اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم


Oleh : Allamah Dr Hassan Ali Al Saqqaf

Ketahuilah (semoga anda semua dirahmati Allah) bahawasanya diharamkan ke atas semua individu Muslim untuk mengeksploitasi fatwa ulamak yang senang dan paling mudah. Mereka sengaja mencari keputusan yang paling senang dan paling secocok dengan hawa nafsu mereka. Perkara ini tentunya dibuat tidak berdasarkan dalil-dalil dan hujah-hujah syarak.

Mereka mentarjih dan menentukan satu-satu masalah berdasarkan hawa nafsu mereka dengan berselindung di sebalik slogan : “Dalam masalah ini terdapat khilafiyah. Yakni terdapat dua atau lebih pendapat ulamak yang berselisih faham tentangnya.”

Mereka yang mengikut cara sebegini zahirnya selalu berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Mereka juga selalu berpindah dari satu pendapat kepada pendapat yang lain demi mengikut hawa nafsu mereka. Di hadapan manusia mereka berselindung dengan dakwaan mereka mengikut hukum Allah subahanahu wa ta’ala, mengikut sunnah dan pendapat ulamak. Namun hakikatnya, di sisi Allah mereka hanya menunggang hawa nafsu semata-mata.

Firman Allah subahanahu wa ta’ala di dalam al Quran :

أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَڪِيلاً (٤٣) أَمۡ تَحۡسَبُ أَنَّ أَڪۡثَرَهُمۡ يَسۡمَعُونَ أَوۡ يَعۡقِلُونَ‌ۚ إِنۡ هُمۡ إِلَّا كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ سَبِيلاً (٤٤)

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (43) Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.

(Surah al Furqan : 43-44)

FirmanNya lagi :

أَفَكُلَّمَا جَآءَكُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَہۡوَىٰٓ أَنفُسُكُمُ ٱسۡتَكۡبَرۡتُمۡ فَفَرِيقً۬ا كَذَّبۡتُمۡ وَفَرِيقً۬ا تَقۡتُلُونَ (٨٧)

Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?

(Surah al Baqarah : 87)

FirmanNya lagi :

وَأَرۡسَلۡنَآ إِلَيۡہِمۡ رُسُلاً۬‌ۖ ڪُلَّمَا جَآءَهُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَهۡوَىٰٓ أَنفُسُہُمۡ فَرِيقً۬ا ڪَذَّبُواْ وَفَرِيقً۬ا يَقۡتُلُونَ (٧٠)

(Tetapi) tiap-tiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.

(Surah al Maidah : 70)

FirmanNya lagi :

فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْ‌ۚ وَإِن تَلۡوُ ۥۤاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرً۬ا (١٣٥)

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

(Surah an Nisa’ :135)

FirmanNya lagi :

يَـٰدَاوُ ۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِيفَةً۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.

(Surah Sad : 26)

FirmanNya lagi :

وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَـٰهُ بِہَا وَلَـٰكِنَّهُ ۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ‌ۚ

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya;

(Surah Al A’raf : 176)

FirmanNya lagi :

وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا (٢٨)

dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

(Surah al Kahfi :28)

FirmanNya lagi :


فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهۡوَآءَهُمۡ‌ۚ وَمَنۡ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ بِغَيۡرِ هُدً۬ى مِّنَ ٱللَّهِ‌ۚ

Ertinya : maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk dari Allah.

(Surah al Qasas : 50)

FirmanNya lagi :

ثُمَّ جَعَلۡنَـٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡرِ فَٱتَّبِعۡهَا وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ (١٨)

Ertinya :

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

(Surah al Jatsiah :18)

FirmanNya lagi :

وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهۡوَآءَ قَوۡمٍ۬ قَدۡ ضَلُّواْ مِن قَبۡلُ وَأَضَلُّواْ ڪَثِيرً۬ا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ (٧٧)

dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.

(Surah al Maidah : 77)

Daripada getusan ayat-ayat ini, kita dapat mengetahui bahawa ilmu usuluddin melarang seseorang itu daripada mengikut hawa nafsunya. Dan mencari pendapat yang paling mudah pula satu dari perbuatan mengikut hawa nafsu. Ia sesuatu yang terlarang lagi haram sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ulamak.

عن سيدنا أنس رضي الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : حفة الجنة بالمكاره, وحفة النار بالشهوات (رواه مسلم )

ertinya :

Daripada saidina Anas RadiyaLlahu ‘anhu, RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda : “Syurga itu dikelilingi oleh sesuatu yang tidak mengujakan nafsu (di dunia). Manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara yang menyeronokkkan nafsu (di dunia)”.

Riwayat Muslim dalam Sahihnya .

Jelas kepada kita bahawa mencari pendapat ulamak yang paling mudah dan mengikut pendapat manusia ramai yang jahil adalah satu perbuatan mengikut hawa nafsu.

Sesungguhnya telah berlaku ijmak di kalangan ulamak muktabar bahawa haram hukumnya bertindak sembrono dalam mengeluarkan fatwa dan menyimpang dari pendapat yang sahih lagi rajih. Maka wajib ke atas ulamak mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Dan wajib ke atas setiap ulamak mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. dan wajib pula atas setiap muqallid (pengikut) mengikuti dalil yang sahih lagi rajih (paling kuat) dalam lingkungan mazhab imamnya. Marilah kita ikuti beberapa pandangan ulamak mengenai hal ini :

1. Al Imam al Hafiz Ibn Abd al Barr di dalam kitabnya Jami’ Bayan al Ilmi wa Fadhluh m/s 112 juz 2 mengatakan :

“Jika anda mengambil setiap pendapat yang paling mudah dari orang alim maka terkumpullah segala kejahatan.” Katanya lagi : “Ini adalah ijmak ulamak (kesepakatan semua ulamak)”.

2. Imam An Nawawi di dalam kitabnya al Majmu’ Syarh al Muhadzhab m/s 55 juz 1 mengatakan :

“Sekiranya seseorang itu dibolehkan mengikuti apa yang dikehendakinya, nescaya perbuatan itu ini akan membawa kepada keinginan untuk mencari keringanan di dalam mazhab. Perbuatan ini sebenarnya hanya menurut hawa nafsu/ Seseorang itu akan mudah memilih antara yang halal, haram, wajib dan harus. Perbuatan ini boleh membawa kepada terungkainya tuntutan taklif.”

Kata-kata yang senada juga turut diluahkan oleh Imam al Hafiz Ibn al Solah di dalam kitabnya Adab al Mufti wa al Mustafi’ m/s 46 juz 1.

3. Imam an Nawawi sekali lagi di dalam al Majmu’ Syarh al Muhadzab m/s 46 juz 1 menegaskan :

“Haram hukumnya bertindak sembrono dalam memberikan fatwa. Dan haram pula bagi mereka yang meminta fatwa daripada orang yang bersikap sembrono itu.”

4. Allamah as Syatibi di dalam al Muafaqat m/s 134 juz 4 mengatakan :

“Sesungguhnya mengikut perkara yang paling mudah di dalam mazhab itu akan membawa kepada pegangan yang tidak berdasarkan kepada dalil syarak. Sesungguhnya Ibn Hazm telah menyatakan telah berlaku kesepakatan secara ijmak bahawa perbuatan sedemikian adalah fasiq (kejahatan) dan tidak halal “.

Bagi saya, perkataan Imam al Syatibi “pegangan yang tidak berdasarkan dalil syarak” bermaksud dalil yang tidak muktabar (tidak dikira benar). Contohnya, bagi mereka yang tidak solat, mereka pergunakan satu ayat yang berbunyi :

فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ (٤)

Ertinya : maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; (Surah al Ma’un : 4)

Ini adalah satu contoh pengambilan dalil yang salah.

5. Imam al Hafiz al Zahabi di dalam kitabnya Siyar A’lam al Nubala’ m/s 90 juz 8 mengatakan :

“Barangsiapa yang mencari kemudahan dalam mazhab dengan kekeliruan ulamak mujtahid.. maka tipislah agamanya. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Auza’ie dan lain-lain yang berbunyi : “Sesiapa yang mengambil pendapat ulamak Makkah tentang kebenaran nikah mut’ah (sinonim denga amalan pengikut Syi’ah), pendapat para ulamak Kufah tentang arak dan pendapat para ulamak Madinah tentang nyanyian serta pendapat ulamak Syam(Jordan, Palestin dan Syiria) tentang maksumnya khalifah yang empat, maka sesungguhnya dia telah mengumpul kejahatan. Dan demikian juga bari mereka yang menghalalkan jual beli riba, nikah, talak dan sebagainya. Kesemua ini membawa kepada kehancuran. Marilah kita memohon taufiq dan hidayah dari Allah subahanahu wa ta’ala”.

6. Imam al Hafiz Taqiyuddin al Subki di dalam fatwanya m/s 147 juz 1 mengatakan :

“Bagi mereka yang mengambil pendapat yang mudah di dalam mazhab: mereka akan menikmatinya dengan sedap kerana sebenarnya mereka mengikut hawa nafsu dan bukan mengikut agamanya.”

Bagi saya, pendapat ini merangkumi sikap sesetengah kita yang memilih pendapat ulamak yang paling lemah dan ringan dalam satu mazhab yang dikira sesuai dengan ciratasa mereka.

Sumber : Dr Hassan Ali al Saqqaf, Sifat Solat Nabi Yang Sahih, Cetakan Ketiga 2011, Zamihan Mat Zain, Selangor.

Bacaan Tambahan :

Soalan : Apakah hukum bertaqlid kepada seorang Imam dalam satu masalah dan kemudiannya bertaqlid kepada Imam lain dalam masalah yang lain pula?

Jawapan : Inilah yang dinamakan talfiq. Sebahagian ulama membenarkannya dan sebahagian yang lain melarangnya. Pada pandangan saya. sekiranya talfiq ini bertujuan mencari hukum yang termudah dan yang bertepatan serta disukai oleh hawa nafsu tanpa mengira dalil, maka hukumnya adalah tidak harus.

Para salaf telah berkata :

“Orang yang mencari rukhsah(Keringanan) daripada mazhab-mazhab adalah fasiq.”


Sebagai contoh : Seseorang yang mengambil pendapat mazhab tertentu apabila kepentingannya terdapat di dalam pendapat tersebut seperti seorang lelaki mengambil pendapat Abu Hanifah yang mengatakan jiran mempunyai syuf’ah bagi membolehkannya memiliki rumah jiran sebelahnya. Tetapi jika pendapat mazhab tersebut mendatangkan maslahat kepada jirannya, dia akan mengambil pendapat sebaliknya iaitu jika dalam masalah yang sebaliknya.

Dia berkata : ” Aku mengambil pendapat Imam Syafi’ie dan aku menolak pendapat lainnya.” Ini adalah kerana dia mengikut hawa nafsunya, mempermain-mainkan agama dan menjadikan mazhab-mazhab sebagai hamba kepada kepentingannya.

Seorang Mukmin sepatutnya sentiasa bersama-sama kebenaran sama ada kebenaran itu baginya atau ke atasnya (zahirnya menguntung atau merugikannya). ALlah telah mencela kaum Munafiq di dalam firmannya yang berertii :

“Dan (dia antara orang-orang yang tidak dikehendakinya ke jalan yang lurus ialah mereka yang berkata :”Kami beriman kepada ALLah dan kepada RasulNya serta kami taat, kemudian segolongan dari mereka berpaling (membelakangkan perintah ALLah dan Rasul) Sesudah pengakuan itu dan (Kerana berpalingnya Tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman. Dan (Bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada kitab ALlah dan sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta segolongan dari mereka berpaling engkar (menolak ajakan itu kiranya keputusan tidak menguntungkan mereka). Dan (sebaliknya) jika keputusan itu mmeberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya denan tunduk dan ta’at (menerima hukumannya)”

(Surah An Nur : 47-19)

Kaum ini mahukan kebenaran mengikut mereka, bukannya mereka mengikut kebenaran seperti yang dilakukan oleh Mukmin sebenar.

Adapun sekiranya seseorang itu mengikut pendapat yang paling betul (rajih) pada pandangannya (dari segi dalil dan hujah) dan paling kuat pada penilaian hatinya, bolehlah dia mengikut pandangan Abu Hanifah yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan tidak membatalkan wuduk, pandangan Syafi’e yang mengatakan bahawa keluar darah tidak membatalkan wuduk dan pandangan Maliki yang mengatakan bahawa Air tidak akan najis melainkan apabila berubah warna, bau atau rasa, setelah dia merasa tenang dengan dalil-dalilnya. – (Tambahan dari admin : Orang yang sebegini sebenarnya telah mencapai satu taraf sebagai mujtahid tarjih. Imam as Syatibi menyatakan :

Ia belum mencapai tingkat ijtihad tetapi mampu memahami dalil dan mampu melakukan tarjih. Untuk golongan ketiga ini, kita perlu melihat keadaannya. Bila berkemampuan tarjihnya dapat dianggap memenuhi syarat, bererti ia adalah mujtahid sebab hakikat mujtahid hanyalah mengikuti ilmu dan menganalisisnya. Jadi orang yang mampu melakukan tarjih dan dapat diterima hasil tarjihnya adalah seorang mujtahid.

Akan tetapi, bila tarjihnya masih belum dapat diterima, keadaannya adalah sama dengan orang awam. Hal ini kerana orang awam mengikut mujtahid untuk mendapatkan kebenaran ilmu yang tidak mampu ia lakukan sendiri. Demikianlah halnya orang yang tarjihnya masih belum diterima . ( Al I’tisham, susunan Imam Asy Syatibi, jilid III, hlmn 250))

Inilah fatwa saya. Semoga ALlah memudahkan kita untuk memahami agama-Nya. Sesiapa yang ALlah hendak berikan kebaikan akan diberi kefahaman dalam agama. Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Rujukan : Feqh Mu’asaroh – Fatwa Masakini Jilid 5&6 – Dr Yusuf al Qardhawi

 


Oleh : Allamah Dr Hassan Ali Al Saqqaf

Sesetengah dari kita pada hari ini mengemukakan hujjah bahawa diharuskan untuk kita mengikuti rukhsah dan mengambil pendapat yang paling mudah. Mereka berdalilkan kepada perkataan Sayyidatina ‘Aisyah RadiyaLlahu ‘anha yang berbunyi :

 

 

ما خير رسول الله صلى الله عليه وسلم بين أمرين إلا إختارأيسرهما
ertinya : RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam tidak pernah memilih satu daripada dua perkara melainkan yang terlebih mudah baginya.

 

 

Jawabnya :

 

Ini adalah satu contoh pendalilan yang salah. Sebagai buktinya, Imam Ibnu Hajar al Asqolani di dalam kitabnya Fath al Bari m/s 575 juz 6 (ketika mengomentari hadith ini) mengatakan :

“Perkara yang dimaksudkan dengan memilih dua perkara di sini ialah berkaitan dengan urusan dunia.

Hal ini berdalilkan kepada sabda Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam yang berbunyi

 

 

ما لم يكن إثما) لأن أمور الدين لا إثم فيها)

“…. selagi mana tidak ada salah.” Ini kerana urusan Agama tidak ada salah padanya.

Umum mengetahui bahawa pada masa Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam tidak muncul lagi mazhab atau aliran pendapat. RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam berpindah dari satu pendapat baginda kepada pendapat yang lain apabila diturunkan wahyu ke atas Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam. Seolah-olah dikatakan padanya :

“Sesungguhnya Allah subahanahu wa ta’ala memerintahkan padamu begini-begini dan melarangmu begini-begini. Dan Allah subahanahu wa ta’ala tidak menjelaskan padanya : “Di dalam masalah ini terdapat dua atau tiga pendapat”. Ataupun tidak difirmankan kepada Baginda : “Di dalam masalah ini wujudnya perselisihan pendapat di kalangan ulamak, maka pilihlah yang lebih mudah.”

 

Maka perhatikanlah dengan sebaik-baiknya wahai pembaca yang budiman.

 

Dalam satu peristiwa tatkala Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam menjadi tetamu kepada seorang lelaki, Baginda ditanya :

“Wahai RasuluLlah, apakah yang harus aku persembahkan padamu : sedikit cuka (makanan masam) ataupun sepotong daging? Lalu Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam menjawab : “Bawakan kepadaku apa yang senang bagimu”.

Hadith ini secara jelas menerangkan kepada kita bahawa mereka yang berhujah dengan menggunakan perkataan Sayyidatina ‘Aisyah radiyaLlahu ‘anha tidak mengetahui cara pengambilan dalil yang sebenarnya. Ataupun mungkin juga mereka ingin mendatangkan kesamaran pada orang awam sebagai satu keraguan. Seolah-olah apa yang didatangkan itu sesuai dengan hujah yang menepati citarasa nafsu mereka. Kepada Allah subahanahu wa Ta’ala sahaja kita meminta pertolongan.

Dalam bab ini juga sesetengah kita berdalilkan bahawa memilih antara pendapat yang paling mudah adalah toleransi yang dibenarkan syariat Islam.

Bagi kami, kami tidak mengingkari rukhsah (kemudahan) yang diberikan oleh syarak sebagaimana yang dijelaskan oleh ulamak yang bertindak sebagai moderator untuk menjelaskan permasalahan. Akan tetapi permasalahannya ialah pencarian mereka kepada sesuatu yang paling mudah itu akan membawa penukaran daripada halal kepada haram. Ataupun mereka sengaja ingin mencari rukhsah yang salah dalam agama.

Perkara yang dimaksudkan dengan rukhsah atau toleransi di dalam syariat Islam ialah Allah subahanahu wa ta’ala memberikan keringanan kepada orang yang uzur atau sakit dalam mengerjakan ibadat. Bila seseorang itu sakit dibolehkan baginya bersolat secara duduk, tidur atau mengiring.

Di samping itu, syariat juga memberi kelonggaran kepada sesiapa yang tidak mendapati air untuk berwudhuk, mandi wajib atau takut mendatangkan kemudharatan. Dalam soal ini diharuskan baginya untuk bertayammum. Dan begitulah contoh-contoh seterusnya. Perkara ini bermaksud bukanlah mencari kemudahan dari pendapat ulama’ ataupun mencari pendapat yang lemah atau salah.

Imam al Hafiz al Zahabi di dalam kitabnya : Siyar A’lam al Nubala’ m/s 465 juz 13 (ketika menukilkan perkataan Imam Al Hafiz Ismail al Qadhi dalam satu peristiwa pengadapan khalifah al Mu’thadid) menuqilkan :

“Pertama kali saya masuk mengadap, saya diberikan satu kitab. Di dalamnya dihimpunkan perkara-perkara yang paling mudah hasil kutipan para ulamak. Lalu saya berkata : “Penulis kitab ini seorang yang zindik.” Lalu dikatakan kepada saya : “Tidakkah hadith-hadith di dalam kitab itu semuanya sahih ?”. Saya menjawab : “Itu sudah tentu. Akan tetapi orang-orang yang mengharamkan arak tidak mengharuskan nikah mut’ah (nikah kontrak), orang-orang yang mengharamkan mut’ah tidak mengharuskan nyanyian. Orang-orang yang menghimpunkan perkara ini adalah orang alim yang menyeleweng. Dan sesiapa yang mengambil pendapat orang alim yang menyeleweng akan hilang agamanya.” Lalu saya menyuruh kitab ini dibakar.”

Saya pula (penulis) telah menulis satu risalah yang khusus membicarakan tentang tegahan bagi mereka yang mengambil pendapat ulamak yang mudah-mudah dan mengikut hawa nafsu mereka. Maka perhatikanlah dengan sebaik-baiknya di sana. Hanya Allah subahanahu wa Ta’ala sahaja sebaik penunjuk bagi kita.

Penjelasan Beberapa Hadith Al Nabawi :

Adapun hadith :

إن الله يحب أن تؤتى رخصه كما يحب أن تؤتى عزائمه

Ertinya : “Sesungguhnya Allah Subahanahu Wa Ta’ala menyukai untuk memberikan rukhsah sebagaimana Dia menyukai untuk memberikan azimah”

(Hadith Riwayat Ahmad dalam Musnadnya m/s 108 juz 2, Ibn Hibban di dalam Sahihnya m/s 451 juz 6, al Baihaqi di dalam Sunannya m/s 104 juz 3 dll. Hadith ini berpunca dari Ibn Umar, Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud. Bagi kami, hadith ini bertaraf mauquf. Dan menjadi kesalahan bagi mereka yang menghukumnya sebagai sahih-marfu’. Lafaz hadith ini adalah berdasarkan riwayat Abd Razaq di dalam kitabnya al Musannaf.)

Hadith ini bukanlah satu alasan bagi membolehkan kita mengambil pendapat yang paling mudah. Sekalipun sahih, ianya tetap tidak boleh dijadikan dalil untuk kita. Penggunaan rukhsah yang diberikan Allah Subahanahu wa Ta’ala di dalam al Quran adalah khusus untuk hambaNya yang berkeuzuran sahaja. Contohnya seperti dibenarkan bertayammum jika ketiadaan air, dibolehkan berbuka puasa bagi musafir, orang yang sakit pada bulan Ramadhan dan lain-lain yang menjadi pengetahuan umum.

Situasi inilah sebenarnya yang menjadi perbezaan dalam kita memahami dan menilai antara rukhsah syariat dan talfiq (mencari sesuatu yang paling mudah dengan mengikut atau mencampur beberapa pendapat ulamak) serta mengikuti pendapat ulamak yang paling mudah. Kegagalam memahaminya menyebabkan mereka beramal separuh yang benar dan separuh yang salah. Justeru, mengertilah keterangan ini. Semoga Allah subahanahu wa Ta’ala mengurniakan kita petunjuk.

Kesimpulan

Setelah kita memahami dan menyedari bahayanya perbuatan di atas iaitu mengambil pendapat yang paling mudah, takwilan yang bathil (salah) dan mencampuradukkan pendapat yang ternyata dihukum fasiq dengan ijmak tentunya perbuatan seperti ini terlarang sama sekali di dalam al Kitab dan al Sunnah.

Oleh yang demikian tidak perlu bagi kita untuk mengikutinya. Bahkan pendapat seperti ini sama sekali tidak boleh diakui. Dalam soal-soal seperti ini juga kita seharusnya menghormati semua pendapat atau mazhab yang jauh dari hawa nafsu dan fanatisme sekalipun kita selalu berselisih dengan mereka selama mana mereka ingin mencari keredhaan Allah subahanahu wa Ta’ala untuk kita. Justeru, kita tidak perlu menyalahkan mereka.

Ulamak seperti inilah bersungguh-sungguh mencurahkan tenaga dan usaha untuk mencari kebenaran. Sesungguhnya mereka mempunyai keupayaan untuk menyelidik dan mengeluarkan natijah hukum. Pendapat mereka seperti ini boleh diikuti selama mana ia tidak syadz (kesamaran) dan tidak bertentangan dengan ijmak.

Adapun bagi sesiapa yang berijtihad bukan pada tempatnya seperti berijtihad kepada sesuatu yang telah diputuskan oleh nas secara jelas. Ataupun bertentangan dengan ijmak serta nas al Kitab dan al Sunnah sambil mendakwa beliau seorang mujtahid (jika salah ijtihadnya dia dapat satu pahala jika benar dua pahala). Bahkan dia menyangka bahawa usahanya itu adalah menzahirkan tradisi ulamak yang hebat-hebat. Dia sebenarnya bercakap seperti mengalahkan singa.

Dakwaan bahawa dia adalah mujaddid (tokoh revolusi), cergas dan mempunyai fikiran yang matang, sebenarnya tidak mempunyai sebarang erti sama sekali. Ini kerana pada hakikatnya beliau ialah seorang yang muflis ilmu. Sewajarnya pendapat orang seperti ini tidak harus dipertimbangkan sebagaimana yang saya sebutkan di atas. Perbuatan seumpama ini hanyalah menyesatkan orang lain !

Justeru janganlah kalian sesekali berpaling kepada pendapat ini. Bahkan perbuatan seumpama ini perlu diberikan perhatian dan diambil tindakan. Kepada Allah subahanahu wa Ta’ala sahaja kita serahkan segala kesudahannya.


Sumber : Dr Hassan Ali al Saqqaf, Sifat Solat Nabi Yang Sahih, Cetakan Ketiga 2011, Zamihan Mat Zain, Selangor.

SUMBER:

http://jomfaham.blogspot.com/2011/03/hukum-mengeksploitasi-rukhsah-bab-1.html

http://jomfaham.blogspot.com/2011/04/hukum-mengeksploitasi-rukhsas-bab-2.html

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: