اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى اله وصحبه وسلم

Archive for June, 2012

Ulama dunia Melayu sebagai pelopor Melayu Islam


 

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

“SIAPA pelopor?” Perlu ditanggapi dan dicari jawapan yang betul dan tepat. Pertanyaan tersebut adalah sukar dijawab, namun penulis cuba menghuraikan berdasarkan bahan-bahan tertulis dan pengalaman yang pernah ditempuhi. Sukar penulis katakan, kerana pertanyaan itu masih terlalu umum.

Pelopor dunia Melayu Islam di daerah mana yang dimaksudkan, kerana dunia Melayu Islam adalah sangat luas membentang mulai dari Cam di benua besar Asia, Patani dan Semenanjung Tanah Melayu. Singapura yang telah bernegara sendiri, hingga ke Kepulauan Filipina, Brunei Darussalam, Sabah serta Sarawak, Indonesia dan Timur Leste yang baru merdeka.

Juga pertanyaan masih belum jelas, pelopor Melayu Islam zaman bila yang dimaksudkan.

Pelopor Melayu Islam pada setiap zaman sekurang-kurangnya dapat dibahagi kepada dua golongan. Ada pelopor Melayu Islam yang terdiri dari golongan ulama, ada pula pelopor Melayu Islam memperjuangkan nasional untuk kemerdekaan.

Sebagai contoh dalam pertarungan politik di Indonesia, antara M. Natsir dengan Soekarno akhirnya kemenangan berpihak kepada Soekarno. Dalam pertarungan politik di Semenanjung Tanah Melayu pula, Ibrahim Ya’qub dan kawan-kawan, membentuk Kesatuan Melayu Muda (KMM) ternyata kemenangan berpihak kepada Tunku Abdul Rahman Putra.

Semua pelopor politik yang tersebut adalah Melayu Islam (sekurang-kurangnya serumpun Melayu).

Selain sebahagian ulama sebagai pemula atau pencetus dalam pelbagai peradaban atau ketamadunan Melayu Islam yang meliputi keseluruhan aspek kepentingan dunia Melayu, kader-kader mereka pula muncul sebagai generasi penerus.

Di antara mereka ada yang muncul sebagai pahlawan Islam dan tanah air.

Sebagai contoh, Tok Janggut di Kelantan pernah belajar kepada beberapa orang ulama di Mekah, termasuk kepada Sheikh Ahmad al-Fathani muncul sebagai penentang pemerintahan Inggeris. Beliau mati di tali gantung.

Mat Kilau di Pahang adalah seorang pahlawan, beliau adalah murid dan kader Mufti Haji Utsman, Mufti Kerajaan Pahang yang pertama. Haji Utsman pula adalah murid Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (penyusun kitab Mathla’ul Badrain yang terkenal).

Sama ada Tok Janggut mahupun Mat Kilau dalam zaman penjajahan Inggeris dianggap penjahat atau penjenayah, penderhaka terhadap pemerintah. Demikian bijak tipu helah pemerintahan penjajah Inggeris menyelewengkan fakta yang sebenarnya.

Walaupun sekarang kita telah merdeka, sejarah Tok Janggut, Mat Kilau bahkan ramai lagi, masih tetap terselubung bagi generasi kini. Jika generasi kini tidak berusaha memperkenalkan para patriotik kita, maka nama mereka akan lenyap ditelan zaman.

Pelopor

Pelopor yang sebenar ditinjau dari segi agama Islam ialah para Nabi dan Rasul, yang kemudian diikuti oleh para ulama sebagai pewaris para Nabi dan Rasul. Ulama yang menjadi pelopor sangat ramai, yang tidak mungkin disebut satu persatunya di dalam ruangan yang terbatas ini.

Sekian ramai ulama sejak zaman awal hingga tersebarnya Islam di dunia Melayu cukup dikenal dan menjadi ikutan para ulama dunia Melayu seumpama Imam Syafie (Imam Mazhab dari segi fiqh), Imam Abul Hasan al-Asy’ari (Imam akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah), Sheikh Juneid al-Baghdadi (Imam dari segi tasauf), dan lain-lain termasuk ahlul mujtahid Mazhab yang datang sesudah mereka.

Di antara mereka yang kitab-kitabnya menjadi pegangan yang kukuh di dunia Melayu ialah Imam al-Ghazali, seorang tokoh pelopor Islam membahas keilmuwan pelbagai aspek terutama fiqh Syafiiyah, akidah Asya’irah dan sufiah. ‘Ulama’ ahlil hadis seumpama Imam Bukhari, Imam Muslim dan ramai lagi adalah tidak asing bagi ulama dunia Melayu.

Para ulama dunia Melayu yang pasti, yang dianggap sebagai pelopor, adalah sangat ramai. Yang dapat penulis sebutkan di sini berdasar bukti nyata diutamakan adalah ulama-ulama yang menghasilkan karya penulisan saja, selebihnya belum dapat dibicarakan.

Dalam zaman kebesaran kerajaan Islam Aceh, telah muncul Sheikh Hamzah al-Fansuri tokoh sufi dengan gubahan-gubahan syairnya yang sangat indah. Walaupun sementara ada insan yang mengecam, yang menganggap zindiq dan sesat terhadapnya, namun tiada siapa dapat menafikan bahawa Hamzah al-Fansuri adalah orang pertama pencipta syair dalam bahasa Melayu.

Gaya syair Hamzah al-Fansuri berkembang terus dari satu generasi ke satu generasi hingga sampai ke zaman kita, masih tetap segar dalam kajian sastera Melayu, baik dalam dunia Melayu sendiri mahupun peringkat antarabangsa.

Kepeloporan Hamzah al-Fansuri dalam dunia sufi Melayu juga tidak pernah pudar, walaupun ada segolongan orang yang berusaha membendung kesinambungan karya-karyanya. Hamzah al-Fansuri dalam ilmu kesufiyahannya bukanlah muncul dengan tiba-tiba, dicetuskan bersendirian, tetapi ada asal usulnya.

Tokoh sufi

Dunia Islam pernah kenal dengan tokoh-tokoh besar sufi seumpamanya, seperti Abu Yazid al-Bisthami, Abu Manshur al-Hallaj, Ibnu ‘Arabi, dan ramai lagi. Rangkaian zaman Hamzah al-Fansuri diikuti oleh Sheikh Syamsuddin as-Sumatra-i, Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Sheikh Nuruddin ar-Raniri adalah orang pertama menulis tentang fiqh Bab ‘Ibadah dalam bahasa Melayu yang diberi judul Ash-Shirat al-Mustaqim.

Serentak dengan itu Sheikh Nuruddin ar-Raniri pula orang pertama menulis kitab hadis dalam bahasa Melayu yang diberi judul Hadiyatul Habib. Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri adalah ‘ulama’ ahlis syariah wah haiqiqah yang paling berkesan dalam rangkaian zaman itu, selain mempunyai murid yang ramai sebagai penyebar Islam dari pelbagai wilayah dunia Melayu.

Beliau adalah pelopor murabbir ruhi sehingga tersebarnya ajaran tasauf menurut metod tarekat terutama Tarekat Syathariyah. Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri pula adalah pelopor terjemah dan tafsir al-Quran lengkap 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu yang diberi judul Turjuman al-Mustafid.

Serentak dengan itu beliau pula orang pertama pelopor penulisan fiqh tentang undang-undang kehakiman Islam dalam bahasa Melayu yang diberi judul Mir’atut Thullab. Beliau juga orang pertama sebagai penterjemah Hadis Arba’in Imam Nawawi yang sebahagian besar pentafsirannya menurut kaca mata sufi.

Dalam penulisan sejarah peradaban dan raja-raja dunia Melayu, para pengkaji selalu menyebut tiga gandingan nama dan tiga karya penting, iaitu Sheikh Nuruddin ar-Raniri penulis Bustanus Salathin, Tun Seri Lanang penulis Sulalatus Salathin atau Sejarah Melayu dan Bukhari al-Jauhari atau al-Johori penulis Tajus Salathin.

Rasanya masih ada yang perlu dikaji atau diselidiki dengan teliti kerana beberapa versi manuskrip Tajus Salathin yang telah ditemukan tidak pernah menyebut nama Bukhari al-Jauhari atau al-Johori.

Nama Bukhari al-Jauhari atau al-Johori bukan sahaja tidak diperkatakan banyak tempat, sekali pun tidak dijumpai dalam sesuatu manuskrip Tajus Salathin termasuk manuskrip yang diterbitkan ini. Pendapat ini bukan bererti memandang sinis, atau kecaman terhadap pengkaji yang terdahulu, jauh dari maksud demikian itu.

Penulis tetap menghargai jasa dan jerih payah mereka yang telah berhasil memperkenalkan khazanah dunia Melayu yang penting, namun kita perlu sedar dan insaf bahawa setiap kajian adalah tidak terhenti pada yang ada saja, setiap ketika ia akan berkembang dengan sendirinya dan memang perlu suatu kebangkitan memperkembangkannya.

Adalah suatu kejumudan atau kebekuan jika kita bertahan dan menerima apa saja yang diperkatakan oleh golongan barisan sarjana-sarjana barat (orientalis). Mengenai ini diakui oleh Syed Nasir bin Ismail (ketika beliau menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada Kata Pengantar Taj Us-Salatin, 1965, dan Edisi Kedua, 1992, hlm. vii).

Beliau menulis, “Walau bagaimanapun pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para sarjana terkadang-kadang sangat jauh menyimpang dari kebenaran, maka kita tidak dapat menafikan bahawa Tajus Salatin banyak memperlihatkan keperibadian Melayu sendiri”.

TIGA ULAMA PALING POPULAR

Dimaksudkan dengan perkataan tiga serangkai di atas ialah tiga orang ulama yang paling dikenali di dunia Melayu, iaitu Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Ketiga-tiga ulama ini adalah pelopor dunia Melayu dalam bidang keilmuan Islam dan mereka pula telah berhasil membentuk sekian ramai insan Melayu berilmu dan bertakwa kepada Allah SWT. Mengenai tiga orang ulama besar dunia Melayu ini tidak perlu dibicarakan lagi kerana telah penulis sebutkan setiap satunya dalam ruangan ini, termasuk disusun dalam buku.

GENERASI PENERUS

Jumlah ulama generasi penerus sangat ramai di antara mereka sebagai contoh seumpama Sheikh Ismail bin Abdullah Minangkabau, tokoh besar sebagai pelopor Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Sheikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas, tokoh besar sebagai pelopor Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Raja Ali Haji Riau, tokoh besar sebagai pelopor bahasa dan sastera Melayu, serta sejarah. Ketiga-tiga mereka adalah murid Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, adalah tokoh besar pelopor dunia Melayu dalam pelbagai bidang. Ulama ini sangat besar pengaruhnya bukan hanya di dunia Melayu saja, tetapi termasuk di kerajaan Turki ‘Utsmaniyah, Mekah dan Mesir.

Mengenai beliau juga telah dibicarakan dalam siri-siri sebelumnya, di sini penulis sentuh sedikit saja sebagai pelengkap dan menunjukkan kesan yang berkesinambungan.

Sheikh Ahmad al-Fathani adalah pencetus pengkaderan ulama Melayu di Mekah, sangat ramai muridnya. Di antara kadernya yang terkenal termasuklah Kiai Haji Hasyim Asy’ari (yang mengasaskan parti Nahdatul Ulama) dan Mufti Haji Abdullah Fahim. Kedua-dua ulama besar dunia Melayu ini penulis singgung adalah memperhatikan perjalanan sejarah terkini, bahawa cucu Kiai Haji Hasyim Asy’ari bernama Haji Abdur Rahman Wahid (Gus Dur) dalam era reformasi Indonesia sempat menjadi presiden negara itu, tetapi tidak bertahan lama.

Cucu Mufti Haji Abdullah Fahim pula bernama Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, yang dilantik pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 M bersamaan 5 Ramadan 1424 H.

Ulama Johor yang murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani dan ulama Mekah lainnya ialah Kadi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar.

Murid beliau ramai, yang dapat ditonjolkan di sini ialah saudara sepupunya Tan Sri Noah, iaitulah ayah mertua Tun Abdul Razak bin Husein, bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Murid Kadi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar pula ialah Haji Yassin, iaitulah ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Demikian halnya dengan Negeri Sembilan, murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani dan ulama Mekah lainnya ialah Sheikh Muhammad Said bin Sheikh Jamaluddin Linggi. Sheikh Muhammad Said Linggi adalah pelopor terbesar Tarekat Ahmadiyah di dunia Melayu.

Ramai keturunan dan warisnya yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Ahmad. Mufti Haji Ahmad inilah yang membaca doa pelantikan Yang di-Pertuan Agong Malaya yang pertama. Mufti Negeri Sembilan yang sekarang (1430 H/2009 M), Asy-Sheikh Datuk Mohd. Murtadza adalah anak Mufti Haji Ahmad bin Sheikh Muhammad Sa’id Linggi yang tersebut.

Rasanya tulisan ini adalah tidak lengkap jika tidak menyebut murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling terkenal, beliau ialah Tok Kenali. Murid Tok Kenali pula tersebar seantero dunia Melayu. Di antara murid Tok Kenali ialah Syeikh Idris al-Marbawi, iaitulah penyusun Kamus Al-Marbawi, sebuah kamus Arab-Melayu yang pertama tersebar luas di seluruh dunia Melayu.

Tuan Guru Haji Nik Mat, juga murid Tok Kenali. Tuan Guru Haji Nik Mat adalah ayah Datuk Abdul Aziz Nik Mat, iaitulah Menteri Besar Kelantan sekarang.

Selain Tok Kenali sangat ramai ulama Kelantan yang menjadi pelopor, yang terpenting di antara mereka ialah Nik Mahmud, Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, Haji Muhammad bin Muhammad Said, Dato’ Laksamana Kelantan.

Dalam masa yang sama dengan era kebangkitan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani di Mekah, sangat ramai ulama yang berasal dari dunia Melayu yang terkenal, sekali gus merupakan guru kepada ulama-ulama dunia Melayu yang muncul sesudah mereka.

Dari pelbagai wilayah dunia Melayu, muncul pula pelopor-pelopor yang terkenal. Di antaranya ialah Haji Amrullah ketika di Mekah seperguruan dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sama-sama belajar dengan Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Anak beliau ialah Dr. Sheikh Abdul Karim Amrullah juga belajar di Mekah. Di antara gurunya termasuk Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau. Dr. Sheikh Abdul Karim Amrullah adalah tokoh pelopor tajdid/reformis yang terkenal.

Anak beliau ialah Buya Prof. Dr. Hamka (singkatan nama dari Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah) seorang tokoh Islam dunia Melayu yang paling popular pada zamannya.

Merujuk kembali tentang Sheikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau, beliau adalah seorang ulama besar yang berasal dari dunia Melayu atau Minangkabau yang pernah menjadi Imam dan khatib Mazhab Syafie di Masjidil Haram, Mekah, adalah pelopor penentang beberapa adat Minangkabau yang dianggapnya bertentangan dengan syarak.

Di antara adat itu ialah memperoleh harta kewarisan atau pusaka dari pihak perempuan. Muridnya juga sangat ramai, bukan yang berasal dari Minangkabau saja tetapi juga dari seluruh dunia Melayu.

Ulama besar dunia Melayu, berasal dari Sarawak, Borneo/Kalimantan, yang mengajar di Masjidil Haram Mekah pula ialah Sheikh ‘Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak.

Murid beliau juga ramai kerana selain mengajar di Masjidil Haram juga mengajar di beberapa tempat di dunia Melayu. Di antara muridnya termasuk Dr. Sheikh Abdul Karim Amrullah.

Ini diakui oleh Buya Prof. Dr. Hamka dalam bukunya Ayahku. Seorang ulama yang berasal dari Batu Bahara, Pasir Dahari, Inderapura (Langkat) bernama Sheikh Muhammad Zain Nuruddin bin Sheikh ‘Abbas al-Khalidi, dalam karyanya berjudul Miftah ash-Shibyan fi ‘Aqaid al-Imanmenyebut nama beberapa orang gurunya di Mekah, di antaranya termasuk juga Sheikh ‘Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak.

Haji Sulong bin Abdul Qadir al-Fathani yang berasal dari Patani adalah keturunan ulama besar Patani Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Beliau mendapat pendidikan di Mekah dari ulama-ulama yang telah disebutkan di atas. Selanjutnya Haji Sulong bin Abdul Qadir al-Fathani adalah pelopor kebangkitan jihad fi sabilillah untuk mengembalikan Daulah Fathani Darus Salam yang tidak akan sirna dari lubuk hati umat Islam Patani yang beriman, sedar, menghayati sejarah, dan insaf sepanjang zaman.

Masih ramai pelopor Melayu-Islam baik dari golongan ulama mahupun yang bukan ulama tidak sempat disebut dalam ruangan yang terbatas ini.

Maka sampai di sini saja perbicaraan ini, mudah-mudahan kita dapat mengabadikan nama ulama dunia Melayu tersebut agar generasi penerus masih dapat mengenal sejarah perjuangan mereka dalam memperkasakan dunia Melayu-Islam.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0413&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Peranan ulama dalam silat


 

Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

MAT Kilau seorang pahlawan agung yang berjuang menentang penjajahan Inggeris.

BARANGKALI perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang persilatan adalah masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam membicarakan perkara persilatan ini juga amat sedikit berbanding penulisan-penulisan selainnya.

Oleh itu, kelemahan-kelemahan dalam perbicaraan ini rasanya sangat banyak, apatah lagi dunia persilatan hanyalah penulis kenali sewaktu masih kanak-kanak dan ditinggalkan begitu lama, sejak tahun 1960-an.

Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis bukanlah seorang pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi hanyalah sebagai pemerhati saja. Di antara silat-silat yang penulis ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Buton Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad dan Al-Mu’azat.

Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah.

Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan ‘senjata’ qalam untuk mengajar umat Melayu dna juga senjata pedang unutk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah.

Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah mempertahankan Islam dan tanah air.

Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:

*silat menggunakan qalam/pena,

*silat kalam/lidah,

*silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah

*silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya.

Pelajaran silat dalam Kerajaan Pontianak

Tidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai silat yang termaktub dalam sebuah manuskrip “Syair Kerajaan Pontianak”.

Kerajaan Pontianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi adalah sebuah kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng Celak.

Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudah Hang Tuah, kerana hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah dikunjunginya. Akhir riwayat Raja Haji gugur sebagai syahid fi sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka.

Syair Kerajaan Pontianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya Kerajaan Melayu-Islam Pontianak, dalam petikan tersebut juga jelas mencerminkan minat dan kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri terhadap seni dan budaya silat. Untuk lebih jelas dan merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu, Bab Silat dalam Syair Kerajaan Pontianak penulis sebutkan beberapa petikan awal darinya, iaitu:

Setelah sudah berperi-peri,

baginda berangkat lalu berdiri

Panggilkan Mat Raiyat suruh ke mari,

serta dengan Wan Bakari.

Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,

kepada baginda tunduk menyembah

Dengan segeranya baginda bertitah,

Adalah sedikit hendak diperintah.

Baginda tersenyum seraya berkata,

Jikalau suka rasanya cita

Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,

diajarkan silat bermain senjata.

Tuan ajarkan padan-padan,

boleh dilihat usulnya badan

Bagaimana di dalam contoh teladan,

yang mana patut main di medan.

*Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.

Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.

Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab.

Transliterasi selengkapnya ialah: “Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu.

“Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita.

“Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang … ” (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).

Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya “Maka jika datang ia kepada negeri Islam … ” dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris di dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.

Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.

Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa “jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang …” berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam.

Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu.

Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atauterrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).

Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya.

Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.

Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari kalimat beliau, “Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia …”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya “dan ditaruhkan senjatanya” maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.

Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya “dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu”. Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan “ilmu silat” kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.

Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan “kekuatan dalaman” atau “mental” atau “rohani”. Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.

Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani

Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa’id an-Nafi’ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu “Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah”, beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu:

lFaedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi ‘Azimat Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.

lFaedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.

lFaedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.

lFaedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.

Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu “Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru … “Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli.Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98).

Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:

*Belajar secara fizik di gelanggang.

*Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.

*Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.

Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu’azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu’azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang dengan sendirinya.

Silat Al-Mu’azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu’azat itu, lebih lengkap ditulis oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm. 189).

Kesimpulan dan penutup

Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:

lSeni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian.

lIlmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.

lUlama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri.

lUlama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.

Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak.

Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.

SUMBER:

Ilmu akidah Islamiah karya ulama silam Melayu


 

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

Tuan Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udi al-Banjari mengarang sekurang-kurangnya empat buah karya ilmu tauhid.

 

PENDAHULUAN

SETELAH kita mengetahui serba ringkas pengajian tradisional akidah di peringkat awal, maka penulis memperkenalkan pula pengajian akidah pada peringkat menengah untuk masyarakat pondok ataupun bukan pondok.

Perbicaraan dalam ruangan yang terbatas ini adalah pengenalan awal tentang karya-karya dan tokoh-tokoh yang bertanggungjawab dalam menyebarkan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah di Dunia Melayu.

Bagi memaparkan keseluruhan kandungan kitab-kitab yang berkaitan seperti Warduz Zawahirdan lainnya adalah terlalu panjang untuk dibicarakan. Maka penulis memilih membahasnya sedikit sahaja sebagai pengenalan untuk maklumat umum.

PERINGKAT MENENGAH DAN ATAS

Pada peringkat kedua ini, dilihat bahawa kitab-kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Melayu juga mendapat tempat di kalangan pengajian pondok hingga ke Kemboja, Vietnam dan Burma.

Boleh diakui bahawa kitab-kitab Melayu/Jawi tentang akidah telah menemui sasaran dan keberkesanan di masyarakat Dunia Melayu zaman berzaman dari dahulu hingga kini. Ini ada perbezaan dengan kitab-kitab akidah yang ditulis oleh ulama Dunia Melayu yang mempergunakan bahasa Arab, dilihat hanya sedikit sekali dikenal oleh masyarakat luas.

Kitab-kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Arab hanya terhad di pengajian-pengajian pondok sahaja. Amat sedikit kitab dalam bentuk bahasa Arab diajarkan di surau-surau ataupun di masjid-masjid.

Jika ditinjau kandungan kitab-kitab Melayu/Jawi secara menyeluruh, adalah diperuntukkan kepada peringkat menengah dan atas, yang jumlahnya jauh lebih banyak dari peringkat-peringkat lainnya.

Beberapa contoh kitab paling popular di antaranya:

Faridatul Faraid karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani

Sirajul Huda karya Sheikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi (Sumbawa, Indonesia)

‘Aqidatun Najin karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani

Ad-Durrust Stamin karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Yang ditulis dalam bahasa Arab untuk peringkat ini di antaranya:

Sabilus Salam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani

Fat-hul Majid karya Sheikh Nawawi al-Bantani

Nuruzh Zhalam juga karya Sheikh Nawawi al-Bantani.

Faridatul Faraid pernah diringkaskan dengan judul Pati Faridatul Faraid yang diusahakan oleh Tuan Guru Nik Abdullah al-Jambui al-Fathani.

Pernah disyarahkan dengan judul ‘Umdatu Thalibil Mujtahid bi Syarhi Faridatil Faraiddiusahakan oleh Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Ibrahim bin Abdul Karim al-Fathani al-Jabi.

Pada Jun 1990 telah diterbitkan Faridatul Faraid dalam edisi Rumi/Latin yang diusahakan penulis sendiri.

Di dalam kitab Ad-Durrust Stamin fi ‘Aqaidil Mu’minin dan ‘Aqidatun Najin fi ‘Ilmi Ushuliddintelah diperkenalkan pendapat Sheikh Ahmad bin Muhammad as-Suhaimi tentang Mabadil ‘Asyarah pada mempelajari akidah.

Nama ilmu tersebut diberikan sebanyak lapan nama. Antaranya dinamakan Ilmu Kalam, Ilmu Usuluddin dan lain-lainnya.

Dalam Ad-Durrust Stamin, Sheikh Daud al-Fathani telah memperkenalkan serba ringkas riwayat orang yang pertama mendewankan/menulis ilmu ini berupa risalah atau kitab iaitu Imam Abul Hassan al Asy’ari.

Riwayat yang lebih lengkap beliau perkenalkan pula dalam kitab Warduz Zawahir. Kedua-dua kitab tersebut adalah merupakan maklumat terawal yang dibicarakan secara lengkap dalam kitab bahasa Melayu.

Walaupun ‘Aqidatun Najin dikategorikan pada peringkat ini, namun dalam pengamatan penulis ia merupakan kitab akidah yang kedua lengkap dan besar dalam bahasa Melayu sesudahWarduz Zawahir.

Sebuah kitab lain yang juga dikategorikan dalam peringkat ini ialah Al-Bahjatus Saniyah, karya Sheikh Daud al-Fathani. Ia merupakan terjemahan dan syarahan dari kitab Tahshilu Nailil Maram Syarhu ‘Aqidatil ‘Awam karya As-Saiyid asy- Syarif Ahmad al-Marzuqi, salah seorang guru beliau.

Kitab karangan ulama ini (Ahmad al-Marzuqi) dengan judul yang sama pernah disyarah oleh Sheikh Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab.

Kitab tersebut ialah Nuruzh Zhalam ‘alal Manzhumati al-Musammatu bi ‘Aqidatil Iman. Syarahan Sheikh Nawawi al-Bantani bersama-sama dengan kitab Sabilus Salam karya Sheikh Ahmad al-Fathani, yang sama-sama ditulis dalam bahasa Arab tersebut telah mewakili pengajian kitab-kitab akidah bahasa Arab sebagai lanjutan kitab-kitab bahasa Arab pada peringkat pertama yang telah disebutkan.

Kitab-kitab bahasa Arab karya kedua-dua ulama Dunia Melayu itu bukan saja diajar di Dunia Melayu, tetapi pernah berperanan di dunia Arab sendiri seperti di Mesir, Mekah dan lain-lain di Timur Tengah.

Sebagaimana maklum dan diakui bahawa Sheikh Daud al-Fathani adalah ulama Dunia Melayu yang paling banyak meninggalkan karangan dan terjemahan ilmu-ilmu keislaman termasuk akidah.

Dalam karya fikah beliau berjudul Hidayatul Muta’allim, selain memperkenalkan sifat-sifat Tuhan, turut diperkenalkan cabang-cabang iman (firqah) yang melebihi 70 banyaknya. Barangkali ini adalah merupakan yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.

Cabang-cabang iman di dalam Hidayatul Muta’allim itu kemudian dipetik oleh Sheikh Umar bin Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, lalu dicetak bersama-sama dengan Miftahul Murid karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani itu.

Tentang cabang-cabang iman yang melebihi 70 tersebut, Sheikh Nawawi al-Bantani pernah membuat sebuah syarahan dalam sebuah kitab berjudul Syarhul Futuhatil Madaniyah fisy Syu’bil Imaniyah.

Terdapat sebuah kitab bercorak metod melaksanakan zikrullah dalam sektor Tarekat Syathariyah, iaitu hasil karya Sheikh Daud al-Fathani yang beliau tulis sewaktu berada di Sambas (Indonesia) dengan judul Dhiya’ul Murid fi Ma’rifati Kalimatit Tauhid.

Suatu konsep penegasan supaya kita tetap berpegang kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah, juga diperkenalkan secara mantap penulisan yang bercorak demikian. Antaranya seperti ditulis oleh Sheikh Daud al-Fathani di bahagian awal kitab fikah berjudul Jawahirus Saniyah.

Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Ketahui olehmu, bahawasanya thariq yang sebenarnya satu jua, iaitu thariqat Ahlus Sunnah dan Jamaah. Kerana bahawasanya aimmah yang Mujtahidun yang empat, iaitu Imam Syafiie dan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad ibnu Hanbal Radhiallahu anhum ajmain, dan jikalau bersalah-salahan mereka itu hanya pada furuk syari’at, maka bahawasanya mereka itu muafakat pada usuluddin, yakni pada ‘aqaid addin. Maka hendaklah kita ikut salah seorang daripada mereka itu …”

Pada kalimat yang lain, beliau menegaskan pandangannya tentang mengikut selain Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kata beliau: “Maka hendaklah kita jauhkan iktikad orang yang benci akan mereka itu (maksudnya para sahabat Nabi) atau akan setengah-setengah mereka itu.

“Maka tiada memberi faedah kasih akan setengah mereka itu, iaitu satu thaifah umpama nujum, kasih mereka itu akan Saidina Ali dan benci mereka itu akan Saidina Abu Bakar dan Umar, maka sekelian mereka itu ahlidh dhalal dan Rawafidh dan Mu’tazilah dan segala firqah yang menyalahi Ahlus Sunnah seperti Qadariah dan Jabariah, maka segala mereka itu thaifahyang sesat, jangan diikuti akan perkataan mereka itu dan kelakuannya.

“Hendak kita jauhkan perkataannya dan af’alnya dan ehwalnya. Maka orang yang benci akan setengah sahabat tiada berguna amal mereka itu …”.

Pada kalimat yang lain tertulis pula: “Maka tiap-tiap orang yang menyalahi akan Ahlus Sunnah, iaitu orang yang menolakkan barang yang kami sebut, iaitu Ahlus Sunnah, maka iaitu bidaah dan jangan engkau dengarkan pada baiknya pada perkataan mereka itu …

“Dan tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu jikalau ada ia mendakwa akan mempunyai ilmu, bahawasanya meninggikan martabat, seperti tinggi bintang Zukhal di langit sekalipun, jangan didengar akan perkataannya. Kerana mereka itu adalah buta mata hatinya, tiada boleh nyata melihat rahsia ilmu, hanya ia duduk taraddud di dalam sesatnya …”

Peringkat pembahasan dan penyelidikan

Tidak banyak kitab akidah dalam bahasa Melayu untuk peringkat yang tinggi ini.

Antara yang dapat ditonjolkan ialah kitab Warduz Zawahir karya Sheikh Daud al-Fathani. Sebuah lagi ialah karya Sheikh Nuruddin ar Raniri yang menggabungkan antara Ilmu Tauhid dan Ilmu Tasauf berjudul Tibyan fi Ma’rifatil Adyan.

Sebelum penulis membicarakan Warduz Zawahir lebih lanjut, diperkenalkan dahulu secara ringkasnya kitab Tibyan dan sebuah kitab lain sesudahnya iaitu Tuhfatur Raghibin karya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.

Kedua-dua kitab tersebut membicarakan secara mendalam firqah-firqah dalam Islam.

Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri pula dalam Sullamul Mustafidin dalam bentuk yang agak ringkas juga pernah membicarakan tentang firqah-firqah itu.

Dalam Tibyan, Sheikh Nuruddin ar-Raniri menyebut bahawa firqah yang 72 dalam Islam adalah berasal dari enam firqah.

Ini sama dengan yang dibicarakan oleh Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di dalamTuhfatur Raghibin, tetapi berbeza dengan yang ditulis oleh Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri di dalam Sullamul Mustafidin, bukan enam tetapi adalah lapan firqah.

Firqah-firqah yang enam yang disebut dalam Tibyan dan Tuhfatur Raghibin itu adalah:

Rafidiah, Kharijiah, Jabariah, Qadariah, Jahmiah, dan Murjiah.

Adapun lapan firqah yang disebut oleh Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri di dalam Sullamul Mustafidin adalah: Muktazilah, Syiah, Khawarij, Murjiah, Najjariah, Jabariah, Musyabbihah dan Najiah.

Ternyata dua firqah dalam senarai Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri iaitu Murjiah dan Jabariah saja yang sama dengan senarai Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari tersebut.

Perkara yang sama dengan yang beliau tulis dalam Sullamul Mustafiddin. Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri juga pernah membicarakan hal itu di dalam karyanya berjudul Syarah Hadis Arba’in Imam Nawawi.

Dari enam firqah yang disenaraikan oleh Sheikh Nuruddin ar-Raniri di dalam Tibyan dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di dalam Tuhfatur Raghibin, terjadi 72 firqah.

Dalam Tibyan disenaraikan dengan lengkap hingga ke 72-nya, manakala di dalam Tauhfatur Raghibin hanya memberikan takrif dan contoh-contoh iktikad sesuatu firqah itu, tanpa menyebut nama-nama firqah yang cabang-cabang dari yang enam itu.

Kita kembali membicarakan kitab Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah. Walaupun kitab ini penulis masukkan kategori golongan tertinggi dalam pemantapan dan pengkajian akidah tradisional Dunia Melayu, namun Sheikh Daud al-Fathani pada mukadimah kitab ini menyebut seperti berikut; “Supaya mengambil manfaat dengannya orang yang mubtadi“.

Istilah mubtadi biasa diertikan “orang-orang yang baru belajar sesuatu pengetahuan di peringkat yang terendah”. Tetapi pengertian di sini bukanlah itu yang dimaksudkan oleh pengarang.

Ini adalah suatu kalimat yang bersifat sindiran yang mencerminkan ketawadukan dan kewarakan ulama-ulama silam kita.

Walaupun ilmu mereka sangat melaut, kitab-kitab yang mereka karang sangat banyak dan tebal-tebal, kita tiada berkemampuan membaca dari awal hingga ke akhir sesuatu kitab. Namun mereka tetap merendahkan diri.

Maka itulah tercipta pepatah Melayu, “Ibarat padi, kian berisi kian tunduk”.

Dalam penelitian penulis, memang belum ditemui kitab akidah bahasa Melayu yang lebih tebal dan lengkap selain Warduz Zawahir tersebut. Oleh itu, penulis tempatkan kitab itu sebagai kajian peringkat terakhir.

Kandungannya selain yang pernah dibicarakan dalam kitab-kitab akidah yang lain, sangat banyak perkara nadir yang tidak pernah terdapat dalam kitab-kitab selainnya. Bahkan perkara-perkara yang nadir yang tersebut dalam Warduz Zawahir hanya terdapat dalam kitab-kitab bahasa Arab yang besar-besar. Sesetengah kandungannya pula belum diketemukan sumber dari kitab bahasa Arabnya.

Ini adalah suatu bukti luasnya pengetahuan Sheikh Daud al-Fathani di samping sangat banyak kitab yang telah beliau pelajari.

Kesimpulan

Berdasarkan kandungan yang dipaparkan, dapat diambil kesimpulan seperti berikut:

1. Kitab-kitab yang disusun dan diterjemah oleh ulama silam Melayu dapat memenuhi kehendak masyarakat dari tahap yang paling rendah hingga ke tahap yang paling tinggi, sama ada untuk zaman silam mahupun zaman kita.

Bahkan akan berkesinambungan ke zaman-zaman berikut selagi ilmu pengetahuan dibicarakan orang.

2. Bahawa juga terdapat di antara kitab-kitab karya ulama silam telah diulang cetak ratusan kali. Bahkan ada yang ribuan kali sejak mulai dikarang hingga sekarang ini, dan diajarkan pula di sepanjang zaman.

3. Ditinjau dari segi penyebarannya pula, kitab-kitab akidah ulama silam kita telah dipelajari dan dikenal pasti termasuk di Kemboja, Vietnam dan Burma selain yang terbentang mulai Bangkok hingga ke Indonesia dan Filipina; sedangkan karya-karya yang dalam bentuk Rumi/Latin hanya dikenal dalam negara di mana buku-buku tersebut dikarang.

Tidak dinafikan karya-karya tokoh Indonesia memang terdapat di Malaysia, tetapi tidak terjual di kedai-kedai buku di Thailand.

Sebaliknya karya-karya tokoh-tokoh Malaysia tidak terjual di Indonesia.

Ini adalah contoh bagi membuktikan karya-karya ulama-ulama silam kita dalam bentuk aksara Melayu/ Jawi lebih luas penyebarannya.

4. Dalam karya-karya akidah tradisional, terdapat beberapa di antaranya menyentuh aspek pelbagai ilmu.

Antaranya termasuk: politik, sejarah, usul fiqh, tafsir al-Quran secara meluas termasuk pentafsiran secara yang tersiratnya, hadis dalam pelbagai aspek ilmunya, perbandingan mazhab dan lain-lain banyak lagi, seperti yang dijumpai dalam Warduz Zawahir.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0629&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Karya ulama Patani dalam ilmu usuluddin dan tasawuf


Karya ulama Patani dalam ilmu usuluddin dan tasawuf

 

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

Tuan Guru Haji Abdul Qadir Bin Ismail As-Sanawi antara ulama Patani yang alim dalam bidang ilmu tauhid.

 

KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara, termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf.

Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.

Karya Ilmu Usuluddin

Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal Jama’ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy’ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan wafat tahun 333 H) dan pentafsiran-pentafsiran ulama-ulama muktabar sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895 H/1490 M) dan ramai lagi.

Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal. Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.

Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani ‘Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Yang Sejati. Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan perlu membahasnya.

Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi ‘Aqaidil Mu’minin (1232 H/1816 M), ‘Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.

Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi ‘Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil ‘Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).

Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi ‘Aqaidid Din wal Ad’iyatun Nafi’ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta’allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu’ul Masail.

Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah:Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi. Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikanMunjiyatul ‘Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil ‘Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul ‘Awam karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul ‘Iqdul Juman fi ‘Aqaidil Iman.

Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul Faraid fi ‘Ilmil ‘Aqaid. Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya fiqh yang diletak pada bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin, ‘Unwanul Falah.

Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga terdapat tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang menjadi ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy’ari dengan Imam Abu Hanifah.

Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih tua dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun karangan-karangannya muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya ialah: ‘Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin (1308 H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.

Hingga sekarang kitab ‘Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat kanak-kanak pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun sebuah risalah berjudul Miftahul Murid fi ‘Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.

Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja. Seterusnya penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:

1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy’ari taubat daripada fahaman yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah ‘an Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab. Sejarah yang ittifaq para ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy’ari hanya keluar daripada Mazhab Mu’tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab mengenai itu.

Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy’ari sebagai murid dan anak tiri Imam Abu Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu’tazilah selama 40 tahun, dan keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus Saniyah. Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang tersebut adalah yang terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan ulama Nusantara lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyebut bahawa Imam Abul Hasan al-Asy’ari taubat daripada Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain beliau.

Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah ‘an Ushulid Diyanah adalah karya Imam Abul Hasan al-Asy’ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanahtidak pernah menyebut perkara itu, dan tidak terdapat tahun mulai ataupun selesai penulisan. Ulama Ahlis Sunnah wal Jama’ah golongan Abul Hasan al-Asy’ari meyakini bahawa Al-Ibanah ‘an Ushulid Din dan Al-Luma’ adalah kedua-dua kitab Imam Abul Hasan al-Asy’ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu’tazilah. Al-Luma’ adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma’ pula seperti syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma’.

2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy’ari dan pengikut-pengikutnya adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.

Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman 5, dengan jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “… Kemudian diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy’ari) karang atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia. Maka ia pertama-tama orang yang me[ng]edarkan Ilmu ‘Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni mengikut Quran, dan hadis, dan ijma’ sahabat yang dahulu-dahulu yang salih-salih …”

3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy’ari dan pengikut-pengikutnya hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam Ad-Durruts Tsamin, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “Dan tatkala selesai daripada menyatakan barang yang ta’alluq bagi Uluhiyah, iaitu barang yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus bagi-Nya maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta’alluq pada hak Nubuwah dan risalah pula.”

Ketuhanan

Dalam Warduz Zawahir pula, “… telah dijadikan kalimah tauhid itu menafikan bagi barang yang lainnya pada ketuhanan, dan tiada tuhan yang lain pada sebenarnya mempunyai ubudiyah, serta mengaku sekalian millah kuffar dengan Tauhid Rububiyah …” Selanjutnya, “Dan yang bersalahan antara orang Mu’minin dan kafirin itu Tauhid Uluhiyah. Dan mahabbah orang Mu’minun mengitsbatkan Dia, dan orang yang kafirun mengingkar mereka itu akan Dia. Dan karena inilah, adalah kalimah al-Islam itu dan jikalau berkata niscaya tiada memadai tauhidnya”.

Sheikh Ahmad al-Fathani tentang Uluhiyah / Ilahiyat pula dalam Sabilus Salam (bahasa Arab) menyebut, terjemahannya, “Ketahui olehmu bahawa perbahasan-perbahasan Usuluddin itu tiga bahagian, ialah: Ilahiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Allah, yang mustahil atas-Nya dan yang harus pada hak-Nya. Nabawiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Rasul-Rasul, yang mustahil atas mereka dan yang harus pada hak mereka. Sam’iyat, iaitu …”

Demikianlah tiga contoh sebagai pembelaan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Penulis simpulkan saja bahawa kitab-kitab karangan ulama Nusantara, termasuk kitab-kitab karya ulama Patani, mampu mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah dari segala macam kritikan, kecaman, tuduhan dan fitnahan dengan segala macam aliran yang kontroversi.

Karya Ilmu Tasawuf dan Thariqat

Selain membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Fiqh dan Ilmu Tauhid di Nusantara, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, sekali gus membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Tasawuf. Di antara penulisan beliau dalam ilmu ini yang dapat disenaraikan di sini ialah: ‘Ilmut Tashawuf (1233 H/1817 M), risalah ini merupakan perbahasan tasawuf peringkat tinggi (muntahi) atau disebut dalam zaman moden dengan tasawuf falsafi.

Selanjutnya dalam tahun 1240 H/1824 M, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan dua buah kitab tasawuf, ialah: Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan merupakan terjemahan dan syarah karangan Abi Madyan, dan Minhajul ‘Abidin ila Jannati Rabbil ‘Alamin yang merupakan terjemahan karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Sebuah lagi tasawuf peringkat tinggi (muntahi) karya Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang khusus membahas rumus-rumus ahlish shufi pada konteks Martabat Tujuh, ialah: Manhalush Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis, tanpa dinyatakan tahun penulisan.

Walaupun Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid dapat diklasifikasikan ke dalam karya Ilmu Tauhid, namun juga dapat dimasukkan pada sektor tasawuf, kerana kitab ini khusus membicarakan metode zikrullah menurut Thariqat Syathariyah.

Selain kitab-kitab tasawuf yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman akhir kitab-kitab fiqhnya, ialah: Hidayatul Muta’allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, dan Fat-hul Mannan.

Tentang tasawuf juga beliau tulis pada bahagian akhir karya akidahnya, ialah Ad-Durruts Tsamin dan Warduz Zawahir. Sungguhpun dalam karyanya Jam’ul Fawaid merupakan terjemahan beberapa hadis, namun pada beberapa halaman juga membicarakan tasawuf.

Menggubah puisi

Karya-karya tasawuf oleh ulama-ulama Patani selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sangat banyak, di antara ulama yang terdahulu daripada beliau ialah dilakukan oleh guru beliau bernama Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Karya-karya beliau merupakan risalah-risalah saja, belum pernah diterbitkan berupa cetakan.

Cucu saudara Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bernama Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (wafat 1316 H/April 1898 M) adalah Khalifah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa thariqat terutama Thariqat Syathariyah, beliau ini juga menghasilkan beberapa risalah tentang tasawuf dan tarekat.

Sheikh Ahmad al-Fathani tetap tidak ketinggalan dalam penulisan tasawuf dan tarekat, di antara karya beliau tentang ilmu ini ialah: Mir-atul A’ajib fi Jawabi Su-alil Majazib (1324 H/1906 M). Kitab ini ditulis adalah sebagai jawapan surat Raja Kelantan mengenai Thariqat Ahmadiyah yang dibawa dan diajarkan oleh Haji Encik Sa’id Linggi (Sheikh Muhammad Sa’id bin Haji Jamaluddin Linggi) di Kelantan.

Selain menyusun kitab di atas, lalu Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah puisi pula dalam beberapa bait. Sebuah rangkaian puisi dalam bahasa Arab dan sebuah lagi dalam bahasa Melayu. Selain Mir-atul A’ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani juga membicarakan tasawuf dalam dua buah karya fiqhnya iaitu Al-Bahjatul Mubtadin dan ‘Unwanul Falah.

Adapun tasawuf yang dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah itulah berasal dari judul Mir-atul A’ajib. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar terdapat beberapa halaman yang membicarakan tasawuf, juga sejarah beberapa orang ulama sufi terdapat dalam kitab tersebut.

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Patani yang menulis tasawuf ialah Tok Kelaba al-Fathani, di antaranya ialah: Risalatut (1307 H/1889 M), Tarjamah Qashidah Rijalil Ghaib, dan Syarabul Washilinal Muflihinal Maqbulin (1314 H/1896 M), ia masih dalam simpanan penulis dan berbentuk manuskrip yang sangat uzur.

Pada bahagian akhir manuskrip, Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa karya ini adalah berdasarkan penerimaan beliau dari mulut gurunya Al-‘Arif Rabbani asy-Sheikh Haji Abdul Qadir bin asy-Sheikh al-Haji Mushthafa al-Jambui al-Fathani yang dinuqil daripada perkataan Quthbur Rabbani al-‘Arifush Shamadani al-Haikalun Nurani asy-Sheikh Muhyiddin Muhammad Ibnu Ali al-‘Arabi.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0601&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Kelahiran Sheikh Ahmad Al-Fathani rahmat bagi umat Islam


 

Koleksi tulisan Allahyarham
WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 

Dengan teliti Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mencatat tahun-tahun kelahiran orang-orang dalam lingkungannya dan tahun kelahiran beliau sendiri. Tentang ayah dan ibunya tercatat, “Diperanakkan bapak kita Wan Muhammad Zain pada tahun seribu dua ratus tiga puluh tiga (1233) daripada hijrah, iaitu pada tahun harimau dengan bahasa Melayu, pada hari Sabtu qablaz zawal pada hari yang delapan yang bulan kedelapan daripada bulan Melayu. Diperanakkan mak kita Wan Cik pada seribu dua ratus empat puluh satu (1241) daripada hijrah.1241- peranakkan ibu kita

1233- peranakkan bapak kita

…..8- kurang umur ibu kita daripada bapak kita.”

Tentang tahun kelahiran beliau sendiri, tertulis dalam kitabnya Hadiqatul Azhar war Rayahin, halaman 178-179,cetakan Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1321 H, tetapi tidak termaktub dalam cetakan yang pertama, oleh percetakan yang sama tahun 1307H.

Menurut beliau, “Diperanakkan Ahmad bin Muhammad bin Mushthafa bin Muhammad al-Fathani pada malam Jumaat waktu jendera budak, lima hari bulan Syaaban daripada tahun 1272, tahun ular besar pada bulan lima daripadanya dengan istilah Siam, pada hari yang keenam pada istilah Melayu. Dan tempat beranaknya pada Kampung Jambu negeri Jerim daripada Fathani. Dan mansya’nya pada Kampung Jambu itu, dan pada Kampung Sena Janjar”.

Jika dihisab tahun kelahiran itu maka bersamaan dengan 10 April 1856 Masihi. Tahun kelahirannya itu bersamaan dengan mangkatnya Sultan Muhammad Raja Patani (1856 M) dan dengan kehendak Raja Siam telah mengangkat putera beliau bernama Tengku Putih sebagai Raja Patani. Dalam tahun 1856 M itu pula perdagangan di Fathani Darus Salam kembali ramai dan banyak bangsa asing datang sebagai pedagang, tetapi yang teramai adalah bangsa Cina.

Latar belakang dari kemewahan yang mulai tumbuh di Fathani Darus Salam yang tidak merdeka itu mengakibatkan mulai menurunnya intelektual Islam dalam negeri Fathani Darus Salam. Namun Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai intelektual Islam yang agung bukanlah mendapat pendidikan Islam dalam negeri beliau sendiri yang telah dikuasai oleh bangsa kafir itu.

Berbagai-bagai cerita tentang kelahiran Ahmad al-Fathani yang kadang-kadang di sana sini dihiasi dengan mitos yang menarik yang sukar diterima oleh akal yang jernih.

Barangkali tidaklah celanya dalam artikel ini dimuat juga tentang cerita-cerita itu. Seperti yang dikisahkan oleh seorang tuan guru pondok bernama Haji Wan Husein, seorang bekas Tok Guru Pondok di Yala, katanya: “Setelah ulama-ulama Patani banyak mati dibunuh oleh Siam, ada pula yang ditangkap dan dilokap di Bangkok, pada satu malam Panglima Wan Pa bertemu dengan lailatul qadar di perigi Bendang Daya. Malam itu Panglima Wan Pa berdoa agar dari keturunannya ada yang menjadi ahli ilmu untuk menggantikan para ulama Patani yang telah hampir habis. Dipendekkan kisah, bahawa anaknya Muhammad Zain pun berkahwin.

” Tidak berapa lama dia kahwin hamillah isterinya. Ketika hampir cukup bulan kandungannya maka pada satu malam Jumaat, kemudian malam Jumaat lagi, kemudian malam Jumaat lagi jadi tiga kali malam Jumaat secara berturut-turut ibunya Wan Cik bermimpi; bahawa dia melihat isi ubi bertimbun-timbun. Dengan serta merta semuanya pecah berderai. Di mana saja tempat berderainya itu lalu tumbuh menjadi ubi yang baru pula. Oleh sebab mimpi berturut-turut tiga kali serupa dan malam Jumaat pula maka mimpi itu dicari takbirnya kepada alim ulama yang telah mencapai darjat Wali Allah. Akan takbirnya bahawa anak yang dikandung itu akan membawa rahmat, ahli ilmu. Ilmu yang berasal daripadanya akan berkembang lagi. Di mana saja muridnya pergi maka dapat menyebarkan ilmu yang berasal daripadanya. Maklumlah Panglima Wan Pa bahawa doanya telah dikabulkan Allah. Tiba-tiba malam Jumaat yang keempat lahirlah anak yang dikandung itu, yang penuh dengan keanehan. Anak itu diberi nama Ahmad”.

Riwayat hidupnya di zaman kanak-kanakAhmad al-Fathani dilahirkan di Kampung Sena Janjar, iaitu sebuah kampung yang ditanam pohon Sena oleh Panglima Wan Pa dengan berbaris-baris melingkari kampung itu. Dari Kampung Sena Janjar itu banyak mengeluarkan ulama sejak masa dahulu, dan Ahmad bergaul menurut tradisi agama Islam yang berkembang di Kampung Sena Janjar itu.

Sejak kecil lagi, kira-kira baru berumur dua tahun, beliau sudah dilatih menghafal pelbagai matan. Menurut ukuran biasa setelah berumur enam atau tujuh tahun baru dilatih dengan demikian itu.

Namun Ahmad al-Fathani tidak mengikut tatacara yang berlaku, kerana ayah dan datuknya tahu benar tabiat Ahmad yang memang sejak lahir selalu tidak sama dengan kebiasaan yang ada pada kanak-kanak lainnya.

Pembawaannya sejak kecil selalu menyendiri diri dari masyarakat ramai. Beliau bertahan duduk di tempat sunyi sepi berminggu-minggu, bahkan kadang-kadang berbulan-bulan untuk menenangkan fikiran, mengingat-ingat hafalan matan yang telah diberikan oleh orang tuanya.

Sekitar empat tahun umurnya, dia mengikut ayah dan ibunya pindah ke Mekah. Ketika di Mekah, dia tidak menampakkan diri sebagai seorang anak yang rajin belajar. Ini kerana dia belajar secara sembunyi-sembunyi, tanpa pengetahuan kedua-duanya.

Ini menyebabkan kedua-dua orang tuanya mulai gelisah, kerana jika hal demikian berlaku terus menerus akan yang mengakibatkan gagal semua cita-cita beliau, yang ingin supaya anaknya itu menjadi seorang yang termasyhur dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Akan tetapi kedua-dua orang tuanya berasa lega dan hairan juga kerana apa yang ditanyakan kepada anaknya tetap dapat menjawab dan hafalannya luar biasa, kerana menghafal pelbagai matan yang melebihi daripada teman-temannya yang lain.

Menurut kitab Nasyrun Naur waz Zahar (mukhtasar), karya Sheikh Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani ke Mekah berusia enam tahun, dan beliau adalah seorang hafiz al-Quran dan juga beberapa kitab matan.

Di kalangan keluarga Patani dan Kelantan yang berada di Mekah ketika itu mempercayai bahawa Ahmad telah mendapat ilmu ladunni. Hal tersebut lebih menonjol setelah dia berumur 12 tahun.

Dalam usia yang demikian muda, dia telah mengajar ilmu tatabahasa Arab (ilmu nahwu sharaf, dan lain-lain) kepada orang tua-tua yang telah puluhan tahun belajar.

Ketika kecil itu, Ahmad selalu bersahabat dengan temannya bernama Ahmad Dahlan yang berasal dari Jawa. Ahmad Dahlan adalah seorang anak yang sangat rajin belajar dan menghafal. Pada satu hari terlepaslah kata-kata dari ayahnya, Sheikh Muhammad Zain, “Ahmad, mu malas belajar nanti mu aku beri air kencing kawanmu Ahmad Dahlan”.

Kata-kata itu sangat berkesan bagi Ahmad al-Fathani, maka bertekadlah ia meninggalkan Mekah untuk mencari ilmu pengetahuan. Tujuan pertamanya adalah ke Baitulmaqdis.

Belajar di BaitulmaqdisDi Baitulmaqdis, dia telah belajar ilmu kedoktoran/ilmu tabib. Menurut riwayat bahawa Syeikh Ahmad al-Fathanilah orang Melayu yang pertama sekali mahir ilmu tabib dan mendapat pendidikan khas di bidang itu yang berlainan dengan tabib-tabib tradisional di dunia Melayu. Sebagai bukti dari cerita ini dapat kita telaah dengan saksama melalui kitabnya berjudul Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan.

Sekitar dua tahun lamanya dia menetap di Baitulmaqdis, dia kembali ke Mekah. Dalam masa dua tahun itu pula beliau sempat belajar ilmu-ilmu yang lain, selain ilmu yang disebutkan tersebut, terutama ilmu-ilmu agama. Tentunya beliau telah belajar kepada ulama-ulama di Baitulmaqdis itu.

Selama di Baitulmaqdis beliau bersahabat dengan Saiyid Yusuf an-Nahbani, seorang pengarang pelbagai kitab, di antaranya Al-Anwarul Muhammadiyah yang terkenal itu.

Setelah beliau kembali ke Mekah, maka terkejutlah kedua-dua orang tuanya kerana dalam amalannya sehari-hari, tidak menampakkan bahawa anak yang dikasihinya itu sebagai seorang ulama.

Dilihatnya hanyalah mahir dalam membuat berjenis-jenis ubat seumpamanya makjun dan yang sejenisnya. Sekali lagi ayahnya memaksanya supaya memperdalam pengetahuan agama Islam sebagaimana ulama-ulama tua-tua Fathani Darussalam zaman lampau, antaranya seperti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Berhijrah ke MesirMulai saat itu, bertekad pula Sheikh Ahmad al-Fathani meninggalkan Mekah. Tujuannya adalah ke Mesir kerana diketahuinya bahawa Mesir merupakan pusat ilmu pengetahuan keislaman dengan kemegahan Al-Azharnya, yang menurut beliau memakai istilah Masjid Jami’ Al-Azhar.

Sewaktu beliau akan berangkat meninggalkan Mekah, keluarlah kata-kata beliau di hadapan kedua-dua orang tuanya dan juga di hadapan keluarga-keluarganya, bahawa beliau tidak akan berpakaian lebih daripada sehelai dan tidak akan memakai serban yang berekor panjang sebelum menjadi seorang ulama besar yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu.

Maka berangkatlah ia ke Mesir dengan penuh tekad dan tawakal tanpa membawa wang yang banyak. Tidak akan berlebihan kalau diceritakan di sini bahawa beliau ke Mesir tidak menaiki kenderaan berupa apa pun. Pemergian semua ditempuh dengan berjalan kaki dan berenang di Sungai Nil dengan menjunjung sebuah kitab suci al-Quran di kepalanya.

Selama belajar di Mesir, beliau memang benar-benar mempunyai sehelai baju yang berwarna putih, sehelai serban dan sehelai kain untuk bersalin. Bajunya itu dicuci setiap dua hari sekali. Hingga beliau selesai belajar di Masjid Jami’ Al-Azhar, baju itu juga yang dipakai dibawa ke Mekah yang banyak tampalannya.

Diriwayatkan bahawa selama belajar itu beliau tidak lebih dari makan roti yang dibelah empat untuk setiap harinya. Seperempat untuk makan siang, seperempat pula untuk makan malam, dan separuhnya disedekahkan kepada pelajar-pelajar yang tidak mempunyai suatu apa pun seperti beliau.

Ada pun roti itu beliau peroleh hasil sedekah daripada murid-muridnya di Mesir, kerana beliau juga mengajar walaupun masih belajar. Sekali-sekali beliau juga dapat sedekah pisang embun daripada beberapa orang hartawan.

Sheikh Ahmad al-Fathani adalah orang yang pertama yang berasal dari Asia Tenggara yang belajar di Mesir. Menurut kitab Nasyrun Naur waz Zahar lagi menyebut bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani tinggal di Mesir selama tujuh tahun, di sana juga beliau bekerja sebagai pentashih kitab-kitab.

Setelah beliau tamat belajar di Mesir, lalu mengajar di Mekah, ketika itulah para murid dan kadernya beliau suruh pula melanjutkan pelajaran ke Mesir.

PenutupKelahiran Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani adalah merupakan matahari terbit setelah kegelapan malam, bahawa adalah cahaya terang bagi warga Fathani Darus Salam, kerana beliau dapat dikenali hingga di peringkat antarabangsa.

Beliau dikenali bukan hanya dalam bidang sempit sebagai seorang ulama Islam tradisional sahaja, bahkan dalam bidang luas dengan pelbagai bidang yang bersifat umum. Bahkan beliau sebagai pembangkit gerakan politik sekalian ulama di dunia Melayu/Asia Tenggara.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Daud al-Fathani tokoh Tarekat Syathariyah


Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Ketokohan Sheikh Daud al-Fathani dalam bidang fiqh diperakui oleh semua ulama di Asia Tenggara yang memahami dan mengkaji sejarah Islam di rantau ini.

Demikian juga ketokohannya dalam bidang usuluddin, tauhid dan ilmu kalam yang kiranya tidak perlu dijelaskan lagi.

Ketokohan beliau dalam bidang tasauf serba ringkas telah disentuh penulis sebelum ini. Juga dibicarakan dengan mendalam dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Tasauf (Jilid 1). Namun begitu, masih belum dianggap lengkap dan sempurna sekiranya tidak dibicarakan ketokohannya dalam orde Tarekat Syathariyah, yang mana adalah salah seorang Sheikh Mursyid Kamil Mukammilnya.

Setahu penulis bahawa di Asia Tenggara tercatat dua orang sahaja ulama tokoh besar orde tarekat ini yang terkenal. Mereka ialah Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri dan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Murid Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri bernama Sheikh Burhanuddin Ulakan menyebarkan Tarekat Syathariyah itu ke Pariaman, Minangkabau.

Bahawa pada suatu masa dahulu tarekat ini pernah memegang peranan yang terpenting dalam dakwah Islamiah di Asia Tenggara. Bahkan ia adalah satu orde tarekat yang terbesar pengikutnya di Asia Tenggara sebelum masuknya Tarekat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah.

Syathariyah berkembang di Pulau Jawa, yang terbesar pengikutnya di Cerebon, Jawa Barat. Penyebarnya yang terkenal ialah Sheikh Abdul Muhyi Pamijahan, murid Sheikh Abdul Rauf al-Fansuri iaitu Sheikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu, Sheikh Yusuf Tajul Khalwati, semuanya adalah murid Sheikh Abdur Rahman al-Fansuri.

Di mana sahaja Tarekat Syathariyah dikembangkan di zaman mutakhir iaitu dimulai akhir abad ke 18 hingga ke abad ini, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetap dikenal dan disebut namanya.

Salah seorang muridnya mengenai Tarekat ini seumpama Sheikh Zainuddin Sumbawa. Nama sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih bersemi di hati umat Islam pengikut Tarekat Syathariyah di negeri-negeri di Alam Melayu, bahkan sampai-sampai ke Campa dan Burma. Salasilah tarekat ini di Asia Tenggara ini banyak bersambung dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fahthani.

Daripada Sheikh Daud al-Fathani dikenal pula ulama besar yang berasal dari Patani sebagai khalifah-khalifah Mursyid Tarekat Syathariyah seperti Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani, Sheikh Ismail bin Abdul Qadir bin Mustafa al-Fatani dan lain-lain.

Tata cara berzikir pula yang disalin dari naskhah tulisan tangan Sheikh Daud al-Fathani adalah sebagai berikut:

“Duduk bersila menghadap ke arah kiblat. Kedua tangan diletakkan di atas kedua lutut. Mata dipejamkan. Setelah itu diawali dengan lafaz ‘Laa’ dari bawah susu sebelah kiri, yang terletak hati ‘sanubari’, qasadnya ialah menarikkan pada hati sanubari daripada ‘aghyar dan maa siwallaahi Taala’.

Ditarik terus hingga memanjang bunyi lafaz ‘Laa’ hingga sampai ke bahu sebelah kanan, terus dilemparkan dengan lafaz ‘ilaaha’ dengan meniatkan bahawa melemparkan sekelian yang tersebut ke belakang.

Sesudah itu lalu lafaz ‘illa’ di atas bahunya yang kanan. Terakhir sekali memukulkan lafaz ‘Allah’ dengan sekeras-kerasnya ke dalam hati. Demikianlah zikir pada setiap kalinya, bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah. Dengan memuji kepada Allah telah talkinkan zikir Syathariyah ini serta dengan baiahnya dan ‘Labsul Khirqati’ dan kaedah yang tersebut itu oleh faqir ilallahi Taala Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani……”.

Sheikh Daud bin Abdullah al- Fatani berpendapat bahawa pimpinan seorang sheikh Mursyid sangat penting, beliau menulis sebagai berikut :

“Ketahuilah! Kadang-kadang seorang Salik yang belajar itu melihat bahawa tiada sesuatu jalan untuk sampai kepada Allah, dia ragu dengan bermacam-macam amalan yang sangat banyak. Kadang-kadang dia tercengang dengan banyak ilmu pengetahuan yang telah dikuasainya. Apabila murid yang Salik itu mempunyai sheikh yang Arif Billah (Ahlil Hakikat), maka hendaklah dia kembali kepada sheikhnya dan berpegang teguh atas petunjuknya”.

Dalam bahagian lain beliau menulis: “Dan dengan benar orang yang berzikir iaitu benar murid serta sheikhnya sampai ia pada Martabat Siddiqiyah, hendaklah ia mengemukakan apa-apa yang terlintas di hatinya dari perkara yang jahat dan yang baik.

Berkata sebahagian orang yang arif: “Tiada syarat sheikh itu mengetahui dan melihat atas batin murid, tetapi sebahagian dari syarat murid ialah bahawa memberitahu kepada sheikhnya sekelian yang terlintas pada hatinya…”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis selanjutnya: “Bahawa dia (sheikh) adalah penolongnya dari pertolongan Nabi Muhammad s.a.w. Selamanya berhadap ke hadrat Tuhannya, apabila dikerjakan maka limpah pertolongan Ilahiyah daripada Allah pada hati penghulu kita dan dari hati penghulu kita – Nabi Muhammad s.a.w -kepada sekelian hati pada sheikh (Masyaikh), dari satu kepada satu sampai kepada hati yang melakukan zikir. Bahawa yang demikian itu menjadi pertolongan dan pemberian Allah”.

Perlu diketahui oleh setiap penganut tarekat, terutama Tarekat Syathariyah adalah mengenai adabnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani mengatakan bahawa adab zikir itu terbahagi kepada tiga iaitu:

a. Adab sebelum melakukan zikir.

b. Adab ketika berzikir.

c. Adab setelah berzikir.

Keterangan Sheikh Daud yang diringkaskan oleh penulis daripada kitab Dyiaa’ul Murid mengenai adab-adab berzikir adalah sebagai berikut:

a. Adab sebelum melakukan zikir

1. Taubat nasuha, iaitu taubat daripada sesuatu yang tidak memberi faedah kepada agama yang tersalah dari perkataan, perbuatan dan kehendak yang tidak muafakat dengan syarak.

2. Suci badan daripada hadas-hadas besar dan hadas kecil dan kekotoran pada tubuh dan pakaian. Hendaklah mandi dan mengambil air sembahyang serta membersihkan pakaiannya.

3. Mengharumkan pakaian dengan bau-bauan dan menyucikan mulut dengan bersugi (siwak).

4. Dengan niat menegakkan perintah Allah bukan kerana lainnya kerana mengambil faedah dunia dan keinginan hawa nafsu.

5. Membesarkan Allah. Ketika menyebut Allah terasa benar akan kebesaran dan kehebatan-Nya.

b. Adab ketika berzikir

Adapun adab yang dituntut ketika berzikir itu lima belas perkara, iaitu :

1) Hendaklah dia duduk di tempat yang suci seperti duduk dalam sembahyang bagi orang yang mubtadi, duduk bersila bagi orang yang muntahi.

2) Meletakkan kedua telapak tangan di atas kedua lutut.

3) Menghadap ke kiblat kalau dia berzikir seorang diri, jika berjemaah hendaklah membuat lingkaran keliling.

4) Memakai wangi-wangian di tempat duduknya kerana tempat berzikir adalah tidak sunyi daripada Malaikat dan jin yang beriman.

5) Berkekalan ikhlas iaitu semata-mata kerana perintah Allah bukan kerana lainnya.

6) Benar zikirnya pada zahir dan batin hingga bersamaan antara keduanya. Juga benar hati terhadap sheikhnya pada zahir dan batin.

7) Sedapat-dapatnya hendaklah sekelian yang dimakan dan yang dipakai adalah halal.

8) Duduk di tempat yang kelam iaitu antara terang dan gelap.

9) Memejamkan mata.

10) Menghadirkan makna zikirnya setiap kali mengucapkannya.

11) Dinafikan tiap-tiap yang maujud pada hatinya selain daripada Allah.

12) Diucapkan dengan nyaring (jahar).

13) Dengan kuat yang sempurna. Iaitu ditarikkan dari tengah kepala hingga ke anak jarinya.

14) Terkenang kepada sheikhnya.

15) Menjauhkan lafaz yang lahan yang mengubahkan maknanya.

c. Adab selepas berzikir

Adapun adab kemudian daripada zikir itu lima perkara:

1) Menahan nafas beberapa kali kerana yang demikian itu lebih cepat menerangkan hati dan membukakan hijab (dinding), dan memutuskan khuatir nafas dan syaitan.

2) Jangan meminum air selepas dari berzikir hingga berselang beberapa saat, kerana zikir itu bersifat panas, rindu dan menaikkan kegemaran kepada yang diingat (Allah) inilah tujuan zikir, sedangkan minum itu memadamkan yang demikian itu. Juga kalau minum adalah bertentangan dengan ilmu kedoktoran kerana boleh mengakibatkan penyakit muntah.

3) Diam beberapa ketika sesudah berzikir serta dengan khusyuknya. Perkara ini ulama membahagikannya kepada tiga adab iaitu :

a. Seakan-akan dia berhadap dengan Tuhannya, bahawa Tuhannya melihat kepadanya.

b. Mengheningkan cipta (menumpukan fikiran) seakan-akan sehelai roma pun tidak bergerak seumpama kucing tatkala mengintai tikus.

c. Menafikan sekalian khuatir dan melaksanakan zikir itu di dalam hati.

4)Meniatkan bagi wirid zikir. Mudah-mudahan menghidupkan hati sehingga tercapai cahaya makrifatullah sehingga diperolehinya sekalian sifat kamalat (kesempurnaan) seumpama zuhud dan lain-lain.

5) Mensyukuri akan nikmat-nikmat Allah. Bahawa Allah telah memudahkannya melakukan suruhan-Nya dengan mengucap istighfar daripada taqsir yang hasil daripadanya tiga kali, seperti katanya: “Aku memohon pengampunan dari Allah dari segala taqsirku pada ibadatku sebilang-bilang nafasku”.

Nama-nama kalimah nafi dan isbat

Sebagaimana telah dijelaskan bahawa sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah tokoh sufi Tarekat Syathatiyah. Salah satu karya tulisan beliau tentang tersebut dapat dilihat melalui kitab Dhiyaa’ul Murid.

Bahagian terakhir karyanya itu beliau tulis nama-nama kalimah Laa ilahaa illallah. Dalam kitab Jawi yang lain dari kitab Dhiyaa’ul Murid tidak membicarakan hal ini. Oleh itu, penulis salin seringkasnya mudah-mudahan menambah keghairahan memperbanyak bacaan zikir Laa ilaaha illallah (nafi dan isbat) yang sangat dianjurkan oleh ahli warak dan Salihin.

Menurut Sheikh Daud al-Fathani kalimah Laa ilaaha illallah itu mempunyai banyak nama yang disebut dalam kitab suci al-Quran, sebahagiannya penulis nyatakan seperti berikut :

1.Kalimah takwa, dalam surah al-Fath ayat 26. Maksudnya: Dan biasakanlah mereka itu dengan takwa. Takwa tersebut adalah La ilaaha illallah.

2.Kalimah Thaiyibah dalam surah Ibrahim ayat 24. Maksudnya: Allah telah membanding seumpama kalimat yang baik iaitu La ilaaha illallah seperti pohon kayu yang baik asalnya terhunjam pada bumi dan cabang-cabangnya menjulang ke langit.

3.Kalimah Sabit dalam surah Ibrahim ayat 27. Maksudnya: Allah telah menetapkan sekalian orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap dalam hidup di dunia dan akhirat iaitu perkataan Laa ilaaha illallah.

Banyak lagi yang ditulis oleh Sheikh Daud al-Fathani dalam tulisannya yang tidak dapat disenaraikan semuanya. Antara lain-lain yang secara ringkasnya adalah berikut :

4.Kalimatul ‘Ulya dalam surah at-Taubah ayat 40.

5.Kalimah Stabat dalam surah Muhammad ayat 19.

6.Kalimah Husna dalam surah Yunus ayat 26.

7.Kalimah ‘Adli dalam surah an-Nahl ayat 90.

8.Kalimah Istiqamah dalam surah Fussilat ayat 30.

9.Kalimah ‘Ahdi dalam surah Maryam ayat 87.

10.Kalimah Maqalid dalam surah Zumar ayat 63.

11.Kalimah Tasydid dalam surah al-Ahzab ayat 70.

12.Kalimah Haq dalam surah az-Zukhruf ayat 86.

13.Kalimah Shiratal Mustaqim dalam surah al-An’am ayat 15.

14.Kalimah Sidqi dalam surah az-Zumar ayat 33.

15.Kalimah Iman dinamakan juga Kalimatul Khulud fi Jannah. Sabda Nabi Muhammad s.a.w bermaksud: Barangsiapa yang adalah pada penghabisan perkataannya Laa ilaaha illallah hal keadaannya suci hatinya lagi jernih daripada hatinya, masuk syurga itu bersama-sama orang-orang yang mendapat kemenangan tiada terdahulu seksa.

16.Kalimatus Ishmati wan Najah

Sabda nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Apabila mereka mengatakan Laa ilaaha illallah terpelihara daripadaku darah dan hartanya.”

17.Kalimatu Miftahil Jannah iaitu Laa ilaaha illallah.

18.Kalimatu Stamanil Jannah iaitu Laa ilaaha illallah.

19.Kalimatul Ikhlas iaitu Laa ilaaha illallah.

20.Kalimatu Da’watil Haq iaitu Laa ilaaha illallah.

21.Kalimatu ‘Urwatil wustqa iaitu Laa ilaaha illallah.

22.Dan lain-lain.

Kesimpulannya masih banyak amalan Sheikh Daud al-Fathani yang tidak dapat dibicarakan keseluruhannya, yang tentunya amalan wirid beliau sangat banyak. Di antara yang tidak pernah beliau tinggalkan adalah membaca selawat Dalailaul Khairat dan lain-lain.

 

SUMBER:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Tokoh Sunnah: Salahuddin al-Ayyubi


(Petikan dari Abul Hassan ali Nadawi, Saviors of Islamic Spirit)

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa (Poole, 1914). Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang menjangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran sehingga ke hari ini.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.

Walau bagaimana pun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk bakal pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk mara ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Kadi Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Kadi Bahauddin, 1234). Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu” (Al-Baqarah:216)

Pertukaran Hidup Salahuddin

Apabila Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenagannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Kadi Bahauddin,1234).

Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara’ dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup “Spartan” yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.

Semangat Jihadnya

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Kadi Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluahkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.

Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihad melawan tentera salib ia akan menumpukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya. Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerena ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Kadi Bahauddin, 1234)

Peperangan Hittin

Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah teruk. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahawadapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai.Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.

Kecintaan Salahuddin kepada Islam

Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, “Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammat atasnya”. Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.

Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, “Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi”.

Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad. Kadi Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jemaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, “Mintalah kepada nabi kamu , Muhammad, untuk menyelematkan kamu”. Apabila ia mendapat berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.

Menawan Baitul Muqaddis

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Kadi Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya.

Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra’ Mi’raj, Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah saw. naik ke langit. Dalam catatan Kadi Bahauddin ia menyatakan inilah kemengan atas kemengangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang meraikan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan “Allahhu Akbar” dan “Tiada tuhan melainkan Allah” telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddis. Salib yang terpampang di ‘Dome of Rock’ telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.

Salahuddin yang Penyayang

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian dipersalah-lakukan. Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan.

Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, “Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma. Sekarang giliranku pula”. Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa mengidar bilangan mereka.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu ‘tersumbat’ dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.

Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Perang Salib Ketiga

Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakal yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin. Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian sepertiFredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.

Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk membuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.

Lane-Poole telah mencatatkan perjajian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192M, keseluruhanya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimana pun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.

Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan mereka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentera-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan daripada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.

Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Wafatnya Salahuddin

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja’afar seorang yang wara’ telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur’an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur’an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, “Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata” (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, “Memang benar”. Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk kos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung kos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Salahuddin yang Wara’

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah saw, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan. Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu.Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.

Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, “Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku”. Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan.
Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur’an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur’an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu’ semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendegarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya. Ia juga sangat berpegang teguh kepada rukun iman hinggakan ia telah mengarahkan anaknya al-Malik al-Zahir membunuh Suhrawady yang membawa ajaran sesat.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, “Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabiskan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat. Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawabnya, “Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak”. Bila hampir subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. “Aku tidak tidur semalam” katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, “Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya”. Lalu ia bertanya, “Apa yang perlu ku lakukan?”

Aku menjawab, “Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah saw pernah sembahyang sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan ucapan
“Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku.
Kini aku mohon pertolongan-Mu.
Aku menyerahkan diriku kepada-Mu.
Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini”

Aku mengatakan kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu”. Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari Isnin pagi”

Perangai Salahuddin

Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.

Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Sauatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.

Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidak adilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, “Aku hampir mati kehausan”. Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan. Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada khadamnya, “Cakap sajalah kalau kau tak suka kepadaku”. Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.

Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan. Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. “Aku tahu”, kata Bahauddin, “Ia mengatakan dirinya”.

Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja inggeris itu sakit.

Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.

Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.

Kesungguhan dan Semangat

Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit kuat yang mengebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, “Penyakit akan peninggalkanku apabila kamu menunggang kuda”.

Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. “Apabila ia sakit”, kata Bahauddin, “Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam”.

Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempun celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betama beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar perakara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketiak peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemah tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan mencabut benderanya.Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.

Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suati hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, “Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai”.

Salahuddin sebagai ulama

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengeatahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur’an ia juga banyak menghafal syair-syair Arab.

Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Qur’an

Rujukan:

Kadi Bahauddin bin Shaddad. 1234M,632H. Al-Nawadir-I-Sultania: Sirat Salahuddin (Bin Nawadir-I-Sultania). Mesir (diterbitkan 1317h):31, 32-33, 7,155

Poole S. L. 1914. Saladin. New York: 72, 99

SUMBER:

http://gagasanulamaaswj.blogspot.com/2008/04/tokoh-sunnah-salahuddin-al-ayyubi.html

Tag Cloud

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 33 other followers