang hal-hal berkaitan hati yang perlu dijauhi serta beberapa pengajaran untuk menggerakkan seseorang hamba kepada membanyakkan amal kepada Allah. Di dalam kitab ini juga beliau menyeru supaya membanyakkan amal ibadat untuk persediaan akhirat yang akan ditempuh oleh setiap orang nanti. Beliau telah menyatakan pada awal kitab ini bahawa karangan beliau ini banyak bersuberkan daripada kitab Daqaiq al-Akhbar.

8. Tabyin Kazb al-Muftari Fima Yata`allaqu Bi al-Bari. Kitab ini telah siap dikarang oleh beliau pada akhir muharram 1388 hijrah bersamaan dengan 26 april 1968 masihi. Kitab setebal 40 halaman ini dikarang oleh beliau untuk menjawab dan menolak semula kitab yang telah dikarang oleh seorang guru yang telah membuka sekolah berdekatan kampungnya.

Orang yang dimaksudkannya itu adalah haji Wan `Ali al-Jambuwi yang telah mengarang kitab “ Matahari Pencerahan Pada Menghapuskan Keji Tuduhan”. Kitab ini telah dikarang untuk menolak 3 kitab iaitu Asas al-I`tiqad Li Dhu`afa al-Bilad, Taqrib al-Ikhwan Fi Ta`lim `Aqaid al-Iman dan Tashil al-Dhu`afa Waradda Ba`du Aqwal al-Sufaha yang telah dikarang oleh Ayah dir sebelum ini.

Didalam kitabnya ini, Ayah Dir telah menulis dan menjelaskan serta menolak berkaitan kekarutan dan fitnah tentang ‘mustahil qadim dan baru’ serta fitnah orang yang jahil tentang hukum akal serta fitnah orang yang tidak memahami tentang sifat kalam Allah.

9. Tazkirah Lizawi al-afkar Fima Yamur al-insan Min al-A`mar. Telah selesai dikarang pada 14 rabi`ul akhir 1389 hijrah bersamaan 28 jun 1969 masihi. Kitab setebal 33 halaman ini membincangkan berkaitan turutan proses yang akan dilalui oleh setiap insane bermula dari alam arwah, dihantar ke duni sehinggalah sampai ke akhirat samaada kekal di syurga atau kekal di neraka. Pada bahagian akhir kitab ini beliau meletakkan nasihat kepada anak-anak muda supaya berbekal untuk akhirat serta menjauhkan diri daripada hanya menjadi orang yang hanya berbekal untuk dunia sahaja.

10. Wasail Ilm al-kalam Ra’fah Wa Rahmat Li al-`Awam. Kitab ini telah siap dikarang oleh beliau pada 22 syawal 1392 hijrah bersamaan dengan 27 november 1972 masihi. Kitab setebal 23 halaman ini membincangkan dengan lebih lanjut tentang hukum akal serta sedikit istilah-istilah ulama usuluddin.

11. Risalah Manhaj ahl al-Sunnah. Risalah ini telah selesai ditulis pada 11 jamadil awal 1405 hijrah bersamaan dengan 1 februari 1985 masihi. Risalah setebal 47 halaman ini membincangkan mengenai pentafsiran ayat-ayat mutasyabihah yang terdapat didalam al-Quran. Ini adalah sebagai reaksi beliau terhadap pengajaran usuluddin para ustaz-ustaz muda lepasan timur tengah ketika itu amnya dan arab Saudi khususny. Ini dapat diketahui melalui mukaddimahnya: Amma ba`du, maka berkata hamba, adalah pada tahun hijrah 1404 bertalu-talu datang soalan daripada saudaraku yang kasih kepada ugama bersabit dengan firmannya ta`ala “ arrahman `ala `arsyistawa” …apakah murad dan tujuan daripada ayat itu?.

12. Irsyad al-Jawiyyin Ila Sabil al-`Ulama al-`Aamilin. Kitab ini telah selesai ditulis pada 18 zulkaedah 1409 hijrah bersamaan dengan 21 jun 1989 masihi. Kitab setebal 32 halaman ini membincangkan berkaitan nasihat-nasihat kepada anak muda, kelebihan ilmu usuluddin, pesanan supaya jangan terkeliru dengan pengikut-pengikut Muhammad bin Abdul wahhab, mauled, masalah tawassul dan tabarruk, tentang pemahaman ulama berkaitan ayat mutasyabihah, permasalahan ta`wil serta penerangan berkaitan musyabbihah dan mujassimah.


Meninggal Dunia

Haji Der tutup usia pada hari Khamis, 18 Rabi’ul Awwal 1412 bersamaan  26 September 1991 selepas menderita serangan angin ahmar selama 12 tahun. Namun, meskipun dalam sakit dan dengan suara yang rosak dan pecah-pecah, beliau tetap mengajar sehingga ke malam Jumaat terakhir sebelum beliau wafat pada pagi hari Khamis berikutnya. Semoga Allah merahmati dan meredhoi beliau.. Al-Fatihah..

 

Kesimpulan

Ayah Dir Sekam telah meninggalkan jasa yang besar dalam perkembangan pengajaran akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah di tanah melayu. Usaha beliau dalam menyemarakkan institusi pengajian pondok juga telah diwarisi oleh murid-muridnya. Melalui sumbangan beliau dalam bidang dakwah dan karya-karya penulisan, ramai ulama yang telah dihasilkan. Antara yang paling msyhur sekarang adalah Tuan Guru Haji Ismail Sepanjang yang lebih dikenali dengan Baba Eil Sepanjang yang sangat aktif berdakwah kepada masyarakat di Fatani sehingga sekarang.  Karya-karya ayah dir sehingga kini masih digunakan di pondok-pondok di Fatani dan Malaysia khususnya di Kelantan dan Kedah. Ayah Dir juga merupakan seorang yang sangat lantang menentang fahaman yang lebih dikenali dengan “al-Wahhabiyyah” semasa zamannya.  Sesungguhnya sumbangan Ayah Dir sehingga kini masih diingati dan digunakan sehingga kini.

 

RUJUKAN:

Ahmad Fathi al-Fatani. Majalah Pengasuh. bil 619. Kelantan: Pustaka Aman Press dan sedikit tambahan daripada penulis.

Advertisements

Comments on: "SHEIKH ABD AL-QADIR HJ WANGAH ( AYAH DIR SEKAM) TOKOH ULAMA’ USULUDDIN DARI FATHONI" (1)

  1. […] umur beliau mencapai 21 tahun, beliau berpindah ke Pondok Haji Abdul Qader Sekam (Baba Der) yang terkenal dengan ilmu tauhid untuk belajar di sana sehinggalah umur beliau 30 […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: